Monday, September 24, 2007

Syafie Naswip ingin ubah nasib keluarga


AWAL Ogos lalu pada Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20) ramai yang sudah melihat betapa Mohammad Syafie Naswip mengatur langkah ke pentas menerima trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi filem Mukhsin.
Melihat keterampilannya yang segak bergaya dengan tuksedo, pasti ada yang berpendapat Syafie berasal dari keluarga berada.
Namun apabila keluar cerita yang mengatakan Syafie merupakan anak tunggal kepada seorang pemotong rumput, ramai yang tersentuh hati.
Penulis berminat untuk mengetahui kebenaran cerita yang diuar-uarkan itu.

Lalu pada dua Ramadan lalu, penulis bersama juru foto berkunjung ke rumah Syafie di Kampung Kerdas, Taman Kamariah, Gombak, Kuala Lumpur.
Ketibaan kami disambut mesra ibu bapanya, Norsiah Ahmad, 41 dan Naswip Abu Nawas, 45. Riuh mulut Norsiah mempelawa kami masuk ke ruang tamunya yang hanya beralas sekeping karpet dan set kerusi kayu yang sudah lusuh kusyennya. Wanita ini nampak begitu ikhlas menerima kami.

Syafie, bersinar mata melihat kami. Sejak tadi dia asyik tersengih melihat kemesraan ibunya pada kami. Tidak sekilas pun tergambar pada wajahnya perasaan segan menerima kedatangan tetamu di rumah yang tidak berlangsir itu.
Inilah rumah yang didiami Syafie atau lebih mesra dipanggil Pie oleh sanak saudara dan rakan-rakannya.
Rumah batu separuh papan itu disewa oleh keluarga Pie dengan kadar RM450 sebulan.
Pada satu sudut ruang tamu, sebuah peti televisyen meriuhkan lagi pertemuan kami dengan keluarga itu dek program Anak-Anak Ramadan.
Televisyen itulah menjadi penghibur Shafie sekeluarga. Namun Syafie tetap gembira kerana sepupu dan rakan-rakan rajin bertandang ke rumahnya.

“Adik sepupu saya, Nik Mohd. Syazwan Naim yang berlakon sama dalam Mukhsin itu pun sering datang tidur sini. Kami berdua memang rapat dan bila bersama, macam-macam perkara yang kami lakukan. Antaranya merakam klip video drama lakonan kawan-kawan,” cerita Pie.
Rupanya pelajar Tingkatan Tiga Restu, Sekolah Menengah Seri Gombak ini memasang hobi membuat klip video atau drama pendek dengan menggunakan kamera video pemberian pengarah Yasmin Ahmad.
“Sejak terlibat dalam dunia lakonan, saya mula berminat dengan kerja-kerja belakang tabir. Sebab itu saya selalu ambil peluang memerhati atau bertanya jurukamera setiap kali saya berlakon.
“Sebelum ini saya bercita-cita hendak jadi doktor atau pelukis. Bila sudah berlakon saya berminat dengan kamera pula. Entahlah, mungkin saya akan belajar dalam bidang itu pula,” kata Pie yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1 hingga 5 Oktober ini.

Berlakon untuk ubah nasib keluarga

Syafie yang mengikuti kelas tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sebagai persediaan PMR berharap akan memperoleh 8A pada keputusan peperiksaannya itu.
Selain tuisyen, dia juga kerap berdiskusi bersama rakan-rakan di sekolah atau di taman. Kata Syafie, dia tidak suka belajar sendirian.
“Saya ingin berjaya dalam pelajaran dan seni bagi mengubah nasib keluarga.
“Bagi saya berlakon bukan untuk glamor kerana sebelum ini pun saya tidak pernah termimpi untuk menjadi pelakon.
“Saya berlakon sebab nak cari duit untuk bantu keluarga. Bila saya dapat kumpul duit poket sendiri, sekurang-kurangnya ringanlah bebanan bapa,” kata Pie terus terang.

Beli motor dengan duit lakonan

Bercerita mengenai pembabitan awalnya dalam bidang seni lakon, Syafie berkata, semuanya gara-gara Syazwan yang beriya-iya mengajaknya pergi uji bakat.
“Syazwan datang ke rumah ajak saya pergi uji bakat. Saya kata, setakat temankan dia bolehlah kerana saya tidak berminat. Waktu menunggu giliran dia kena uji bakat, tiba-tiba seorang abang suruh saya cuba. Tak sangka dari suka-suka jadi kenyataan,” katanya sambil tersenyum.
Sejak berlakon Mukhsin, Syafie berpeluang berlakon dalam drama Takbir Suci II arahan Rashid Sibir, Kasih Tak Terucap, Ilham Suci, Dosa Semalam dan Impian.

Dia yang sering membawa watak budak baik dan sedih itu damba untuk melakonkan watak jahat.
“Kalau watak sedih saya tidak ada masalah sebab saya akan bayangkan diri saya yang berada dalam situasi itu. Sekarang ini saya ingin watak jahat,” katanya bersungguh.
Menurut Syafie, duit hasil lakonan drama telah digunakan untuk membeli sebuah motosikal Honda EX5 secara ansuran bagi memudahkannya ke sekolah.
Oleh kerana Syafie tidak ada lesen, dia hanya menunggang motosikal untuk ke sekolah melalui jalan kampung.

“Dulu setiap pagi bapa yang hantar saya ke sekolah. Sekarang ini saya pergi sendiri,” ceritanya.
Ibu menangis kerana Syafie
Oleh kerana Norsiah hanya ada seorang anak dan tidak pernah berpisah, jadi sewaktu Syafie perlu menjalani penggambaran Mukhsin selama seminggu di Sekinchan, Norsiah tidak dapat menahan air mata.
“Sebenarnya sewaktu Pie kata nak berlakon, saya tidak benarkan. Tapi hati ibu mana yang tahan kalau anak merayu. Akhirnya saya benarkan dia berlakon.
“Kemudian bila dia kena berlakon selama seminggu waktu cuti sekolah lalu, saya menangis kerana tidak pernah berpisah dengan dia. Akhirnya saya yang kena marah dengan bapa dia,” kata Norsiah tersenyum.
Norsiah yang turut bangga dengan kejayaan yang diperoleh Syafie berkata, setiap kali menonton lakonan anaknya, dia akan menangis.

Katanya, Syafie anak yang pendiam dan pemalu tetapi gemar beraksi sewaktu di rumah.
“Pada saya dia seorang anak yang baik. Dia dengar kata dan tidak suka lepak. Masanya banyak dihabiskan di rumah. Bila dia berlakon, sekurang-kurangnya dapatlah tampung perbelanjaan kami sekeluarga,” kata Norsiah yang bergantung harap pada anak tunggalnya itu.
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR