Sunday, September 23, 2007

'Siapalah saya nak disamakan Sofia Jane'


USIANYA belum mencecah 16 tahun, namun kehadirannya dalam persada dunia seni semakin mencuri tumpuan. Orangnya cantik, berbudi bahasa, merendah diri dan peramah. Ada yang anggap Diana Danielle Dannye Beeson adalah jelmaan Sofea Jane dan segelintir pula menjangkanya pada 2010 kelak, beliau bakal menggantikan tempat Ratu Filem Melayu, Erra Fazira dan Fasha Sandha.
Bagaimanapun, sejauh manakah kemampuan gadis berketurunan Melayu-Inggeris yang mesra dengan panggilan Danielle itu belum terbukti lagi. Pelakon drama bersiri Air Mata Maria itu nyata tidak mampu menerima pujian yang melambung tinggi memandangkan baru membintangi beberapa drama dan filem.Sambil merenung jauh, Danielle mengakui: “Saya bimbang jika diri sering dipuji. Siapalah saya mahu jadi seperti Sofea Jane atau Erra Fazira, mereka pelakon yang hebat.“Apabila dikatakan jelmaan Sofea, saya cukup hargai kata-kata itu. Mungkin sebab saya dan Sofea memiliki persamaan sebagai anak kacukan, masyarakat mula mengaitkan saya seperti Sofea.
Saya rasa selain Sofea masih ramai lagi pelakon berdarah campuran Inggeris yang berbakat.“Bagaimanapun, saya kurang senang apabila ada yang menganggap saya bakal menggantikan tempat Ratu Filem Melayu, Erra Fazira. Saya masih hijau dalam lakonan, rasanya banyak lagi yang perlu diperbaiki dan untuk menduduki tempat Erra bukanlah suatu yang mudah,” katanya yang petah berbahasa Melayu meskipun beliau lebih kerap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan ahli keluarganya.
Danielle berkata, dia juga bimbang jika populariti dirinya naik mendadak, sukar baginya mengekalkan kedudukan dalam industri seni. Jadi, dia lebih selesa bertatih dari bawah bagi mempelajari selok belok dalam bidang lakonan serta berazam untuk menambahkan ilmu mengenai kaedah lakon.“Kata orang, naik dengan cepat boleh jatuh merudum, jadi saya tidak mahu kerjaya seni naik mendadak tapi tidak mampu dikekalkan. Lagi pun, usia saya belumpun mencecah 16 tahun dan masih panjang perjalanan saya untuk mempelajari teknik lakonan yang berkesan.“Saya akui menerima tujuh tawaran berlakon filem dalam tempoh beberapa bulan ini. Saya gembira, bukan calang-calang pengarah dan penerbit termasuk produksi antarabangsa yang menawarkan kerjasama, mereka meletakkan kepercayaan pada saya.
Bagaimanapun, saya belum membuat keputusan memandangkan saya terikat dengan persekolahan,” katanya yang kini menjadi penuntut tingkatan empat di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara. Kata Danielle, dia juga tidak akan mengetepikan pelajaran semata-mata mengejarkan dunia glamor dan populariti. Buat masa ini, dirinya hanya menerima tawaran berlakon filem atau telemovie yang tidak mengambil masa panjang, selain tidak menganggu jadual kelas.Gadis kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat itu mengakui dia sedih dengan anggapan sesetengah pihak dirinya semakin sombong apabila mulai menjadi buruan penerbit dan pengarah.“Saya bukannya menolak tawaran mereka, tetapi masa tidak mengizinkan. Saya masih bersekolah, jadi tumpuan utama saya tentulah pada pelajaran. Saya hanya terima berlakon sekiranya tidak mengganggu jadual persekolahan.“Penggambaran drama bersiri mengambil masa yang berbulan-bulan lamanya.
Air Mata Maria mungkin drama bersiri pertama dan terakhir. Pengalaman dalam Air Mata Maria cukup mengajar saya hingga saya jatuh sakit kerana tidak mendapat rehat mencukupi.“Bayangkan, pagi hingga ke petang saya berada di sekolah, belumpun berehat dan tidak sempat menyiapkan kerja sekolah, saya terkejar-kejar ke lokasi penggambaran hingga awal pagi. Jadi, saya hanya tidur beberapa jam sehari, bagaimana saya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran? “Itulah rutin saya setiap hari selama enam bulan. Ibu bapa saya pula cukup mementingkan pelajaran, mereka kurang senang jika saya sering ponteng kelas,” katanya yang pandai menyusun kata-kata apabila ditemu bual Bintang Popular di Balai Berita, baru-baru ini.
Nafi bercinta dengan Shamsul
HUBUNGAN cinta Danielle dengan anak bujang Datuk Yusof Haslam, Shamsul sudah lama kedengaran dan diketahui peminat, namun sejauh manakah kebenaran gosip itu, hanya empunya badan yang mengetahui.Danielle mengakui dia agak rapat dengan Shamsul tetapi belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki memandangkan usia masih muda.Sebelum anak bujang pengarah tersohor itu mendekatinya, Danielle sudah lali dengan lamaran lelaki yang mahu menyuntingnya sebagai kekasih hati. Bagaimanapun, gadis yang akan muncul dalam filem Evolusi: KL Drift dan Malaikat Maut itu jinak-jinak merpati. Dirinya tidak mudah didekati.“Saya malu memperkatakan soal cinta dalam usia 15 tahun. Saya masih bersekolah dan bukan tahap saya untuk memikirkan soal ini.
Rasanya, tidak manis berbicara mengenainya. Lagipun perjalanan hidup saya masih jauh, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan.“Pernahkah anda terfikir untuk berbicara soal kahwin atau teman lelaki dalam usia semuda saya? Tentu tidak, begitu juga saya, tak pernah terfikir soal cinta atau perasaan. Semua lelaki saya anggap sebagai kawan, begitu juga Shamsul. “Kadang kala, saya pelik bila ada yang bertanya mengenai perkahwinan. Tahukah mereka saya baru berusia 15 tahun, tentunya soal cinta, nikah atau kahwin, tiada dalam agenda hidup saya sekarang,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk bergelar saintis.
Info Diana Danielle

Diana Danielle Dannye Beeson atau Danielle
Tarikh Lahir: 22 November 1991
Tempat Lahir: Houston, Texas, Amerika Syarikat
Tarikh Lahir: 22 November 1991
Bintang: Scorpio
Adik Beradik: Anak tunggal
Warna Kegemaran: Merah, ungu dan kuning
Drama: Janji Diana, Sembilu Kasih, Takbir Terakhir, Cinta Bulan Dan Mentari serta Air Mata Maria
Filem: Idola, Evolusi: KL Drift dan Malaikat Maut
Kerjaya: Penuntut, pelakon, model dan penyanyi
Pengalaman: Model produk dan jenama terkenal seperti Fiorucci, Volvo, Watson's, Pampers, Milo, Hazeline Snow, I-talk dan iklan Harian Metro.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR