Sunday, September 23, 2007

‘Saya cuma mahu tuntut hak saya’


"KES perceraian saya dah selesai sebenarnya, Sekarang yang tinggal hanyalah hak penjagaan dua anak, harta sepencarian, mutaah, hadanah dan edah yang masih saya tuntut. Yang paling penting bagi saya ialah hak penjagaan anak. Memang sejak bercerai, anak-anak dengan saya. Tapi, saya tak ada jaminan hitam putih yang mengatakan hak penjagaan itu milik saya.Apabila saya dah tuntut hak penjagaan anak, peguam menasihatkan saya supaya menuntut hak saya yang lain.
Sekarang perbicaraan dah hampir selesai, harap-harap bulan depan saya akan peroleh apa yang dituntut. Mengenai cakap-cakap orang, kalau orang tak sampaikan, kita tak dengar. Tapi, perkara tu tak penting. Yang penting, saya nak anak-anak percaya dengan saya. Kita buat baik orang bercakap, buat salah lagilah orang mengata. Saya cuba elakkan cakap-cakap yang tak elok pasal saya. Lebih-lebih lagi status saya sebagai ibu tunggal.Ke mana saya pergi, apa saya buat, semuanya jadi perhatian. Tapi, apa yang saya buat, keluarga tahu. Sebab tu, ke mana saja saya pergi, abang akan temankan. Saya jarang-jarang keluar seorang diri.
Hidup sebagai ibu tunggal ni memang terdedah dengan macam-macam cerita tak elok. Ibu tunggal bergelar artis, lagilah membuka ruang untuk orang bercakap. Tapi, biasalah, banyak ‘nasi tambah’, sepinggan mana cukup! Orang cakap saya berkawan dengan VIP, tak betul cerita tu, fitnah. Pergi lokasi shooting, balik rumah, itu jadual hidup saya. Bila masa saya jumpa VIP tu? Tapi, saya tak mudah melatah, kita dah matang. Kita boleh fikir, orang akan buat kita macam-macam. Bayangkan gosip dengan Ally Iskandar TV3 tu.
Saya tak kenal Ally pun orang boleh cakap macam-macam. Memang saya kenal Ally, kami keluar makan, minum bersama, tengok wayang, tapi setakat itu saja, tapi tak adalah sampai ‘I miss you’. Ally memang kawan saya tengok wayang sebab dia memang suka tengok wayang. Saya kenal Ally pun secara kebetulan saja. Saya ada shooting produk di studio TV3 masa tu. Dalam bilik menunggu tu, sementara menunggu orang lain mekap, saya baca skrip. Saya rasa masa saya nak mulakan penggambaran tu, saya tertinggal skrip kat dalam bilik tu. Saya cari balik skrip tu dan tengok Ally sedang tidur di bilik menunggu tu. Selepas Ally tersedar, kami sama-sama cari skrip berkenaan. Tapi, tak jumpa.
Tiba-tiba Ally ajak saya tengok tayangan perdana filem Cinta pada malam tu. Tapi, saya segan, maklumlah baru saja kenal Ally. Selepas itu, kami sering berbalas SMS. Kami boleh bercakap mengenai semua benda, Ally kalau bercakap tak berhenti. Dia memang baik, kami ada keluar bersama, tapi kami keluar atas dasar kawan. Tak lebih daripada itu. Sebelum mengenali Azizan (Nin), saya ada terbaca dalam akhbar, katanya dia meminati saya. Biar betul. Kebetulan selepas itu, kami digandingkan dalam telefilem yang sama bertajuk Akankah Mungkin. Itu pertama kali saya bertemu Azizan.
Setiap hari jumpa dia di lokasi, tapi tak adalah borak sangat, masing-masing segan. Cuma dua hari terakhir selepas shooting, Azizan ada minta nombor telefon saya. Kami akhirnya meraikan hari ulang tahun Azizan. Memang saya berkawan dengan Azizan lebih rapat daripada Ally. Tapi, belum peringkat ‘I love you’ lagi, macam mana nak declare Azizan teman lelaki saya. Tapi, biarlah hubungan kami berterusan dengan cara yang betul. Pastinya saya dan Azizan mengharapkan sesuatu yang baik daripada perhubungan ini. Bagi saya, Azizan adalah kawan lelaki yang paling rapat dalam hidup saya setakat ini. Tapi, sekiranya apa yang kita harapkan itu tidak menjadi kenyataan, bagi saya, kami jadi kawan baik pun tak mengapalah.
Tapi, buat masa ini, harapan saya sebagai ibu tunggal ialah membesarkan anak-anak dan memberi mereka pendidikan agama yang sempurna. Tapi, jauh di sudut hati, memanglah saya mengharapkan seseorang menyayangi diri kita. Tapi, kita tidak boleh membiarkan perasaan itu datang dengan begitu cepat. Namun, terus terang saya katakan, saya tak nak terlalu lama dalam bidang seni. Masa terlalu banyak dihabiskan di lokasi. Saya kasihankan anak-anak. Saya pernah bekerja waktu pejabat. Anak-anak saya dah biasa dengan waktu itu. Apabila jadual kerja saya tak menentu, anak saya yang sulung tu sampai suruh saya berhenti berlakon dan kerja pejabat saja. Jadi pelakon ni berperang dengan masa. Kalau shooting 30 hari, saya kadang-kadang tak ada cuti langsung. Kalau masa bujang, memang seronok, enjoy jadi pelakon ni, kan?. Tapi, orang macam saya ni ada komitmen lain. Sekarang pula, banyak hati yang perlu saya jaga. Tapi, saya bernasib baik, sampai ke hujung tahun ni, tawaran berlakon saya padat... alhamdulillah."
Info Rozita

Rozita Abu Bakar @ Che Wan, 34, dilahirkan pada 9 Mac 1974 dan berasal dari Alor Setar, Kedah. Anak kedua daripada tujuh beradik ini menyertai Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai pramugari pada 1992 dan bertugas kira-kira tiga tahun. Selepas meninggalkan MAS, dia menyertai kegiatan modeling selama enam bulan.
Tidak lama kemudian, dia bertemu jodoh dengan juruterbang MAS, Azuar Effendy Zulkaply, 36, apabila disatukan secara sah pada 26 Ogos 1995. Namun, jodoh mereka tidak berkekalan apabila bercerai secara sah pada 8 Mei 2003. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata - Ammar Effendy, 11, dan Aniq Ezzra, 9.

Rozita bergerak aktif sebagai pelakon drama mulai 2005, namun sebelum itu dia pernah bertugas di sebuah firma arkitek selama setahun. Drama pertama lakonannya ialah Cinta Terhalang. Sehingga kini, Rozita sudah membintangi lebih 50 judul drama TV. Bagi 2007, dia sudah menjayakan kira-kira 19 drama.
Kini, drama bersiri Susuk 2 yang menampilkannya sebagai pelakon utama, sedang rancak disiarkan menerusi TV3, selain Jelatang juga menerusi TV3 dan Tetamu Rindu (TV1). Kini, Rozita sedang sibuk di lokasi penggambaran Diari Ramadan Rafique 2. Dia juga pernah muncul sebagai model klip video lagu Citra Terindah, nyanyian M Nasir.
Sempena Ramadan dan Aidilfitri ini, Rozita sempat menjayakan dua komersial TV iaitu Petronas dan Telekom yang bakal disiarkan sedikit masa lagi.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR