Sunday, September 9, 2007
Murni Hati Erra Fazira-Kejutan di Hari Pertunangan
Primadona filem Melayu buat kejutan minta al-Quran ganti wang hantaran
PERTUNANGAN penyanyi dan pelakon jelita Erra Fazira, 33, petang Jumaat lalu melenyapkan spekulasi hubungannya yang sebenar dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin, 32, yang bertiup kencang sejak Jun lalu.Keputusan untuk bertunang dengan Emran selepas empat bulan perkenalan bukan untuk menutup kontroversi yang hebat melanda primadona filem Melayu itu. Tetapi pasangan sama cantik sama padan itu menganggap keputusan yang dicapai sebagai ketentuan takdir.
Erra juga mengotakan kata-katanya untuk mengadakan majlis itu secara sederhana. Pernah melalui saat itu satu ketika dulu, membuatkan pelakon jelita ini memilih untuk bersederhana saja. Cukup sekadar mengikut adat dan memberi peluang kepada bakal suaminya merasakan saat indah itu.Dia yang anggun dengan persalinan warna putih gading rekaan Jovian Mandagie kelihatan bahagia dan gembira. Duduk di atas pentas indah berlatarkan warna putih dihiasi bunga ros segar sentuhan Pak Abu, Erra mengejutkan keluarga pihak lelaki yang diwakili bapa saudara Emran, Engku Abu Bakar Engku Ngah apabila meminta senaskah al-Quran menggantikan wang hantaran.Niat suci dan tulus Erra disampaikan wakil pihak perempuan, Mohamed Yusof yang juga suami kepada penulis lirik dan penerbit filem terkenal Habsah Hassan kepada rombongan pihak lelaki seramai 40 orang.Wang ringgit bukan segala-galanya bagi pelakon cantik itu. Katanya, dia pernah melalui saat itu satu ketika dulu. Baginya, pemberian al-Quran lebih besar ertinya berbanding wang ringgit. Apatah lagi isi yang terkandung di dalam al-Quran itu sendiri tersimpan segala tanggungjawab dan amanah yang harus dipegang setiap umat Islam.
“Wang hantaran hanyalah sebagai adat, hendak angka Erra sudah melaluinya. Jadi Erra rasa memadailah dengan senaskah al-Quran. Erra sudah berbincang dengan emak terlebih dulu hal ini dan dia juga bersetuju.“Kalau diikutkan Erra mahu terus berkahwin, tidak perlu bertunang kerana pernah melaluinya tetapi memandangkan Emran tidak pernah melaluinya jadi kami mengadakan juga mengikut adat,” kata Erra yang terpikat kepada Emran kerana sikapnya yang gemar bermuzakarah.Kata Erra lagi, Emran berjaya membuka matanya untuk memandang setiap perkara dari sudut positif. Dan, dia juga percaya Emran mampu membimbingnya serta menjadi seorang suami yang baik. Bagi Erra, keputusan untuk bertunang bukanlah keputusan yang terburu-buru meskipun baru saja berkenalan pada Mei lalu di sebuah majlis.Pasangan itu menjelaskan perkenalan mereka bukan sejak pertemuan di Sabah ketika promosi radio Suria FM, tetapi ia sudah bermula sebelum itu lagi. Sebelum berkenalan, mereka sekadar bertegur sapa ketika berjumpa dan berakhir setakat itu saja.
Namun, entah kenapa dalam satu majlis Emran memberanikan diri meminta nombor telefon daripada wanita itu dan bermula dari saat itu mereka mula rapat.Kelembutan dan sifat rendah diri Erra berjaya menawan hati jejaka yang berasal dari Terengganu ini. Bukan kerana Erra seorang selebriti dan bukan juga kerana paras rupanya.“Saya bukan peminat Erra ‘The celebrity’ tetapi saya suka padanya kerana peribadinya. Keluarga juga menerima kehadiran Erra dengan tangan terbuka.“Keikhlasan hati Erra meminta senaskah al-Quran menyatakan betapa murninya hati seseorang itu. Apa yang saya harapkan permintaan ikhlas ini akan dirahmati Allah dan membawa makna yang besar kepada rumah tangga kami kelak,” katanya.Ibu Emran, Toh Puan Salmah Abu Bakar, 61, yang hadir turut hadir pada majlis pertunangan itu melafazkan kesyukuran kerana semuanya berjalan dengan lancar. Katanya, dia tidak kisah siapa saja pilihan anak kedua daripada tiga beradik itu asalkan anak bujangnya itu bahagia.
“Syukur alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya berharap perkahwinan mereka nanti kekal sehingga ke akhir hayat. Syukur Emran sudah dapat jodoh dia, dan dia ada cakap pada saya, dia cinta Erra bukan sebab Erra seorang selebriti.“Saya tidak pernah paksa dia berkahwin dan saya beri kepada Emran kebebasan untuk memilih sendiri calon isteri. Apa yang baik untuk Emran baik juga untuk saya,” katanya.
Pada majlis pertunangan itu, pihak lelaki menyerahkan kepada pihak perempuan lima dulang hantaran iaitu dua bentuk cincin risik dan bertunang, tepak siri, sepasang persalinan, sepasang kasut serta manisan. Sementara pihak wanita membalas tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada tepak sirih, sampin songket, sepasang persalinan, songkok, butang baju Melayu, sepasang kasut serta manisan.Erra yang berada di tingkat atas rumahnya di Damansara, turun untuk disarungkan cincin kira-kira jam 4.15 petang oleh ibu Emran.
Muzik gamelan berkumandang mengiringi langkah Erra ke pentas indah yang sedia menanti. Turut hadir memberikan sokongan kepada Erra dua teman rapatnya Zahida Rafik dan Umie Aida.Pada majlis itu juga, kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan tarikh pernikahan mereka. Seperti yang dikatakan Erra bahawa keluarga memberi mereka tempoh tiga bulan dan yang pasti majlis akan berlangsung dalam tahun ini juga.
Sumber: Berita Harian