STESEN radio Era tetap memastikan penyusunan siaran lagu dari Indonesia tidak dibuat secara berturut-turut dan menetapkan tidak lebih daripada tiga lagu disiarkan dalam sesuatu segmen yang ke udara untuk tempoh masa sejam. Stesen radio berbahasa Melayu nombor satu negara itu juga menggunakan syarat dan penilaian yang lebih ketat serta tegas terhadap lagu nyanyian penyanyi dari seberang berbanding pendekatan lebih bertolak ansur untuk lagu ciptaan dan nyanyian penyanyi tempatan.
Ini kerana tidak semua album kumpulan atau penyanyi dari Indonesia boleh dianggap bagus, dan hanya lagu nyanyian penyanyi dari sana yang dirasakan mempunyai 'bunyi' dan persembahan luar biasa atau memang sangat istimewa barulah ia disiarkan oleh stesen radio Era. Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said berkata, stesen radio itu pernah menolak penyiaran lagu penyanyi atau kumpulan muzik dari Indonesia kerana kualiti lagu mereka yang biasa saja dan tidak mempunyai sebarang keistimewaan atau kelebihan untuk disiarkan. "Bukan semua lagu daripada penyanyi Indonesia disiarkan di radio Era. Ada juga lagu mereka tidak mendapat tempat di hati pendengar kita. Syarat dan peraturan yang kita buat ke atas lagu dari Indonesia memang ketat.
"Kita tidak menyiarkan lagu daripada kumpulan Garasi dan Karma kerana tidak ada yang istimewa pada muzik mereka. Kumpulan Coklat kita siarkan juga, tetapi tidak lama kerana persembahan mereka tidaklah sehebat mana," katanya kepada Hip. Rostam berkata demikian sebagai menjelaskan kedudukan sebenar stesen radio Era berikutan dakwaan daripada pelbagai pihak yang mengatakan radio ini memberi kelebihan kepada penyanyi dari Indonesia berbanding tempatan. Berikutan itu, karyawan muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, persatuan yang mewakili kepentingan penyanyi dan pemuzik mendesak stesen radio ini supaya mengurangkan penyiaran lagu dari luar, terutama Indonesia. "Di radio Era, kita memang tidak menetapkan kuota lagu secara rasmi, tetapi saya akan pastikan tidak ada lagu dari Indonesia disiarkan back-to-back iaitu dua hingga tiga lagu disiarkan secara berturut-turut. "Malah, dalam tempoh satu jam, hanya tiga lagu mereka disiarkan, tetapi kadang-kadang memang ada terlepas pandang sampai empat lagu.
Bagaimanapun, jumlah lagu yang radio Era siarkan memang dikawal," jelas Rostam lagi. Katanya lagi, setiap lagu baru, sama ada dari penyanyi tempatan atau luar negara akan dinilai oleh satu Jawatankuasa Penilai untuk mendengar dan meneliti sebelum membuat keputusan untuk menyiarkannya di radio Era. "Ia adalah peraturan biasa bagi mana-mana stesen radio. Bagi setiap lagu baru, kita akan dengar dulu sama ada sesuai disiarkan atau tidak. Boleh diterima pendengar atau sebaliknya. Ada barisan Jawatankuasa Penilai yang menilai lagu baru ini. “Apabila ahli Jawatankuasa Penilai ini membuat keputusan 50-50 atau kurang selepas mendengar lagu Indonesia, keputusan muktamad Era ialah kita tidak menyiarkan lagu itu. "Tapi kalau untuk lagu tempatan, kita masih memberikan pertimbangan, kita memberikan peluang untuk disiarkan di radio Era, walaupun Jawatankuasa Penilai Lagu membuat keputusan 50-50. Itulah keistimewaan yang kita berikan kepada lagu baru ciptaan dan nyanyian tempatan," katanya.
Kebiasaannya, lagu baru akan disiarkan menerusi segmen Ekspresi Di Era yang boleh dilayari dalam laman web radio Era. Segmen ini menjadi tempat kaji selidik atau ujian sesebuah lagu baru, iaitu sejauh mana ia dapat diterima dan digemari oleh pendengar. "Dari situ barulah lagu itu boleh disiarkan oleh radio Era seperti biasa. Ini bukan rekaan semata-mata kerana ia membabitkan integriti stesen radio," jelas Rostam. Katanya, sebagai stesen radio, sesebuah lagu yang sedap dan menarik didengar adalah penting demi untuk memastikan pendengar tidak bertukar kepada stesen radio lain. "Tidak ada istilah syok sendiri. Ada lagu yang saya tak suka, tetapi pendengar suka, lagu itu disiarkan juga. Ada lagu yang saya suka, tapi pendengar pula tak suka. Jadi kita kena seimbangkan dua perkara ini dan keutamaan tentu kepada pendengar. "Penyusunan dan pemilihan sesuatu lagu memang kita lakukan dengan sangat berhati-hati, tetapi pada masa kita juga tidak mahu pendengar bertukar ke stesen radio lain," katanya.
Mengulas lanjut isu penyiaran lagu dari luar, terutama penyanyi Indonesia, Rostam menjelaskan, ada banyak faktor mengapa perkara ini berlaku dan ia tidak sepatutnya dibebankan kepada stesen radio semata-mata. "Kita sekarang tidak ada penyanyi yang baik. Selain Datuk Siti Nurhaliza, siapa lagi penyanyi solo yang betul-betul bagus. Mungkin Jaclyn Victor, Misha Omar, atau kita ada Mawi, M Nasir, Anuar Zain tetapi takkan asyik itu saja. "Begitu juga dengan kumpulan. Setakat ini ada kumpulan Jinbara dan Spider. Kumpulan lain pula lagu cover version seperti kumpulan Kristal, mereka tidak ada lagu sendiri," katanya.
Penyiaran banyak drama dari Indonesia oleh stesen televisyen juga turut menyumbangkan kepada kecenderungan dan Stesen TV juga turut memainkan peranan penyiaran lagu luar kerana ketika ini banyak drama dari Indonesia disiarkan. "Stesen TV juga menyiarkan klip video penyanyi luar. Itu sebenarnya lebih kuat mempengaruhi orang ramai kerana menggabungkan persembahan visual dan audio. "Drama dari Indonesia juga mempunyai lagu tema yang selalunya daripada penyanyi terkenal mereka. Lagu tema ini kebiasaannya cepat popular kerana selalu disiarkan di TV," katanya.
Sumber : Berita Harian