Meskipun ramai menghampirinya dan berkata terlalu muda untuknya menggalas amanah itu, tetapi pelakon dan peragawati, Zahnita Hussein Wilson, 22, tidak pernah menyesal atau janggal sebaliknya bangga.“Saya bangga menjadi ibu dan melihat zuriat sendiri pada usia semuda ini. Kehadiran Zahra mematangkan saya dari serba-serbi.“Dia membuatkan saya lebih bersabar, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Misalnya dulu, saya tidak begitu serius, khususnya dalam pekerjaan namun sejak mempunyai anak saya mula sedar setiap peluang yang diperoleh harus dimanfaatkan sebaik mungkin kerana saya punya zuriat yang perlu dipelihara dan dijaga kebajikannya.
“Status sebagai ibu juga sedikit sebanyak mempengaruhi saya dalam membuat sebarang tindakan dan keputusan,” katanya.Seiring tanggungjawab yang semakin bertambah, Zahnita juga mengetepikan terus kehidupan sosialnya bersama rakan sebaya.“Sejak berkahwin saya sudah membataskan pergaulan, tetapi selepas melahirkan anak saya langsung tiada masa untuk keluar atau melepak dengan kawan-kawan.“Kalau ikutkan darah muda memang saya rindu dengan semua itu, namun setiap kali melihat wajah anak keinginan itu hilang,” katanya.Kegembiraan Zahnita berganda apabila tahun ini dia dapat beraya dengan puteri kesayangannya.
“Dulu saya hanya memendam rasa apabila melihat kakak dan abang beraya dengan anak masing-masing sedangkan saya ketika itu sedang berbadan dua.
“Tetapi tahun ini saya berasakan kehidupan saya sudah lengkap dan semestinya tumpuan persiapan Aidilfitri ini lebih kepada anak.“Malah, saya dan suami, Zackery Ghouse, mungkin memilih warna ungu sebagai tema baju hari raya kami tahun ini. Seperkara lagi yang membuatkan saya bersyukur tahun ini kerana dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna memandangkan tahun lepas terpaksa ponteng puasa kerana sarat mengandung,” katanya.
Apa yang mengagumkan, sekalipun jadual hariannya kembali diisi dengan peragaan pentas namun Zahnita lebih selesa menjaga anak sendiri ataupun menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang tuanya.“Saya belum ada keyakinan menyerahkan anak di bawah jagaan pembantu rumah. Faham sajalah, banyak kes kita dengar mengenai pembantu rumah sekarang.“Lagipun buat masa ini saya masih boleh menguruskan rumah tangga sendiri kerana tidak semua tawaran peragaan saya terima melainkan yang bersesuaian saja,” katanya.
Berbanding empat bulan pertama kelahiran Zahra, graf kerjaya Zahnita sejak kebelakangan ini kembali memuncak apabila namanya menjadi rebutan ramai pengiklan.Komersil terbaru yang dijayakannya adalah Celcom dan Dumex. Apa yang menarik, dia tidak hanya menjayakan komersil TV tetapi juga iklan cetak dan papan iklan untuk Celcom. Beralih kepada lakonan, wanita jelita yang pernah melonjak namanya menerusi filem Kuliah Cinta dan Gila Gila Pengantin Remaja mengakui dia harus bersikap selektif sekarang.“Saya memang suka berlakon dan rindukan saat berada di set penggambaran.
Bukan status isteri atau ibu yang menghalang saya kembali aktif, cuma tawaran yang diberikan kurang sesuai. “Apabila saya membaca skrip, kebanyakan tawarannya untuk menjadi gadis manja dan mengada-ngada. Aksi sebegitu saya sudah lakukan sewaktu membintangi filem Kuliah Cinta. Bukan saja jemu, bahkan sudah tidak sesuai dengan usia saya yang semakin dewasa dan bergelar ibu. “Saya tidak mahu penonton filem mahupun drama melihat saya dalam watak sama setiap masa.
Saya idamkan watak yang mampu menyerlah bakat saya kerana yakin boleh membawakan watak yang mencabar, cuma pengarah dan produser tidak yakin dengan kemampuan saya.“Sekiranya ada tawaran berlakon selepas ini biarlah watak yang diberikan mencabar supaya dapat meletakkan kerjaya lakonan saya pada satu tahap yang lebih baik dan dihormati,” katanya.
Sumber : Harian Metro