DI kala kebanyakan pasangan pengantin memilih Paris, Perancis dan Venice, Itali sebagai destinasi 'mengabadikan' bulan madu mereka. Namun, tidak berlaku pada pelakon, Lis Dawati dan Fauzi Nawawi. Merpati dua sejoli yang baru sebulan bergelar suami isteri ini bercadang memilih Bali, Indonesia untuk berbulan madu. Apakah ada 'nostalgia' manis mereka di pulau indah itu?Lis Dawati berkata dia dan suami merancang memilih Bali kerana hingga kini mereka belum pernah ke pulau itu. Namun, katanya, cerita mengenai Bali memang biasa didengar.
"Jadi kalau ke Bali nanti, akan menjadi kunjungan pertama kami. Justeru, saya harap perancangan ini menjadi walaupun tarikh sebenar belum lagi ditetapkan."Kami berdua sama-sama sibuk dengan aktiviti lakonan masing-masing. Saya sendiri, selepas persandingan ini (malam Jumaat lalu) akan terbabit dengan penggambaran drama untuk slot Samarinda."Abang Fauzi (panggilan suami) pula dengan jadualnya. Oleh itu, kami masih tidak berkesempatan menetapkan tarikh yang sesuai.
Insya-Allah, kami akan pergi bulan madu juga," katanya.Ditanya mengenai anak, Lis Dawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin mengakui mereka tidak pernah merancang. Katanya, kalau boleh mereka memang mahu anak secepat mungkin."Mana tahu, tahun depan kami dianugerahkan anak oleh Tuhan. Sama ada saya dan abang Fauzi, kami tetap terima. Pada kami, anak akan mengeratkan lagi ikatan kasih kami," katanya.Fauzi, 34, berkata dia hanya bercuti dua hari selepas majlis persandingan itu. Katanya, dia akan ke lokasi penggambaran drama Meniti Cahaya Kasih untuk tayangan Aidiladha.
"Saya diberi tanggungjawab mengarahkan drama itu. Malah, saya turut terbabit dengan promosi filem baru, Orang Minyak bermula 15 November ini. Kemudian, ke lokasi penggambaran semula.
"Memang sibuk hingga tidak tahu bila kami akan berbulan madu. Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan majlis persandingan ini."Saya bersyukur majlis (persandingan) ini berjalan lancar. Biarpun, sederhana tetapi Alhamdulillah banyak pihak sudi memberikan tajaan mereka pada saya dan isteri," katanya.Pada majlis persandingan pasangan ini di Dewan Komuniti, Taman Ibu Kota, Setapak, tiga hari lalu, Fauzi dan Lis Dawati umpama 'pinang dibelah dua' menggayakan busana songket kuning kundang rekaan Calvin Thoo.
Selain itu, Fauzi turut menggayakan tuksedo yang dihadiahkan Lord's Tailor Sdn Bhd kepadanya manakala Lis Dawati anggun dengan gaun petang warna merah rekaan Michael Shu.Tidak lengkap rasanya penampilan Lis Dawati malam itu tanpa aksesori mutiara putih bernilai RM1.5 juta tajaan Rafflesia The Pearl Centre. Boleh dikatakan dari 'hujung rambut ke kaki' mereka ditaja.Lebih 500 tetamu hadir di majlis persandingan yang bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam itu. Selain sanak saudara kedua mempelai, ia dihadiri rakan artis seperti Rosnah Johari, Nasreen (Darling) Ngasri, Shaharudin Thamby, Ezlynn, Effa Raziah, Salina Saibi dan Azwan Ali selaku pengacara majlis.
Pasangan ini mengakui selesa bersederhana. Malah, kata Fauzi, dia membuat apa yang termampu kerana tidak mahu menanggung hutang selepas itu."Buat apa mengadakan persandingan besar dan hebat, kalau kemudian hari kami perlu melunaskan hutang yang dibuat. Justeru, kami sangat bersyukur dengan apa yang ada ini."Saya juga tidak sangka, pelamin tajaan AZM dari Johor Bahru ini cukup cantik dan nilainya melebihi RM50,000. Oleh itu, kami hanya mampu mengucapkan jutaan terima kasih," katanya.Terdahulu, Fauzi dan Lis Dawati 'disatukan' dalam ikatan pernikahan pada 9 September lalu. Pada majlis itu, Lis Dawati menerima wang hantaran RM21,111 serta mas kahwin RM999.
Sumber : Metro