Sunday, October 28, 2007

Daya pemikat Ayu


MANJALARA meninggalkan kenangan indah buat gadis bermata galak ini. Menerusi siri ini, dia lebih dikenali di kalangan penggiat seni dan juga penonton drama Melayu.
Penampilannya sebagai Farah yang manis bertudung membuatkan ramai jatuh hati dengannya. Daya tarikan imej itu cukup kuat hinggakan dia diundang membintangi drama Hidayah 2 yang turut menampilkan gaya sama. Bagaimanapun, apa yang disaksikan itu hanya di layar kaca.Tidak hairan mengapa ada yang memandangnya penuh kehairanan bila berselisih di tempat awam.
Ada juga memberanikan diri bertanya, mengapa gadis berusia 23 tahun ini tidak bertudung. Tidak kurang juga bunyi suara sumbang mengkritik secara terang-terangan.Jika diamati, ramai juga pelakon wanita memakai tudung untuk memenuhi kehendak watak, namun peminat seakan-akan boleh menerima tanpa banyak soal.
Bagaimanapun, lain pula yang berlaku kepada Ayu Raudhah.Mungkin kerana ramai menyangka model dan pelakon ini sebenarnya bertudung kerana namanya menonjol sejak membawa watak Farah."Mulanya, terkejut juga bila dengar orang merungut saya tidak bertudung. Saya tidak salahkan mereka kerana dalam Manjalara, hanya beberapa babak saya menampakkan rambut. Selebihnya semua bertudung, walaupun di bilik tidur."Apa yang dapat saya lakukan hanya mendiamkan diri.
Saya tahu ramai suka saya bertudung. Malah, ada juga beberapa tawaran yang mahu tampil bertudung dalam produksi itu. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan pakai juga," kata Ayu bersemangat.Selepas Manjalara, gadis kelahiran Alor Star ini tidak menang tangan menerima tawaran menjayakan drama dan filem. Pun begitu, tidak semua rezeki di depan mata itu diterima lantaran jadual penggambarannya terlalu padat.
Pertengahan Ogos lalu, Ayu sibuk di lokasi penggambaran drama 30 episod, Hidayah 2 yang dijangka berakhir hujung tahun ini.

"Kalau ikutkan, memang ada banyak tawaran, termasuk sebuah filem. Malah, Grand Brilliance pernah menyuarakan hasrat menyunting saya untuk drama dalam Internet."Ini projek pertama seumpamanya. Saya memang berminat, tapi tidak berdaya kerana sudah ada komitmen yang harus diselesaikan. "Jika terima akan berlaku pertindihan jadual dan pasti menyusahkan banyak pihak. Jadi ada baiknya saya selesaikan satu persatu. Insya-Allah selesai Hidayah 2, saya akan menjalani penggambaran drama 13 episod yang mengupas kehidupan remaja," kata anak keenam daripada tujuh beradik ini.
Mengimbas pembabitan awalnya dalam industri, Ayu didedahkan dengan dunia peragaan oleh kakaknya yang juga pelakon popular, Rozita Che Wan pada 2003.Memiliki seraut wajah cantik, tidak sukar untuknya menyerlah dalam bidang ini. Banyak juga sesi fotografi dijayakannya, malah terpilih sebagai model beberapa komersial, termasuk syampu Pantene dan Rejoice.Pengalaman yang diperoleh di lokasi penggambaran komersial membuka minatnya menghadiri uji bakat drama Dilema Wanita, arahan Erma Fatima pada penghujung 2005.
"Sekadar cuba-cuba, tak sangka pula saya terpilih untuk berlakon dalam episod Terima Kasih Ana. Itu drama pertama saya. Sejak itu saya jatuh cinta dengan bidang ini dan berusaha mencari peluang pergi lebih jauh."Saya berazam mahu ada peningkatan dalam kerja. Daripada drama, saya mahu berlakon dalam filem pula dan jika sebelum ini pegang watak kecil, selepas ini saya mahu watak lebih besar."Kalau ikutkan, kecil dulu saya mahu jadi penyanyi, tapi sudah tertulis rezeki saya dalam bidang lakonan," katanya ketawa.Selain Ayu dan Rozita, kakaknya, Rohaiza atau lebih mesra dengan panggilan Jaja turut bergiat aktif dalam dunia peragaan. Selain itu, abangnya, Azwan mula menunjukkan kecenderungan dalam dunia lakonan.
Akui Ayu, seronok apabila ramai keluarganya berkecimpung dalam bidang seni. Dapatlah mereka bertukar-tukar pendapat, pengalaman dan menjaga satu sama lain."Saya jadikan Kak Ita (Rozita) sebagai sumber rujukan. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, baik sebagai model mahupun pelakon."Lebih seronok bila semua adik beradik saya menetap di Kuala Lumpur, malah rumah kami terletak di blok apartmen sama. Ayu tinggal serumah dengan abang dan adik. Kak Ita menetap dengan anak dan dua lagi rumah didiami kakak saya yang lain."Secara peribadi Ayu rasa lebih selamat, selesa dan mudah bila tinggal dengan keluarga. Bagi Ayu, keluarga adalah segala-galanya, malah merekalah kawan terbaik Ayu," katanya.
Tambahnya, demi anak, ibunya sanggup berulang alik dari Alor Star dan Kuala Lumpur. Dengan adanya ibu di sisi, hari yang dilaluinya rasa lebih bermakna."Boleh dikatakan Mama lebih banyak menetap di Kuala Lumpur berbanding Alor Star. Dia bergilir-gilir menetap di rumah Ayu dan kakak lain. Kalau Mama masak, kami makan beramai-ramai."Daddy meninggal dunia ketika Ayu berusia lima tahun. Sejak itu Mama yang membesarkan kami. Dialah ibu dan juga bapa. Tidak hairan mengapa anak manja dengan Mama, malah hingga hari ini Mama masih menyuapkan kami nasi," katanya.
Sama seperti Rozita, Ayu sering diganggu lelaki yang berminat mendampinginya. Ada yang sanggup menabur hadiah, wang ringgit dan kedudukan lebih stabil demi memiliki hatinya.Namun gadis berjiwa periang ini tidak semudah itu 'akur' dengan kata-kata manis insan bernama lelaki, sebaliknya lebih senang berusaha sendiri andai mahukan sesuatu."Ayu akan lebih menghargai jika sesuatu itu Ayu peroleh atas usaha sendiri. Biar hidup serba sederhana, asalkan hati gembira. Bukan wang ringgit yang Ayu kejar, tapi kebahagiaan dan kejujuran. Fokus Ayu sekarang adalah kerjaya, ada baiknya soal hati dan perasaan Ayu ketepikan dulu. Lagipun Ayu masih muda," katanya.
Sumber : Metro
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR