Thursday, October 18, 2007

Azizah Ariffin tangguh bulan madu


LEBARAN ini ternyata cukup bermakna buat Penerbit dan Pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Azizah Ariffi n kerana kini beraya sebagai isteri selepas menamatkan status ibu tunggal pada 18 Ogos lalu.Jejaka yang berjaya menambat hati Azizah, 38, dan tiga anaknya Daniel, 12, Haikal, 9, dan Ashriel, 6, itu ialah Eksekutif Pemasaran di Jabatan Pemasaran TV3, Mohd Khafairil Mohd Khalil (Fairil), 28.“Memang saya bahagia ketika ini. Sejak berkahwin, saya berasa lebih selamat dan hidup lebih tenteram.
Cuma saya tidak menafikan tanggungjawab semakin bertambah bila sudah berkahwin buat kali kedua,” katanya.Azizah berkata, dia juga terpaksa bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangganya.“Apapun, keluarga tetap menjadi keutamaan saya sejak dulu. Saya perlu seimbangkan kedua-duanya. Saya akan lebih memberi tumpuan pada anak-anak bila mereka menghadapi peperiksaan penting.“Daniel baru habis Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Haikal pula darjah 3 dan bakal menghadapi peperiksaan akhirnya selepas raya nanti. Selain itu saya juga akan pastikan memeriksa kerja sekolah mereka setiap hari.
“Saya juga akan memperuntukkan masa bersama anak-anak pada hujung minggu dengan makan malam bersama mereka. Apa yang penting, saya tidak ingin mereka berasa diabaikan bila saya berkahwin lagi,” katanya.Azizah berkata, dia dan suami juga terpaksa menangguhkan rancangan bulan madu dan menunggu sehingga hujung tahun kerana terpaksa memberi laluan kepada perkara yang lebih penting.“Saya beruntung kerana suami cukup memahami dengan tugas saya. Malah, kalau ada kelapangan dia juga akan ikut menemani saya ke luar daerah.

“Kalau saya ada tugas di luar daerah, dialah yang akan menjaga anak-anak di rumah. Fairil juga berusaha untuk menjadi bapa terbaik buat anak-anak saya. Dia juga selalu buat aktiviti bersama dengan mereka di rumah,” katanya.
Mengenai persiapan raya, Azizah yang baru selesai menjayakan program Singgah Sahur selama tiga hari berkata, keutamaannya adalah buat anak dan suami tercinta.“Seperti tahun sebelumnya, kami memang menyambut raya secara sederhana. Maklumlah, agenda saya padat sepanjang Ramadan. Saya juga beli baju yang sudah siap buat anak-anak dan suami. Saya pula masih ada baju raya tahun lalu yang belum dipakai.“Kuih raya juga saya beli yang sudah siap.
Selain buat keluarga sendiri, saya juga beli sebagai buah tangan buat keluarga mentua. Antara kuih kegemaran ketika raya ialah tat nanas dan semperit.“Saya memang suka kuih tat dan kadang-kadang tak sempat raya pun, kuih itu sudah habis,” katanya. Tahun ini juga Azizah sekeluarga akan beraya di kampung suaminya di Masjid Tanah, Melaka.“Sebelum ini, saya sekeluarga beraya di Pulau Pinang dan di rumah abang di Kulim, Kedah tapi tahun ini lebih bermakna kerana berpeluang beraya bersama keluarga mentua pula. “Selepas beraya bersama ibu di sini, saya sekeluarga akan bertolak pulang ke kampung suami pula pada sebelah tengah hari.“Saya memang menantikan peluang untuk beraya dalam suasana kampung dan nampaknya impian itu kesampaian tahun ini.“Alhamdulillah, keluarga mentua bersikap terbuka dan saya juga tidak terasing kalau beraya di sana. Saya juga teruja untuk merasai pengalaman baru dan pada masa sama berdebar pun ada untuk beraya bersama mereka,” katanya.
Apa yang menarik, kata Azizah, Fairil berasal dari keluarga yang besar dan bapanya mempunyai sembilan adik beradik yang turun padang untuk memasak secara gotong-royong menyediakan juadah raya.“Mereka juga cekap memasak dan juadah yang disediakan juga ala bufet di hotel. Antara juadah wajib di sana ialah rendang tok, lontong dan nasi lemak. "Saya juga siapkan duit raya untuk kira-kira 25 anak saudara termasuk di sebelah suami,” katanya.Azizah berkata, dia juga belum ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka bagi meraikan keluarga dan rakan terutama kakitangan stesen TV3.“Insya-Allah, kalau ada peluang saya akan buat rumah terbuka di kawasan berhampiran dengan pejabat. Selain itu, selepas beraya di Melaka, kami juga akan beraya dengan adik-beradik saya dari Port Dickson.Mengenai perancangan membesarkan keluarga pula, Azizah berkata, jika ada rezeki dia dan suami berhasrat untuk menimang cahaya mata perempuan pula nanti.“Maklumlah, saya dan suami ingin mempunyai keluarga yang besar. Kami juga baru mempunyai tiga anak lelaki,” katanya.
Sesi fotografi raya Azizah dan keluarga barunya yang diatur di Saloma Bistro & Theatre Restaurant di Jalan Ampang itu disemarakkan lagi dengan kehadiran tiga personaliti TV3 yang juga Penerbit Keluarga Di 9 dan perantara WHI, Farah Adeeba Moha Ashraff, Nor Azzura Azizul Azman (WHI) dan Ahmad Fedtri Yahya (MHI).Farah Adeeba, 29, anak kelahiran Kuala Lumpur yang dibesarkan di Ayer Itam, Pulau Pinang ini buat pertama kali beraya dengan suami, Muhammad Rafique Rashid Ali, 30, bersama keluarga mentuanya di London.Anak sulung daripada empat beradik ini berkata dia dan suami juga mengambil cuti selama dua minggu bagi menemani ibu mentuanya yang bekerja di sana.“Selain ibu mentua, adik ipar saya juga belajar di sana. Selain itu, dua adik saya pula belajar di Ireland. Justeru, kami sekeluarga akan berkumpul di kediaman ibu mentua di London bagi meraikan lebaran pada tahun ini.“Saya dan suami juga memang paling ringkas setiap kali menyambut raya. Kami juga tidak kisah untuk pakai apa saja baju yang ada. Apa yang penting bagi kami, lebaran akan mengeratkan lagi tali kekeluargaan sedia ada,” katanya.
“Sekalipun beraya di London, kami tetap dapat merasai suasana raya dengan menikmati juadah yang disediakan ibu mentua di sana seperti rendang yang dimakan bersama ketupat segera. Selain itu kami juga akan menunaikan solat sunat Aidilfi tri di masjid berhampiran kediaman,” katanya. Farah Adeeba berkata, keluarganya juga tidak kisah dia menemani ibu mentuanya beraya di sana.“Sebenarnya saya sudah biasa berjauhan dengan keluarga kerana sejak usia 13 tahun lagi saya sudah duduk di asrama hinggalah saya melanjutkan pengajian di universiti. Selain itu, saya juga anak sulung dari empat beradik yang semuanya lelaki,” katanya.Selain Farah Adeeba, Nor Azzura Azizul Azman, 23, dari Cheras, Kuala Lumpur adalah pengacara WHI yang masih bujang dan juga paling muda.
Nor Azzura yang sudah dua tahun berkhidmat sebagai perantara WHI juga berkata, tahun ini dia berpeluang meraikan lebaran bersama keluarganya di kampung halamannya di Bentong, Pahang.“Raya tahun ini lebih meriah kerana tahun lalu saya beraya di studio kerana terpaksa bertugas di pagi raya,” katanya.Nor Azzura yang juga anak sulung dari dua beradik berkata, dia buat persiapan raya secara sederhana saja.“Saya membeli tiga pasang baju untuk digayakan pada hari raya. Saya juga membeli baju raya untuk adik perempuan, Nor Azlina, 9 dan juga untuk ibu dan ayah,” katanya. Nor Azzura berkata, dia sekeluarga akan beraya di Cheras dulu sebelum bertolak pulang ke kampungnya di Bentong pada sebelah tengah hari.“Antara juadah kegemaran pada pagi raya ialah rendang ayam, ketupat dan kuah sate. Kuih-muih pula ialah semperit, tat nanas.“Raya juga lebih meriah bila ibu saudara dan adik sepupu juga berkumpul di rumah kami. Selain itu, saya juga sediakan duit raya untuk adik sepupu yang baru berumur lapan bulan kerana saya belum ada anak saudara lagi. Bila sudah bekerja tibalah giliran saya yang bagi duit raya pula,” katanya.
Sementara itu, pengacara MHI, Ahmad Fedtri Yahya, 26, pula sudah tiga tahun berturut-turut beraya di studio. Pengacara yang masih bujang dan dikenali sebagai penulis lirik lagu Ayuh Juragan dan Racau Sang Khalifah dendangan penyanyi Noraniza Idris ini pula akan pulang beraya di kampungnya di Kampung Pengkalan Baru, Pantai Remis, Perak pada hari raya keempat.“Saya juga jayakan program Sampaikan pada malam raya, sejak tiga tahun lalu,” katanya.Apapun kata, Ahmad Fedtri yang juga anak kelapan dari sembilan beradik ini, dia juga tidak menunggu hari raya saja untuk pulang ke kampung kerana akan pulang ke kampung setiap kali ada kelapangan.“Saya selalu balik hari saja. Perjalanan ke kampung saya juga cuma tiga setengah jam saja. Saya juga akan balik sekejap ke kampung pada malam raya sebelum kembali ke studio pada hari raya.
“Semua adik beradik saya sudah berkeluarga dan cuma tinggal saya yang masih lagi hidup membujang. Malah, saya juga mempunyai seramai 20 anak saudara.“Saya akui memang 'workoholic’ kerana belum berpeluang berpuasa bersama keluarga sejak awal Ramadan lalu,” katanya.Tambah Ahmad Fedtri lagi, sudah menjadi tradisi baginya untuk buat aktiviti cabutan bertuah buat keluarganya pada Aidilfitri saban tahun.“Sambil ahli keluarga menikmati jamuan barbeku di depan rumah, mereka juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang saya sediakan.“Pada masa sama, antara juadah kegemaran pada hari raya ialah Laksa Mi Goreng yang disediakan ibu. Selain itu ialah ketupat dan rendang ayam,” katanya.
Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR