JIKA ada yang beranggapan Pontianak Harum Sundal Malam sudah lupus dan tidak akan kembali menghantui penonton andaian itu ternyata tersasar. Walaupun tidak menerbitkannya dalam bentuk filem, namun waris kepada pontianak lakonan pelakon jelita Maya Karin wujud menerusi drama bersiri yang berjudul Anak Pontianak. Biarpun mengakui drama Anak Pontianak ini adalah kesinambungan kepada filem popularnya sebelum ini, namun penerbitnya, Shuhaimi Baba berkata ia agak berbeza dengan apa yang dipertontonkan di filem.
Malah, mempertaruhkan pelakon muda untuk memegang watak sebagai anak pontianak juga adalah satu strategi buat mereka. "Kita akur bahawa orang muda memang banyak menonton televisyen ketika ini. Jadi hasil perbincangan kami dengan pihak TV3 yang berjalan selama setahun inilah yang dapat kami hasilkan. Drama ini mengisahkan mengenai waris kepada pontianak yang kami hasilkan menerusi filem tidak lama dulu.
"Cuma kali ini kami membuat sedikit pembaharuan apabila kami menampilkan watak anak pontianak itu sebagai superhero iaitu dia menggunakan kuasanya untuk membantu dan bukannya untuk melakukan perkara jahat," ujar Shuhaimi atau lebih mesra dengan panggilan Shumi.
Mengenai pemilihan ramai pelakon muda membintangi drama ini termasuk pelakon utamanya Zarina An-Julia yang memegang watak sebagai Samirah atau Mia, Shumi berkata seperti yang ditegaskan, drama ini memang dibuat khusus untuk golongan muda. "Kalau kita lihat dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, kami menggunakan latar zaman purbakala manakala dalam drama ini lebih kepada moden. Jadi memang bersesuaian sekali kami memilih pelakon muda untuk menggerakkan drama ini. Lagipun inilah masanya untuk Pesona Pictures mencari bakat baru untuk diketengahkan," tutur Shumi.
Mengulas lanjut lakonan bakat baru Zarina An-Julia, Shumi berkata seperti mana pelakon lain, dia juga perlu menjalani uji bakat dan perlu melakukan pelbagai adegan lagak ngeri sendiri semata-mata untuk menghidupkan watak Samirah atau Mia. "Untuk filem ini Zarina juga perlu belajar silat dan melakonkan pelbagai aksi lagak ngeri seperti diikat dengan tali untuk adegan terbang dari satu tempat ke satu tempat. ia memang satu cabaran buatnya. Walaupun sedikit tersiksa tapi kami puas hati kerana dia melakonkan watak itu dengan jayanya," jelas Shumi sambil memberitahu Zarina sebelum ini pernah muncul dalam filem Selubung dan Mimpi Moon. Ditanya mengenai kehadiran Maya Karin yang buat pertama kalinya muncul dalam drama, Shumi berkata adegan itu perlu untuk menjelaskan mengapa Mia dipilih sebagai waris pontianak. "Kemunculan Maya sebenarnya lebih kepada penampilan istimewa. Dalam drama ini ada banyak babak membabitkan teknik imbas kembali dan di situlah peranan Maya untuk menerangkan kepada Mia mengapa dia dipilih sebagai waris pontianak dan bukan ibu atau neneknya.
Sementara itu, Zarina yang pertama kali memegang watak utama dalam drama menyifatkan peluang yang ditawarkan Shumi itu seperti bulan jatuh ke ke riba. "Minat saya memang terarah dalam bidang lakonan. Walaupun saya mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang pengurusan acara yang dikendalikan keluarga tapi saya sudah maklumkan kepada bapa bahawa keutamaan saya tetap pada bidang lakonan. Alhamdulillah dia memahami kehendak saya dan di sinilah saya," ujar gadis berdarah kacukan Melayu-Scotland ini. Adat pelakon baru yang diberi peranan utama, pastinya drama ini sedikit sebanyak memberi bebanan dan Zarina tidak terlepas dari merasai pengalaman seperti itu. "Saya akui memang bimbang juga apabila dapat tahu yang saya akan berlakon di samping beberapa pelakon terkenal seperti Maya Karin, Ida Nerina. Masa itu risau sangat takut kalau-kalau ada buat kesilapan yang berulang. Jadi apabila berlakon itu saya sentiasa berhati-hati supaya tidak membuat sebarang kesilapan," cerita gadis berusia 21 tahun ini.
Mengenai cabaran yang terpaksa dilaluinya ketika membawakan watak ini, Zarina berkata paling tidak boleh lupa apabila dia perlu melakukan aksi lagak ngeri sendiri tanpa membabitkan pelakon lain. "Saya ini memanglah penakut terutama apabila membabitkan babak di mana saya perlu diikat untuk terbang. Tapi, kalau sudah namanya pelakon, kita bukan boleh pilih ini kita hendak buat, yang itu tidak. Kita kena cuba semua. Walaupun kaki saya lebam sebab terjatuh tapi saya puas hati," tambah Zarina. Drama yang mengisi slot Seram saluran TV3 ini akan mula ditayangkan malam ini jam 9.30 bagi menggantikan siri Susuk 2 yang melabuhkan tirai episod terakhirnya minggu lalu. Ia mengisahkan di mana Meriam lakonan Maya Karin menurunkan kuasa kepada cicitnya Mia. Musuh Meriam daripada keturunan Sukir Muluk mahukan kuasa batu mulia dan hanya satu cara saja untuk mendapatkannya iaitu dengan membunuh Mia. Drama 13 episod ini turut menampilkan lakonan istimewa Nanu Baharudin, Na'a Murad, Rozie Rashid, Atie, Noniswara, Datuk Aziz Sattar.
Sumber : Berita Harian