Kepada yang namanya kehidupan tentunya akan selalu penuh dengan teka-teki tak berpenghujung. Hari ini kita berusaha menyayangi dan mencintai seseorang dengan sepenuh hati.
Hari esok barangkali rasa kasih itu telah terhapus sama sekali, berkubur tanpa nisan. Siapa yang tahu suatu hari nanti, pada saat yang indah, rasa cinta itu kembali menggebu dengan pujuk rayu. Pilihan kita adalah insan yang sama.
Demikian juga dengan kisah di sebalik percintaan dua insan dari dua negara ini. Seorang di Malaysia dan seorang lagi di Indonesia, tetapi mereka akan bersatu atas nama cinta yang padu.
Sepuluh tahun lalu, kedua-duanya pernah bertemu. Sasha pada masa itu baru berusia 17 tahun dan Salyo (demikian dia disapa dari nama pemberian ayah ibu, Salyo Priyanto)
* Cinta remaja yang indah
Alam cinta musim remaja mereka lewati bermula dari jalan-jalan di Orchard Road, Singapura pada sekitar tahun 1997. Ketika itu Sasha yang popular dengan kumpulan Elite dijemput menjadi juri pertandingan Asia Bagus di negara jiran berkenaan.
Berkenalan dengan Salyo yang kebetulan menemani bapanya, seorang pengacara popular Indonesia yang juga dijemput sebagai juri pertandingan berkenaan.
Singapura tempat jatuhnya cinta pandang pertama. Pulang ke negara masing-masing mereka kemudian saling berutus surat, melahirkan rindu dendam.
Tetapi apalah yang boleh dibanggakan dengan cinta anak remaja. Orang kata, hanya mainan perasaan. Cinta monyet yang ada kalanya penuh dengan kemanisan juga.
Tidak lama kemudian kasih yang hanya terjalin di atas kertas biru bertemankan dakwat yang basah menjadi layu. Sampailah masing-masing memilih haluan dan jodoh sendiri beberapa tahun kemudiannya. Hubungan terputus terus. Kepada yang bernama jodoh pertemuan itu juga bukan di dalam kuasa manusia.
Sekitar Disember 2006, mereka ditemukan semula atas urusan Yang Maha Kuasa. Membina semula retak-retak yang belah, mencantum semula rindu yang pernah pecah.
Mereka sama-sama pernah berkahwin dan bercerai. Siapa sangka hari ini mereka bertemu semula lepas sepuluh tahun dan bercinta kembali. Siapa juga pernah sangka sebegini jalan-Nya?
* Surat lama hangatkan cinta
Mereka kembali menjadi kekasih pada Februari 2007 setelah dua bulan sebelumnya Sasha terjumpa surat biru yang pernah diutus Salyo. Entah mengapa hatinya menjadi begitu kuat untuk kembali menghantar berita kepada lelaki itu ke alamat yang masih tersimpan di surat berkenaan.
Dipermudahkan Yang Maha Kuasa, Salyo masih menginap di rumah yang sama. Dia juga tidak pernah menyangka sama sekali akan dihubungi oleh wanita berkenaan lalu gembiranya bukan alang-kepalang.
“Sejak sepuluh tahun lalu saya memang mencintainya. Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya kepada Sasha. Tetapi apa boleh buat, kami sama-sama belum matang. Masih anak-anak, tak boleh meneruskan cinta itu.
“Setelah bertemu kembali barulah kami ketahui perjalanan kehidupan kami hampir sama. Kami berkahwin dengan pasangan pertama pada tahun yang sama, juga bercerai pada tahun yang sama.
“Saya sangat terharu rupa-rupanya Sasha dalam diam juga masih mengharapkan agar perhubungan kami terjalin semula setelah masing-masing dikecewakan oleh perkahwinan pertama,” kata Salyo.
* Cinta yang lebih dewasa
Pada Ogos lalu Sasha dan Salyo bertunang dalam acara yang penuh sederhana di sebuah hotel di Jakarta. Majlis yang berlangsung dengan sangat santai ini telah mempertemukan dua keluarga dari satu rumpun bangsa dan segugus bahasa, tetapi berlainan warganegara.
Pasangan ini akan bernikah di Jakarta pada 24 November depan. Majlis persandingan akan diadakan di Kuala Lumpur pada 1 Disember.
Keluarga Sasha akan berangkat ke Jakarta beberapa hari sebelum majlis perkahwinan dan semuanya sudah dipersetujui bersama.
Tidak ada majlis besar-besar, tidak akan ada sanding yang meriah-meriah. Mereka hanya mahu meraikan hari bahagia itu dengan cara sederhana saja. Itu juga yang diharapkan oleh kedua keluarga.
Jika perkahwinan di sini menitikberatkan kepada soal mas kahwin dan hantaran, berlainan dengan Salyo dan Sasha. Kesederhanaan itu terserlah apabila pasangan ini lebih senang menjadikan sebentuk cincin dan satu set barangan kemas sebagai mas kahwin.
Tanpa dulang hantaran yang biasanya menjadi kemestian dalam perkahwinan Melayu, kali ini mereka memilih sederhana mungkin.
“Cinta pada usia yang lebih dewasa tidak memerlukan semua itu. Janji majlisnya diberkati dan kami dapat memulakan kehidupan berdua. Itu yang penting dari majlis yang meriah tetapi tidak menghantar sebarang makna,” kata Sasha.
Kepada Salyo pula, perkahwinan bukanlah untuk diraikan dengan kemeriahan yang tidak bermakna. Yang penting apa yang afdalnya sahaja.
“Lebih baik menyimpan wang untuk anak-anak dari dihabiskan untuk berpesta. Sementelah kami memang tidak mahu menunggu lama lagi untuk membina keluarga bersama dan melahirkan anak sebaik saja bergelar suami isteri,” katanya.
Konsep sederhana yang dipilih bukan hanya bicara di bibir mulut sahaja. Mereka memang melaksanakannya dengan dorongan tidak mahu menyusahkan kedua keluarga untuk perkahwinan kedua ini.
Pada perkahwinan pertama, masing-masing sudah menghabiskan masa, wang ringgit dan tenaga banyak orang, kesederhanaan kali ini diharapkan membawa lebih banyak keberkatan.
“Kami sudah rasa apa enaknya berpesta besar-besaran. Saat ini semua itu tidak lagi menjadi keutamaan. Ini adalah masanya untuk kami berfikir secara lebih dewasa untuk masa depan, bukan hanya memikir tentang meriahnya pesta perkahwinan macam dulu lagi,” kata Salyo lagi.
* Doakan ini perkahwinan terakhir
Pernah merasai jadam kekecewaan akibat perceraian, Sasha mengharapkan perkahwinannya dengan penerbit filem iklan dan penerbit video itu adalah yang terakhir.
Pada usia yang sudah mencecah 30 tahun, wanita ini memberitahu, dia tidak mahu melengahkan masa untuk sekali lagi mencuba alam perkahwinan. Meskipun terasa baru benar mereka bertemu semula, bercinta pun baru setengah tahun itu semua bukan halangan.
Apatah lagi dengan lelaki yang pernah menjadi teman penghias mimpinya kala beradu suatu masa dahulu.
Jujur saja beritahu Sasha, meskipun ini perkahwinan kedua yang bakal berlangsung dengan penuh kesederhanaan, rasa teruja lebih melekat di jiwa.
Maklum saja, perkahwinan kali ini semuanya diuruskan sendiri dengan hanya sedikit saja campur tangan ayah bonda dan keluarga.
“Debarannya lain dari yang pertama dulu. Sha memang merasakan yang ia akan menjadi detik-detik paling bermakna dalam hidup Sha dengan perkahwinan kami ini,” katanya.
Bagi Salyo pula meskipun ini perkahwinan keduanya, cintanya kepada Sasha tetap yang pertama. Bahkan dia menjadi sangat terharu kerana yang penting cinta dan hatinya dianggap tulus ikhlas oleh Sasha.
“Saya tidak sesekali menganggap perkahwinan sebagai penghujung kisah cinta kami. Sebaliknya ia menjadi titik mula untuk kami mengharungi lautan kehidupan,” katanya.
Sememangnya pasangan ini seperti sudah dipersiapkan oleh Allah untuk bersatu di pelamin impian. Setelah berkahwin nanti, Sasha bakal menginap terus di Jakarta di kediaman mewah keluarga Salyo di Jakarta Selatan.
Menariknya budaya tiga negara akan terakam dalam majlis perkahwinan pasangan ini apabila pakaian pengantin dihasilkan oleh pereka kedua-dua negara.
Majlis persandingan di Kuala Lumpur, Sasha telah menempah persalinan dari Butik Cosry, setelah terpesona dengan keindahan rekaannya hasil sesi fotografi ini.
Sementara solekan pengantin akan menggunakan khidmat jurusolek Singapura, negara yang mempertemukan mereka berdua sepuluh tahun lalu.
Sumber : Utusan