Tuesday, September 18, 2007

Fasha nafi ke Disneyland bersama Hans



Terbaru, ada yang ternampak kemesraan mereka berdua di sebuah pusat hiburan, hotel lima bintang di ibu kota. Namun, Fasha menganggap itu semua fitnah malah menuduh ada pihak yang sengaja menokok tambah cerita. “Apa yang berlaku adalah secara tidak sengaja dan saya tidak sangka pula boleh jadi sampai begini. Saya rapat dengan Hans selepas dia panggil saya berlakon dalam filem terbaru terbitannya, Laga Ikan dan sejak itu kami ada keluar bersama untuk berbincang pasal kerja.“Cerita kami berdua ke Disneyland itu tidak benar dan banyak cerita antara saya dengan Hans yang ditokok tambah.

Tolong jangan ‘menyedapkan’ cerita dengan memasukkan maklumat yang tidak benar. Sehingga ke detik ini saya masih boleh bersabar. “Tetapi jika ada yang masih bercakap mengenainya, saya tidak mampu menutup mulut mereka dan saya juga tidak pernah menggunakan perkataan ‘baru hendak mengenal hati budi’ terhadap hubungan saya dengan Hans.“Hakikatnya saya masih solo dan jikalau sudah ada jejaka yang berjaya menghuni hati ini, saya akan beritahu. Saya muda lagi. Tidak berani memberi komitmen hati serta perasaan kepada mana-mana lelaki,” katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra pelakon 9 September di Restoran Lemon, Kajang, Selasa lalu.

Jelas Fasha lagi, kepada mereka yang mengenalinya faham sikap semula jadinya yang manja dan dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri. Dulu dan kini dia adalah insan yang sama, tidak pernah berubah dan tidak suka hidup berpura-pura. “Empat tahun menjadi anak seni membuatkan saya lali dengan tohmahan, gosip, fitnah dan kritikan serta tidak mudah lemas dengan pujian. Saya dapat menerima apa jua pandangan masyarakat asalkan tidak melampaui batas sehingga melanggar hak peribadi saya.

“Jika saya keluar berdua dengan mana-mana lelaki tidak semestinya kami bercinta. Walaupun pelbagai cerita melanda namun saya bersyukur kerana rezeki saya dalam bidang seni terus mencurah. “Bakat saya masih dihargai dan daripada apa yang saya lalui dalam setiap pekerjaan serta kehidupan, kepayahan dan kesenangan silih berganti. Sukar untuk saya menjaga hati setiap orang. Cukuplah sekiranya saya dapat menjaga hati produser, pengarah drama/filem dan kru teknikal kerana hubungan yang baik menyenangkan kerja saya pada kemudian hari.

“Saya kini fokus pada kerja dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Sekarang saya mula sibuk mempromosikan filem 9 September yang akan menjengah pawagam pada 1 November ini,” katanya.
Apabila menyentuh mengenai filem arahan sulung pengarah muda, Pierre Andre, Fasha juga pernah dikatakan menjalin cinta dengan jejaka itu. Disebabkan itu juga, hubungan cinta Pierre dengan seorang penyanyi terputus di tengah jalan. “Saya dan Pierre menjadi mangsa gosip kerana hanya kami berdua berlakon filem 9 September. Memang kami rapat tetapi bukan bercinta. Kami tetap mesra sampai sekarang dan Pierre juga selalu bertandang ke rumah keluarga saya di Ampang. “Senang berkomunikasi dengan Pierre kerana dia lelaki yang baik dan matang.

Tetapi apabila bekerja saya menghormati Pierre sebagai ketua dan pengarah walaupun dia muda setahun daripada saya. “Dalam banyak filem yang pernah dibintangi, saya paling seronok berlakon dalam 9 September. Hati saya selalu berlagu riang setiap pagi hendak pergi ke lokasi filem itu.“Setiap hari berada di set juga menggembirakan saya. Seronok bekerja dengan Pierre, muda tetapi berbakat,” katanya.Bagaimanapun kata Fasha, pada mulanya dia agak skeptikal dengan kebolehan Pierre namun kecurigaan itu hilang sebaik saja dia meneliti skrip tulisan Pierre yang disifatkannya sangat bagus.

Selain 9 September, Fasha juga berdebar menunggu tayangan filemnya yang lain, Nana Tanjung 2, Evolusi KL Drift dan Skop 7707. Selepas ini dia akan turun pula ke lokasi filem Cicakman 2 di mana dia membawakan watak wartawan.Sempena Ramadan ini, Fasha menghadkan aktiviti seninya. Kalau ada pun katanya, cuma memenuhi undangan berbuka puasa dan penggambaran dengan akhbar serta majalah. Menyambut kedatangan lebaran ini, Fasha dilantik sebagai duta kasut Bata.

Sumber : Harian Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR