Thursday, September 27, 2007

Langkah bendul


JIKA ada yang terserempak kelibat penyanyi berambut kerinting ini sedang membeli-belah barangan perkahwinan sambil ditemani ibu tercinta, harap jangan lekas membuat andaian sendiri dengan mengatakan Ezlynn bakal mendirikan rumah tangga. Sebaliknya, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Jikalau Aku ini sekadar membantu ibunya untuk menyediakan kelengkapan majlis perkahwinan adik lelakinya dan majlis pertunangan adik perempuannya yang hanya akan berlangsung selepas Aidilfitri ini.

"Sekarang ini keluarga Lin bukan sibuk dengan persiapan raya tetapi sibuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan adik lelaki Lin yang akan berlangsung seminggu selepas Hari Raya. "Manakala adik perempuan Lin pula akan bertunang dua minggu selepas raya. Jadi Lin dengan emaklah yang sibuk ke sana ke mari menguruskan persiapan untuk kedua-dua majlis ini sampai terlupa hendak membuat persiapan raya," cerita Ezlynn yang begitu ceria menerima kehadiran anggota baru dalam keluarganya.
Kalau mengikut adat, sebagai kakak yang belum berkahwin, Ezlynn wajar menerima hadiah sebagai adat melangkah bendul.
"Itulah memang sudah berangan-angan pun kononnya nak minta serba satu tetapi emak kata cuma dapat cincin saja, jangan hendak minta lebih-lebih," ujarnya berseloroh. Diusik pertanyaan apakah selepas ini gilirannya pula akan menjejakkan kaki ke pelamin, Ezlynn berkata mana mungkin hasrat itu akan tercapai sedangkan dirinya masih lagi solo. "Macam mana hendak kahwin kalau boyfriend pun tak ada. Sebenarnya buat masa ini, Lin lebih fikirkan pasal macam mana hendak mengembangkan kerjaya Lin lagi pada masa akan datang. Tapi itu tidak bermakna Lin menolak jodoh, kalau ia datang awal, Lin terima. Tapi sekarang ini, Lin masih single," ujarnya ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square, baru-baru ini.
Terlanjur membicarakan soal jodoh, anak jati ibu kota ini turut ditanyakan mengenai hubungannya dengan VIP seperti yang sedang hangat diperkatakan sebelum ini. Reaksinya mengenai isu ini cukup mengejutkan. "Lin rasa seronok apabila ramai orang mengaitkan Lin mempunyai hubungan dengan VIP. Iyalah, sekurang-kurangnya tinggi juga standard Lin apabila dikatakan mempunyai hubungan dengan golongan sebegitu. "Sebenarnya, masa sebelum menjadi artis dulu iaitu ketika masih menjadi penyanyi di hotel, Lin memang sentiasa dikejar lelaki golongan ini. Tapi itu dulu. Sekarang tidak. Bagi Lin, bukan kedudukan yang Lin pandang. Asalkan dia mempunyai kerjaya tetap, penyayang dan mampu membahagiakan Lin, itu sudah cukup untuk menjadi teman hidup Lin," ujarnya mengharap pengertian.
Popularkan single sebagai satu strategi
BARANGKALI tidak ramai yang tahu bahawa lagu Jikalau Aku yang semakin hangat diputarkan di corong radio itu sebenarnya adalah single kedua penyanyi ini. Menurut Ezlynn, single pertamanya berjudul Menunggumu yang dimuatkan dalam album runut bunyi Cicak-Man. "Bagaimanapun, lagu itu tidak berapa diputarkan di radio berbanding Jikalau Aku. Apapun saya bersyukur kerana dengan lagu Jikalau Aku itulah saya banyak menerima undangan show sana-sini," jelasnya. Ditanya bilakah album terbarunya bakal muncul di pasaran, Ezlynn berkata buat masa ini syarikat rakamannya KRU Music lebih senang memasarkan single terlebih dulu sebagai strategi pemasaran. "Memang lama menunggu tetapi saya lihat strategi ini berhasil kerana dengan single, populariti seseorang artis itu boleh bertahan lama.
Macam saya sendiri, saya amat berterima kasih kepada KRU kerana menghasilkan lagu yang baik dan sering diputarkan di radio," ujarnya sambil memberitahu besar kemungkinan albumnya itu akan dipasarkan tahun depan. Dalam perkembangan lain, dia kini juga sedang menunggu lampu hijau dari KRU Indonesia untuk sebuah projek khas. "Menurut apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka mahu saya menyanyikan kembali lagu popular saya yang dialih ke dalam bahasa Indonesia untuk pasaran di sana. Saya akan ambil peluang ini untuk mengembangkan bakat saya di sana, Insya-Allah," kata Ezlynn teruja.
INFO: Ezlynn
NAMA asalnya ialah Azline Ariffin. Norman daripada KRU Music Group melihat bakatnya yang terserlah ketika penyanyi ini mengadakan persembahan di Crossroad Lounge, Hotel Concorde, pada 2001.
SEBELUM bergelar artis rakaman, Ezlynn terlebih dulu mencuba nasib dalam bidang peragaan, lakonan dan pengacaraan. Lakonannya dapat dilihat dalam beberapa drama tempatan serta klip video kumpulan Lestari dan penyanyi Norhaida pada awal 90-an.

ALBUM pertama Ezlynn berjudul Ehmm... dipasarkan pada 18 Februari 2003 di bawah label Big Bang dan antara lagu yang terkandung di dalamnya ialah Hi Hi Bye Bye, Cinta Pura-Pura, Sengsara, Entah Bila?, Selagi, Mimpi, Jangan Gangguku Lagi, Mencari Erti, Bersamamu & Tak Ingin.
LAGU Hi Hi Bye Bye berada pada kedudukan teratas Carta Era selama lapan minggu, memberikannya peluang menggenggam trofi Anugerah Emas Carta Era pada Anugerah Era 2003.
EZLYNN memenangi kategori Artis Baru Terbaik Anugerah pada Industri Muzik 2004 dan lagu Hi Hi Bye Bye pula memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu 18.

ALBUM keduanya yang diberi judul Psst... dikeluarkan pada 28 September 2004. Antara lagu popular menerusinya ialah duet bersama Datuk M Daud Kilau, Pening.
DIA juga aktif sebagai pengacara, termasuk mengendalikan program Mentor (bersama JFK), Gaya Hidup Seimbang dan Pilihanku. Penyanyi ini turut muncul di layar perak menerusi filem Diva Popular, Zombi Kampung Pisang dan Bilut pada 2006.
Sumber :Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR