Monday, October 22, 2007

Misha Omar masih laris selepas enam tahun


MESKIPUN ramai penyanyi baru yang muncul dalam bidang seni suara tanah air sejak kebelakangan ini, tetapi nama Misha Omar masih belum kering daripada terus meniti di bibir dan hati para peminat setianya.
Malah, selepas enam tahun bergelar penyanyi dan tidak muncul dengan album baru sejak lebih dua tahun lalu, Misha terus menjadi pilihan para penganjur pertunjukkan pentas.

Hakikat itu dapat dilihat apabila penyanyi kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang itu terpaksa membahagi-bahagikan masanya ekoran permintaan mengadakan persembahan pentas yang banyak diterimanya akhir-akhir ini.
“Tarikh untuk mengadakan persembahan pada hari ini pun terpaksa ditempah sebulan sebelum Ramadan. Saya memang banyak menerima undangan menyanyi.

“Saya gembira sebab peminat masih mengingati Misha Omar terutamanya ketika saya menyanyikan lagu Pulangkan dan Bunga- Bunga Cinta,” katanya ketika mengadakan persembahan Jamuan Raya bersama Cheryl Samad di Mines Shopping Fair, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Persembahan yang dianjurkan bersama oleh Mines Shopping Fair dan Restoran Kenny Rogers Roasters itu diadakan bagi menghiburkan 40 kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Shelter, Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Misha, meskipun ketika merayakan Aidilfitri tetapi permintaan untuk mengadakan persembahan pentas tidak pernah lekang.
Apatah lagi persembahan yang diadakannya itu amat bermakna kerana ia dapat menceriakan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik pada musim perayaan seperti ini.
“Biarpun lebih 90 peratus kanak-kanak yang ada pada petang ini bukannya beragama Islam tetapi ternyata mereka amat terhibur ketika saya menyanyikan lagu-lagu Hari Raya,” ujarnya yang turut ditemani oleh kakaknya, Mimi serta dua adiknya iaitu Syafikah dan Syafinaz.

Pada persembahan itu, Misha menyanyikan empat buah lagu berjudul Selamat Hari Raya, Ku Seru, Berdua Lebih Baik, Pulangkan dan Bunga-Bunga Cinta.
Sementara Cheryl Samad pula menyanyikan dua buah lagu berjudul Tiada Lagi Rahsia dan Love pada persembahan petang itu yang turut disertai oleh Eksekutif Pemasaran Kanan Kenny Rogers Roasters, Christina Thong.
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR