Wednesday, October 24, 2007

Pengantin RM1 juta


ALANGKAH beruntungnya pasangan Lis Dawati dan Fauzi Nawawi yang bakal melangsungkan persandingan mereka esok dengan mendapat tajaan lebih RM1 juta dari hujung rambut hingga hujung kaki. Pasangan popular ini yang bernikah pada 9 September lalu sememangnya sangat beruntung apabila ada pihak yang sanggup menaja busana dan aksesori saat mereka meraikan hari bahagia.

Aktres berbakat Lis Dawati yang semakin cantik dan berseri ini bakal menggayakan barangan kemas mutiara putih laut selatan bernilai RM990,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre. Barangan eksklusif ini dipilih sendiri oleh Lis Dawati untuk dipadankan dengan gaun merah rekaan Michael Shu. "Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik apabila hari bahagia yang bakal disambut nanti menjadi kenangan paling indah yang akan dirasai hanya sekali dalam seumur hidup itu. "Saya bersyukur dan berterima kasih sangat kepada semua pihak yang sudi menaja majlis perkahwinan saya. Pereka yang mempunyai nama besar seperti Michael Shu, Calvin Thoo, Karina Ng dan Kenny Loh antara mereka yang sedia bekerjasama.

CINTA MEMBARA: Pasangan pengantin Lis dan Fauzi tidak sabar menanti hari esok.

"Bagi pakaian untuk majlis persandingan, saya akan memakai songket berwarna kuning kundang yang saya beli sendiri dari Terengganu. Songket itu akan dijahit oleh pereka Calvin Thoo mengikut konsep tradisional. "Selesai majlis bersanding, saya akan memakai gaun untuk sesi memotong kek. Gaun ini sangat istimewa kerana ia adalah impian yang pernah saya angankan selama ini. "Pada satu majlis yang pernah saya hadiri awal tahun lalu, saya tertarik dengan pakaian yang dipakai seorang selebriti yang direka oleh Michael Shu. Secara kebetulan Michael Shu menawarkan saya untuk menaja pakaian persandingan saya nanti. "Kata orang rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Bezanya gaun yang bakal saya pakai itu nanti bukanlah berwarna putih yang biasa dipakai oleh orang lain, tetapi saya memilih warna merah daripada kain jenis raw silk yang pernah menjadi impian saya selama ini.

"Saya juga bakal menyarung kasut istimewa yang direka oleh Karina Ng dari Four Seasons Collection. Kasut yang bertatahkan batu permata dibuat mengikut ukuran sebenar kaki saya," katanya. Majlis gilang-gemilang yang akan berlangsung di Dewan Komuniti, Taman Ibu Kota, Setapak itu sangat dinantikan aktor Fauzi. "Saya sebenarnya tidak menyangka ada pihak yang sanggup menaja majlis persandingan kami, lebih-lebih lagi ia membabitkan kos yang terlalu mahal dan eksklusif. "Bagi saya ini adalah rezeki perkahwinan kami dan menganggap ia juga sebagai hadiah istimewa daripada rakan pereka terkenal tanah air.
"Saya akan mengenakan tuxedo berwarna hitam rekaan Kenny Loh dari Lord’s Tailor. Memang saya amat teruja untuk menggayakan pakaian ini kerana sebelum ini saya tidak pernah memakai pakaian "Kemeja dalam yang berwarna merah pilihan Lis Dawati juga tidak pernah saya gayakan sebelum ini kecuali beberapa kali saja ketika penggambaran drama. "Saya mengharapkan majlis itu nanti menjadi kenangan paling indah dan berharap ia akan berjalan dengan sempurna seperti yang dirancangkan selama ini," katanya yang akan mendapatkan khidmat AZM dari Johor untuk pelamin yang menggunakan tiga kubah besar direka khas untuk pasangan itu.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR