BERSENDIRIAN ketika hari lebaran memang mengundang perasaan rindu yang tidak dapat digambarkan pada hati penyanyi hitam manis kelahiran Pulau Pinang, Nurul. Perasaan sebak dan sayu hadir dalam sanubarinya apabila mengimbau saat manis, suka dan duka bersama ibu bapanya. Namun, sejak bapanya meninggal dunia 10 tahun lalu dan ibu pula menyusul empat tahun lalu, membuatkan 1 Syawal sudah tidak lagi sama ketika hayat orang tuanya masih ada.
Terlalu sukar untuk mengikis kenangan indah Aidilfitri bersama ibu bapa ketika mereka masih ada. Kerana itu, Syawal ini Nurul memilih untuk beraya sendiri di ibu kota. Membawa diri jauh daripada kenangan lalu kerana kata Nurul, dia enggan ditemani kesedihan pada hari kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan lapar dan dahaga. "Sayu rasa hati setiap kali kami berkumpul adik beradik. Setiap kali kenangan menyambut raya bersama emak dan abah datang, kami masing-masing tidak dapat menahan air mata. Disebabkan tidak mahu bersedih pada hari raya, Nurul mengambil keputusan beraya sendiri di Kuala Lumpur.
Sendiri, namun Insya-Allah, Nurul tidak sepi kerana ditemani teman rapat serta keluarga angkat. "Tiada yang lebih indah selain menyambut Aidilfitri bersama abah dan emak, namun semua itu hanya tinggal kenangan. Memori itu akan sentiasa bertandang dan hanya al-Fatihah menjadi pengerat kasih yang tidak bertepi buat dua insan yang paling Nurul kasihi," katanya dalam sebak yang tertahan.
Kembali mengumpul kekuatan, penyanyi berusia 30 tahun itu berkata, Aidilfitri ini juga menuntut satu lagi ‘pengorbanan’ apabila anak tunggalnya, Ayu Nazirah memilih untuk menyambut hari raya bersama bekas suaminya, Mohd Faizal Maas atau Ajai. Bagi Nurul, biarpun tidak dapat bersama pada pagi mulia itu, persiapan untuk anak kesayangannya tidak dipinggirkan. Semuanya disediakan terlebih dulu kerana tiada yang lebih membahagiakan selain melihat kegembiraan anak kesayangannya.
"Ayu memilih beraya dengan keluarga bekas mentua di Johor Bahru. Tak sampai hati pula nak halang. Biarlah dia bersama datuk dan neneknya di sana kerana Nurul sendiri sudah tidak punya siapa. Tidak mengapalah kerana Nurul sendiri menyibukkan diri pada hari itu dengan menjayakan beberapa program siaran langsung di TV," katanya. Penyanyi ini juga tidak mahu bercakap apa-apa lagi mengenai bekas suaminya, tetapi menegaskan dia langsung tidak menyimpan perasaan dendam meskipun bahtera perkahwinan mereka karam selepas hampir sedekad bersama. Namun, jauh di sudut hatinya belum lagi terdetik mencari pengganti.
Kata Nurul, sepi itu indah dan dia mahu menikmati saat manis sepuas-puasnya sebelum kembali memikirkan soal pengganti. Meskipun sepi ada ketika datang menyapa, Nurul tidak membiarkan emosi menguasai diri.
Kata Nurul, sepi itu indah dan dia mahu menikmati saat manis sepuas-puasnya sebelum kembali memikirkan soal pengganti. Meskipun sepi ada ketika datang menyapa, Nurul tidak membiarkan emosi menguasai diri.
Dia berusaha untuk membuatkan dirinya sibuk setiap masa bagi melupakan perasaan sunyi dengan bertandang ke rumah rakan atau sanak saudara selain dengan kerja rakaman album dan aktiviti riadah. Sejak beberapa bulan lalu, Nurul mencuba sukan berkuda dan akuinya, dia menemui kepuasan apabila berada di lapangan. "Jalan hidup ini saya yang pilih, mengapa pula saya perlu mendera diri dan terus meratapi apa yang sudah berlalu. Mahu atau tidak saya perlu teruskan hidup dan jika terus bersedih saya akan menjadi manusia yang emosional.
Saya sendiri sudah lupakan kenangan lalu dan apa yang ada dalam fikiran ketika ini hanya kerja dan memantapkan lagi karier seni," katanya. Mengenai album terbarunya yang bakar diedarkan hujung tahun ini, Nurul berkata, ada tiga lagu belum dirakamkan. Lagu untuk albumnya kali ini menampilkan karya nama besar dalam industri muzik seperti Julfekar, Tam, Aidit Alfian, Bong, Edrie Hashim dan Yasin. "Lapang rasa hati apabila kerja rakaman sudah hampir selesai. Dulu sentiasa rasa bimbang, tetapi apabila melihat usaha ini hampir menjadi kenyataan, lega rasanya. Cuma sekarang urusan mencari syarikat untuk mengedarkan album masih belum diputuskan," kata Nurul yang mengeluarkan wang poketnya lebih RM60,000 untuk merealisasikan impian besarnya itu.
Nurul
Tarikh Lahir: 27 Julai 1977
Umur: 30 tahun
Asal: Tasek Gelugor, Sebarang Perai, Pulau Pinang
Album solo: Nurul (1995), Ikhlasnya Cinta Ku (1996), Kini Dan Selamanya (1998) serta Cita Dan Cinta (2000). Muncul menerusi sebuah filem, Sate. Pencapaian: Artis Baru Terbaik AIM 1996, Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe 1995 (Kerana Terluka) dan Lagu Terbaik AIM 2004 (Selagi Ada Cinta)
Sumber : Berita Harian