BERKONGSI pentas dalam sebuah konsert dengan kumpulan terkenal dari Indonesia dianggap sebagai satu pengiktirafan yang tertinggi buat kerjaya seni kumpulan nasyid Rabbani. Sedekad mereka menelusuri ranjau panjang dalam dunia seni, tidak pernah sekali mereka terfikir akan diundang untuk sama-sama menghiburkan peminat dengan sebuah kumpulan popular dan hebat seperti Dewa.
Vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu. Rabbani tidak mempunyai masalah seandainya benar mereka diundang beraksi di samping Dewa. Undangan itu dianggap sebagai satu penghargaan besar kepada kerjaya seni mereka selama ini. “Siapalah kami hendak dibandingkan dengan mereka. Setakat ini kami masih belum lagi berbincang lanjut mengenai kolaborasi itu. Insya-Allah, Rabbani tidak ada sebarang masalah cuma apa yang dibimbangi saya tidak mampu membawakan lagu mereka. “Saya tidak pandai menyanyi lagu Dewa, tetapi nasib baik juga lagu Dewa ada yang berunsurkan dakwah. Saya rasa tidak ada sebarang masalah untuk menyanyikan lagu mereka tetapi kami perlu melihat lagunya dulu,” katanya.
Undangan untuk bersama Dewa itu menjadikan Rabbani kumpulan nasyid pertama negara yang mendapat pengiktirafan sedemikian. Mungkin ia memberi peluang kepada lagu nasyid ke pasaran yang lebih luas. Selain kolaborasi mereka bersama kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Rabbani membawakan satu lagi kelainan kepada kerjaya seni mereka apabila bakal berduet dengan penyanyi rock terkenal, Amy Search. Idea itu timbul daripada Rabbani sendiri yang cukup terharu dengan perubahan penyanyi itu dan isterinya selepas pulang menunaikan umrah. Melihat ketulusan pasangan suami isteri itu, Rabbani berasa terpanggil untuk mengundang Amy untuk berduet bersama mereka.
Mereka bakal merakamkan semula lagu milik Amy Search, Mentari Di Ufuk Timur yang akan diberikan nafas baru sesuai dengan konsep Rabbani. “Idea ini datang apabila kami melihat perubahan Amy Search. Kami sudah pun berbincang dengan Amy dan lagu itu kami pilih kerana ada sesuatu yang berlaku antara Amy dan lagu itu ketika dia menunaikan umrah tidak lama dulu,” kata Asri mewakili teman Rabbani. Setelah lima tahun bernaung di bawah KRU Music Group, Rabbani memilih untuk membawa haluan sendiri. Namun akui mereka, tiada perselisihan faham di antara Rabbani dan KRU. Tetapi, dalam usia mereka sudah tiba masanya Rabbani menguruskan karier mereka sendiri. Mereka akui kerana KRU lagu mereka diminati, justeru Rabbani akan tetap mendapatkan khidmat trio adik-beradik itu untuk album mereka.
Baru-baru ini, Rabbani meluncurkan album ke-15 berjudul Maulana Rabbani yang diterbitkan sendiri syarikat milik mereka Rabbani Productions (M) Sdn Bhd. Rezeki Rabbani juga terus murah apabila saban tahun pelbagai syarikat korporat memberi sokongan kepada kerjaya mereka antaranya Pembinaan Zaitun Industri Sdn Bhd (Zaitun), Kart’s Food Industries Sdn Bhd (Kart’s), Galeri Ilmu Sdn Bhd, PRM Global Vision Sdn Bhd dan I Medikel Pharmaceutical Sdn Bhd (Kel’s). Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai lagu nasyid yang kurang mendapat tempat di radio dan hanya pada musim tertentu saja, Rabbani yang dianggotai Mohamad Asri Ibrahim, Mohd Asri Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Mohd Loqman Abdul Aziz, Ahmad Shafie, Zulkiflee Azman, Rithaudeen Yaakob, Nazrul Azhar Tamrin dan Afendi Sahabuddin menerimanya sebagai satu suratan.
“Sesetengah radio ada konsep tersendiri, lagu nasyid biasanya diletakkan pada waktu yang sesuai contohnya selepas azan. Bagaimanapun kami tidak berharap, di negara kita mempunyai banyak stesen radio malah ada radio khas yang memainkan lagu nasyid. “Kami kena terima surat ini tetapi sebagai penggiat seni kami kena teruskan juga dan berharap media cetak dan elektronik akan terus memberikan sokongan mereka kepada kumpulan nasyid seperti kami,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Nur Zaitun dan Hotel Singgahsana baru-baru ini.
Sumber : Berita Harian