AKHIRNYA, penantian gadis hitam manis ini untuk memiliki albumnya sendiri bakal terlaksana apabila albumnya yang berjudul Selepas 3 bakal berada di pasaran menjelang akhir tahun ini.
Malah, dia begitu teruja apabila diajak bercerita tentang album sulungnya itu. Bukan itu sahaja, malah, dia juga memberi peluang kepada penulis untuk mendengar lagu-lagu yang dimuatkan dalam albumnya kelak.
“Sememangnya, saya sudah tidak sabar lagi untuk menunggu reaksi daripada peminat apabila Selepas 3 berada di pasaran kelak. Saya amat berpuas hati dengan hasilnya dan saya percaya, album sulung ini akan memuaskan hati peminat yang terus menyokong saya sejak Akademi Fantasia 3 (AF3) hingga kini,” jelas Amylea sewaktu ditemui baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Amylea turut memberitahu dia kini dalam proses akhir untuk menyiapkan album sulungnya itu.
“Saya rasa bersyukur kerana pihak pengurusan Maestro Records memberi peluang dan kebebasan kepada saya untuk mencorakkan sendiri serta menentukan hala tuju perjalanan album saya.
“Malah, saya rasa sangat bertuah kerana mereka menerima idea saya untuk album sulung ini. Itu membuatkan saya rasa teruja dengan kelahiran album ini,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini lagi.
Apabila ditanya mengapa, Selepas 3 yang dipilih sebagai tajuk albumnya, Amylea menjelaskan angka 3 itu memberikan maksud yang mendalam buat dirinya.
“Saya memilih Selepas 3 kerana ia melambangkan usia saya dalam bidang seni dan juga selepas tiga tahun, barulah impian saya direalisasikan.
“Kalau orang bertanyakan kepada saya, tidakkah terlalu lambat untuk saya mengeluarkan album berbanding kawan-kawan AF3 yang lain seperti Mawi dan Felix, saya memandang perkara itu sebagai satu yang positif.
“Lagipun, saya faham dengan situasi Maestro yang perlu menjaga ramai artis dan saya perlulah menunggu giliran untuk merakamkan album. Saya percaya jika kita terus bersabar, kita akan nampak hasilnya dan dengan kelahiran album ini, itulah hasilnya,” jelasnya yang cukup popular dengan lagu keramatnya, Ku Berserah.
Malah, single terbarunya berjudul Andai, ciptaan komposer dan penyanyi berbakat besar, Hazami, kini sudah pun berkumandang di corong-corong radio dan mula mendapat perhatian.
Amylea turut menjelaskan albumnya itu nanti turut mendapat sentuhan komposer-komposer seperti Afdlin Shauki, Azlan Abu Hassan, Pacai dan seorang komposer dari Australia yang masih lagi dirahsiakan namanya.
“Menariknya, untuk lagu ciptaan Azlan Abu Hassan iaitu Ku Temui, saya berpeluang berkolaborasi dengan finalis AF2, Kaer yang menyumbang bakatnya dengan menulis lirik lagu berkenaan.
“Semuanya bermula apabila kami bertemu di konsert akhir AF5 dan kami sama-sama duduk berbincang untuk menghasilkan liriknya. Sebaik sahaja mendengar lagu dari Azlan, dia pun mendapat idea untuk menghasilkan liriknya. Saya akui, saya amat menyukai lagu Ku Temui itu dan percaya peminat pun begitu juga,” jelas pemenang tempat ketiga AF3 ini lagi.
Untuk menjadi anak seni yang berjaya bukanlah mudah seperti yang disangka. Ia memerlukan pengorbanan serta semangat yang kuat menghadapi dunia seni yang penuh pancaroba ini.
“Saya mahu menjadi seorang penyanyi yang diterima ramai. Sebab itu, saya berusaha memantapkan diri dengan menyertai kelas vokal bersama Cikgu Syafi dan juga kelas tarian bersama Cikgu Linda Jasmine,” katanya.
Sumber : Utusan