“SEBAGAI pengarah filem 9 September, memang saya tidak puas hati dengan filem itu kerana banyak perkara yang boleh diperbaiki. Saya yakin boleh buat lebih baik daripada ini di masa akan datang,” kata Pierre Andre tentang filem pertama arahannya, 9 September yang akan ditayangkan pada 1 November ini.
Begitupun kata Pierre, dia yakin ketidakpuasan hatinya itu sedikitpun tidak mencacatkan perjalanan cerita 9 September.
Ini kerana sewaktu filem tersebut ditayangkan kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi, tindak balas daripada mereka amat menggalakkan.
Berdasarkan itulah, Pierre yakin filem genre romantik komedi itu mampu menarik penonton berusia antara 15 hingga 30 tahun ke pawagam.
Pierre yang banyak menjadikan filem-filem Korea sebagai rujukan berkata, antara daya tarikan utama 9 September kerana ia merupakan gandingan pertamanya dengan Fasha Sandha yang berlakon sebagai Nia.
Selain itu Pierre yang berperanan sebagai Kogi berkata, mungkin penonton ingin melihat sejauh mana kemampuannya mengarah.
“Sebelum mengarah 9 September, saya sudah buat kajian. Saya dapati penonton tempatan suka menonton filem ringan (komedi). Disebabkan itulah saya buat 9 September dalam bentuk santai.
“Kalau sebelum ini kita lihat banyak filem yang menampilkan lelaki sebagai pembuli tapi dalam 9 September, saya guna pendekatan berbeza. Saya tampilkan Kogi yang sering dibuli oleh Nia,” katanya tentang filem yang menelan kos sebanyak 1.5 juta itu.
Filem yang menjalani penggambaran selama 24 hari dengan menggunakan 74 can itu hanya dipotong satu adegan sahaja oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Adegan yang dipotong itu ialah sewaktu Nia mencabar sekumpulan kanak-kanak untuk bermain satu permainan menggunakan pisau dengan pertaruhan wang.
“Apa pun ia tidak mencacatkan perjalanan cerita,” kata Pierre.
Fasha tidak pernah puas hati
Sementara itu, Fasha Sandha yang memegang watak Nia, wanita berperwatakan kasar berkata, dia tidak pernah berpuas hati dengan lakonannya.
“Saya sentiasa diajar agar jangan cepat berpuas hati biarpun sudah berlakon banyak filem atau drama. Apa pun saya suka jalan cerita 9 September dan watak yang saya bawa kerana ia berbeza dengan diri saya,” katanya yang telah membuat kajian dan sering berbincang dengan pengarah untuk menjiwai watak Nia.
Fasha yang bakal menjalani penggambaran filem Cicak-Man 2 mulai 26 Oktober ini di Pulau Pinang berkata, sebagai pengarah baru, Pierre ada potensi untuk menggilap nama dalam bidang pengarahan.
Tegas Fasha, filem 9 September ada kekuatan tersendiri dan ia sesuai untuk tontonan golongan muda.
“Mungkin ada yang menganggap jalan cerita 9 September klise tapi kalau anda menonton dan rasa terhibur, di situlah kejayaannya. Pada saya kepuasan penonton lebih diutamakan,” ujarnya.
Sumber : Utusan