“Saya nekad memfailkan cerai kerana sebelum ini Nash sendiri ‘menjaja cerita’ yang dia sudah menjatuhkan talak ke atas saya.”Sosilawati Lawiya yang juga pengasas produk Nouvelles Visages (NV) mendakwa Nash atau nama sebenarnya, Nasharuddin Elias turut memberitahu yang dia sudah menjatuhi talak ke atasnya menerusi telefon dan mengulangi pengakuan sama kepada adiknya, Harris Lawiya.
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak benar dakwaan Nash yang juga vokalis utama Lefthanded yang dia masih suaminya kerana tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap Sosilawati.“Saya tidak nafi ada meminta Nash ‘melepaskan’ saya berikutan dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana sejak awal perkahwinan hingga kini, dia tinggal bersama anaknya di Shah Alam, sedangkan saya bersama anak di Gombak.
“Bagaimanapun, kuasa talak di tangan suami. Kalau berpuluh kali saya melafazkan perkataan cerai sekalipun dan kalau dia (Nash) tidak mahu menceraikan saya, penceraian tidak akan berlaku.
“Namun kalau dia sendiri menjaja kepada teman baik bahawa dia ‘sudah tiada hati’ dan ‘sudah ada niat untuk bercerai’, saya tak mampu berbuat apa-apa.“Sebab itu saya memfailkan cerai untuk mendapatkan pengesahan mahkamah sama ada talak itu sah atau sebaliknya,” katanya.
Sosilawati, 43, memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 September lalu dan kini menunggu tarikh sebutan kes.Beliau yang ditemui pada majlis meraikan anak yatim di Dewan Perdana Felda kelmarin, berkata dia tidak didorong oleh sesiapa dalam membuat keputusan untuk bercerai atau wujudnya pihak ketiga dalam hubungannya dengan Nash.Mengenai klimaks hubungan mereka sehingga dia meminta cerai, Sosilawati berkata, berikutan sudah lama Nash tidak pulang ke rumah, sebagai isteri dia merayu supaya Nash pulang sehari menjelang Ramadan.“Kalau boleh, saya ingin melupakan sengketa antara kami sebelum ini.
Tidak dinafikan rumah tangga mana tidak diuji dan kalau bergaduh sikit-sikit, adatlah. Lagipun kami baru saja mendirikan rumah tangga dan masih dalam proses saling mengenali.“Saya menaruh harapan bulan puasa ini dia (Nash) mungkin berubah atau boleh berlembut dan ini mendorong saya untuk berbincang dengannya. Saya meminta maaf kepadanya dengan harapan dia melupakan kemelut yang berlaku.“Namun, sangkaan saya meleset apabila Nash memberitahu dia sudah ‘menjatuhkan talak’ kepada saya, tidak ada hati dan tidak mungkin kembali kepada saya lagi. Dia turut memaklumkan kepada adik saya (Harris) perkara sama,” katanya.
Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Sosilawati berkata, dia sudah menyiapkan empat pasang baju untuk setiap anaknya dan anak Nash kerana berharap ada sinar kebahagiaan apabila mendirikan rumah tangga selepas 10 tahun bergelar janda.“Saya berharap dapat berhari raya dengan suami setelah mendirikan rumah tangga November tahun lalu. Namun harapan kini musnah,” katanya.Nash menerusi perkahwinan terdahulu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fareena Nasha, 18; Najeeha Nasha, 16; Mohd Shameer Nasha, 11; dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 9. Sosilawati pula dikurniakan enam anak, iaitu Erni Dekritawati Yuliana, 21; Erwan Suwari Ridzuan, 20; Md Erwan Nasri, 19; Erni Erinawati Sofia, 17; Erni Reenilawati, 16; dan Siti Nur Fatimah, 9 tahun.
Sumber : Metro