Sejak di bangku sekolah, minatnya lebih terarah ke bidang seni halus, melukis. Tamat sekolah, gadis dari Ipoh, Perak ini menyambung pengajian dalam seni reka grafik dan mahu membina kerjaya dalam bidang itu.Kini, nama Emelda dikenali sebagai pelakon.
Segalanya bermula kerana terdesak hingga akhirnya dia tetap mengikut jejak langkah kakaknya, tetapi dia mengambil masa lima tahun untuk membina nama dan dikenali sebagaimana sekarang.“Sudah lama Emelia menyuruh saya berlakon. Katanya saya ada rupa dan bakat. Kata-kata itu bagaimanapun tidak pernah saya pandang serius. Saya cukup malu beraksi di hadapan kamera.“Selepas tamat pengajian, saya cuba mencari kerja dalam bidang seni reka grafik tetapi di tempat kelahiran saya, bidang itu tidak banyak. Risau dengan keadaan saya yang asyik terperap di rumah, dia menyarankan saya menerima tawaran berlakon drama bersiri Aishah.
“Kerana terpaksa, saya memujuk diri dengan berkata mengapa tidak saya mencuba. Pada peringkat awal, tidak dinafikan kakak sulung saya itu banyak membimbing. Begitupun, saya berhadapan begitu banyak kesukaran.“Selepas mencuba, saya mula berasa seronok terutama apabila menerima imbuhannya. Saya masih ingat, dengan wang itulah saya memenuhi impian mengembara ke Vietnam dan Kemboja,” katanya.Begitupun, Mel tidak seperti Emilia yang begitu cepat mencipta nama. Pelakon utama drama bersiri Manjalara itu berkata, kelebihan kakaknya ialah berkeyakinan tinggi. “Selepas bergelar model dan memenangi pertandingan ratu cantik pelancongan, dia terus disambar produser Julie Dahlan untuk membintangi filem Awas.
“Emelia dan saya dua manusia berbeza. Dia lebih berani dan begitu peramah. Rakan wartawan sendiri senang dengannya dan turut menjadi faktor penyumbang dan membantu mengangkat namanya dalam industri ini.
“Berbeza dengan saya yang sangat pemalu. Secara jujur, saya tidak pandai menangani soalan wartawan, apatah lagi sekiranya ia membabitkan isu peribadi. “Di awal pembabitan, saya anggap publisiti tidak penting kerana apa yang dititikberatkan adalah kerja. Pada saya, sekiranya tidak ada publisiti pun tidak mengapa kerana apabila pelakon itu memberikan hasil kerja yang baik, penonton lebih menghargai bakat dimiliki.
“Begitupun, drama Manjalara mengubah segalanya. Persepsi saya terhadap industri ini turut berubah. Saya mula berasakan kelainan apabila lakonan saya lebih dihargai setelah pihak media mula memberikan perhatian.“Selain itu, TV3 selaku penyiar drama itu turut memainkan peranan mengadakan pelbagai sesi promosi bergerak dan daripada itu saya boleh lihat maklum balas secara langsung diberikan peminat. Sejak itu saya tahu fungsi publisiti dan kepentingannya untuk produk dan pelakon seperti saya. “Sejak itu, sesibuk manapun saya cuba meluangkan masa membantu penerbit mahupun stesen televisyen mengadakan promosi.
Bagaimanapun, saya amat sederhana dan selalunya selepas habis kerja saya lebih selesa terus pulang ke rumah dan jarang bersosial,” katanya.Mengenai hubungannya dengan pengarah dan aktor Adlin Aman Ramli, Emelda mengakui usia perhubungan mereka kini sudah masuk tiga tahun.“Kami belum lagi merancang mengikat tali pertunangan apatah lagi berkahwin. Saya anggap percintaan kami masih baru dan banyak lagi perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum mengambil keputusan untuk bernikah,” katanya ringkas tanpa mahu mengulas panjang.
Begitupun, Emelda rasa bertuah kerana berkawan rapat dengan Adlin kerana anak Ruminah Sidek itu banyak memberikannya ilmu lakonan.“Bohonglah kalau saya kata Adlin tidak pernah membantu saya dalam lakonan. Sebagai orang berpengalaman dan kredibilitinya dipandang tinggi, rugilah sekiranya saya tidak gunakan kesempatan itu untuk menimba ilmu daripadanya.“Selalunya apabila menerima sebarang tawaran saya banyak berbincang dengannya, terutama dari sudut watak dan perwatakan sama ada ia bagus ataupun tidak. Dia juga banyak membantu dari sudut penghayatan dan perkembangan watak,”
katanya.Walaupun mempunyai hubungan istimewa, Emelda mengakui tidak pernah menggunakan kesempatan untuk mempergunakan Adlin. Contohnya, memaksa Adlin yang mengarah muzikal P.Ramlee mengambilnya berlakon.“Entahlah. Mungkin saya belum lagi terbuka hati hendak membintangi teater kerana pada saya ia menuntut perhatian penuh. Saya pula orang baru dalam bidang ini. Adlin lebih tahu tahap kemampuan saya.
“Kalau betul pun dia mahu saya berlakon dalam drama muzikal P Ramlee saya harus diuji bakat terlebih dulu. Perlu diingat, sebarang keputusan dibuat dalam produksi itu tidak terletak sepenuhnya di tangan Adlin,” katanya.Begitupun, katanya, dia berkesempatan bekerja dengan kekasihnya itu dalam beberapa produksi drama sebelum ini dan ia cukup memberikan pengalaman buat mereka berdua.
Profile
Nama Penuh: Emelda Rosmila Abdul Hamid
Tarikh Lahir: 14 Mac 1980
Tempat Lahir: Ipoh, Perak
Umur: 27 tahunTinggi: 5'3''
Berat: 50 kgHobi: Melukis, mengembara dan berenang
Makanan Kegemaran: Gulai lemak cili padi
Minuman Kegemaran: Teh O aisDrama: Manjalara, Sephia, Marikas, Gila Gila Pengantin, Natasha, Trafik Light, Segalanya Berubah dan Aishah.
Sumber : Metro