SELAMA empat tahun menyambut Aidilfitri di perantauan, selera Hadi Putera Halim, 26, atau ringkasnya Adi Putra, sudah sebati dengan hidangan hari raya yang disediakan masyarakat di sini.Meskipun juadah di negara asalnya, Singapura, tidak jauh bezanya dengan hidangan masyarakat di sini namun pasti ada yang tidak sama. Misalnya di Kota Singa itu, juadah utamanya rendang, ketupat dan lontong.
“Di sini pun ada ketupat dan lontong juga tetapi ia bukanlah keutamaan. Selain dua hidangan itu, di sini juga ada lemang. Sajian hari raya di negara ini lebih pelbagai sehingga kalau bertandang ke rumah kawan-kawan, tak tahu pilih yang mana satu. “Masakan rendang misalnya, di negara ini ada banyak jenis rendang termasuk rendang daging, ayam, ikan tongkol dan rendang kerang. Semua jenis rendang itu pula boleh dimakan bersama nasi, ketupat, lemang atau roti. Orang sini lebih kreatif mengenai masak-memasak ini.
“Bagaimanapun, dari segi makan saya tidak cerewet. Di negara manapun berada, saya boleh menikmati juadah yang dihidangkan,” katanya. Raya ini, Adi Putra akan beraya di kampung isterinya di Tanjung Karang, Selangor dan sebelah tengah hari barulah mereka berangkat balik ke Singapura.Adi Putra yang dulunya bekerja sebagai kru teknikal di Unit Hong Kong Singapura bahagian penerbitan drama untuk siaran Suria TV, tidak menyangka mempunyai bakat berlakon sehinggalah pengarah drama negara itu memanggilnya untuk uji bakat. “Ketika itu saya bekerja empat hari dan cuti tiga hari. Waktu bercuti itulah saya peruntukkan masa berlakon tetapi drama lakonan saya tidak banyak. Adalah dalam tiga drama, Badai, Rahsia Perkahwinan dan Anak Metropolitan.“Ketiga-tiga drama itu disiarkan di Suria TV, Singapura.
Tetapi saya tidak begitu terkenal di sana kerana jarang berlakon dan tidak sangka pula bintang saya lebih menyinar di sini. Bagi saya di negara mana pun berada saya hanya mencari rezeki.
“Drama Haryati 2 arahan Erma Fatima dan Mya Zara terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd benar-benar mengubah nasib saya. Paling terbaru, saya baru habis berlakon drama Spa-Q untuk siaran RTM dan Sepi Itu Indah untuk tayangan TV3,” katanya. Menurut Adi Putra, Spa-Q mengisahkan kemelut peribadi yang menimpa tujuh wanita yang diterajui Norish Karman, Betty Banafe, Ifa Raziah, Faradhiya, Nisha Dir, Intan Azura dan Elly Mazlein. Drama 60 episod itu mempunyai banyak sub plot. Dalam drama itu Adi Putra yang berkahwin dengan Intan Azura tetapi kemudian bercerai kerana Intan Azura tidak mahu mempunyai anak. Kalau tiada aral, drama itu akan ditayangkan selepas raya ini. Sepi Itu Indah pula diterbitkan sebanyak 13 episod menceritakan empat jejaka mengejar seorang wanita kaya dimainkan oleh Watie Elite.
Antara jejaka yang berusaha mencuri hati wanita kaya itu ialah Datuk Amar yang peranannya dipegang Adi Putra sendiri. “Seronok juga dapat berlagak jadi Datuk muda. Selepas raya ini saya akan berlakon filem terbitan Sri Saheb Productions bergenre seram. Tetapi drama itu belum bertajuk lagi. Heroinnya pun masih dalam pencarian,” katanya yang turut berlakon dalam filem Halal, Akhirat dan Histeria.
Menyatakan kesyukuran di atas kejayaan yang dikecapi kini, Adi Putra terhutang budi kepada rakan-rakan dan masyarakat di sini kerana dapat menerima kehadirannya dalam persada seni negara ini.“Allah memberikan saya jalan untuk mencari rezeki di sini dan Alhamdulillah berjaya. Saya akan terus bekerja keras untuk mencipta kejayaan yang lebih besar demi kebahagiaan saya dan isteri,” katanya.
Sumber : Metro