SEMALAM, penyanyi rock terkenal Amy Search meluahkan rasa kesal dan kegusarannya terhadap perkembangan muzik tempatan akibat kebanjiran artis luar yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Menurut Amy, memang tidak dinafikan, media elektronik merupakan medium perantaraan yang membawa impak besar dalam mempromosikan sesebuah lagu.
Bagaimanapun, promosi yang melampau terhadap lagu dari seberang hanya akan mengenepikan kewujudan dan hak artis tempatan.
“Saya tak faham sikap penyampai radio terutama stesen radio swasta hari ini. Dia orang ni macam berlumba-lumba mempopularkan lagu-lagu asing,” kata Amy.
Sehubungan itu, Mega mendapatkan ulasan daripada beberapa ‘orang kuat’ stesen radio swasta berhubung isu tersebut.
ROSTAM SAID - Pengurus Rancangan Era.
“Penyiaran lagu luar bukanlah bertujuan untuk mengenepikan hak artis tempatan tetapi untuk memenuhi permintaan pendengar Radio Era sendiri.
Muzik tetap muzik, tempatan atau luar itu bukan persoalannya. Apa yang penting ialah apa pendengar Era nak dengar, itu yang kami mainkan sebab kami perlu menjaga rating stesen radio ini.
Kami di Era bekerja secara profesional dan tidak bias kepada mana-mana muzik sekalipun.
Kalau nak ikutkan kualiti, memang diakui kualiti muzik tempatan lebih tinggi mutunya berbanding muzik luar.
Sebab itu, lagu-lagu dari luar yang kurang berkualiti kami tak siarkan, hanya yang terpilih dan betul-betul berkualiti kami siarkan.
Berbanding dengan artis luar, lagu-lagu tempatan lebih senang disiarkan oleh stesen kami.
Kalau kami tak siarkan sekalipun, peminat muzik tetap boleh muat turun dari Internet dan MP3, jadi kami memang tak boleh nak buat apa sebab mereka lebih cekap.
Mengenai lagu yang disiarkan berulang-ulang kali, itu merupakan format stesen ini dari dulu lagi. Apa saja lagu yang mula diputarkan di stesen ini, kami akan ulanginya, sama saja seperti lagu tempatan.
Jadi, soal mengenepikan artis tempatan tak wujud sama sekali, kerana yang penting adalah apa yang pendengar nak dengar.”
Seelan Paul - Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima Berhad dan Pengendali Radio Hot FM.
“Lagu-lagu Indonesia kini dalam fasa penerimaan tinggi para pendengar di Malaysia.
Jika kita lihat kembali pada satu ketika apabila Malaysia melalui fasa Bollywood, semua stesen di negara ini kerap memainkan lagu-lagu Bollywood.
Pada pendapat saya, fenomena ini adalah bermusim dan tidak akan berterusan sebegini.
Hanya lagu Inggeris sahaja yang dihadkan di Hot FM tapi bukan untuk lagu Indonesia yang kami klasifikasikan sebagai lagu serumpun. Namun begitu buat masa ini lagu-lagu dari Indonesia hanya merangkumi kurang daripada 25 peratus (disiarkan) dari lagu-lagu Melayu.
Kami hanya memainkan lagu berdasarkan maklum balas dan permintaan pendengar. Kami tidak mendiskriminasikan lagu-lagu tempatan selagi ia menepati garis panduan stesen radio dan ia akan sering diputarkan kalau mendapat banyak permintaan pendengar.
Adalah penting untuk semua memahami akan format sesuatu stesen. Hot FM tertumpu pada pendengar yang berumur 15 hingga 30 tahun, maka lagu-lagu yang kami mainkan adalah untuk memenuhi selera mereka ini.
Bagaimana pun seperti yang disebut tadi hampir 80 peratus dari kandungan lagu yang disiarkan di Hot FM adalah dari artis tempatan.
Industri sendiri perlu peka akan trend yang disukai oleh pendengar dimana mereka juga merupakan pembeli album atau muzik digital tempatan. Kami tetap akan memainkan lagu-lagu baru tempatan tapi sambutan atau permintaan tetap ditangan pendengar.
Pendengar kini tampil lebih bijak dan sepatutnya penggiat seni juga patut bijak memikat hati dan halwa telinga mereka.
Di Hot FM, kami sudah pun merangka satu inisiatif pada awal 2008 untuk memeriahkan dan mengembangkan industri muzik tempatan namun ia mungkin satu langkah yang kecil kerana selebihnya adalah di tangan penggiat seni sendiri.
Engku Emran - Ketua Pegawai Operasi Suria FM.
“Suria FM tidak memainkan lagu-lagu dari seberang dengan kerap. Majoriti lagu yang stesen kami putarkan ialah lagu-lagu tempatan.
Suria FM ada formatnya tersendiri. Dalam sehari, lagu-lagu yang diputarkan adalah 70 peratus lagu tempatan, 15 peratus lagu Inggeris dan 15 peratus lagi adalah lagu dari seberang.
Suria FM bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu pendengar dan industri muzik tanah air.
Ini adalah kerana memang menjadi tugas kami mempromosikan lagu-lagu tempatan dan keseimbangan itu perlu ada.
Kami memang sentiasa menyemak semula rangkaian lagu-lagu yang hendak dimainkan.
Selain rancangan sedia ada, Suria FM juga telah mewujudkan rancangan seperti Suria Lounge untuk mempromosikan lagu-lagu artis-artis tempatan yang berkualiti tetapi kurang mendapat sambutan pendengar.
Jadi, kalau orang kata Suria FM tidak menyokong lagu-lagu dari artis tempatan, memang tidak tepatlah.
Sumber : Utusan Malaysia