Monday, October 8, 2007

Cabaran cinta Hetty


SETAHUN menjalin ikatan percintaan dengan Amir, pramugara yang kini menetap di Dubai, membungakan bahagia di hati penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Hetty Sarlene. Meskipun terpisah beribu-ribu batu, sesekali hatinya tersentuh kerana sarat menanggung beban rindu, namun semua halangan itu berjaya diruntuhkan kerana kepercayaan yang mendalam terhadap jejaka berusia 25 tahun itu.

Akui Hetty, 23, percintaan jarak jauh sangat menguji apatah lagi mereka jarang berkesempatan untuk bertemu disebabkan masing-masing sibuk. Hanya panggilan telefon dan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi pengerat ikatan cinta yang sudah semusim dibajai dengan kepercayaan dan kasih sayang. "Ada ketika berlaku juga kekeliruan dan perselisihan faham tetapi alhamdulillah, kami mampu menanganinya dengan matang. Tiada yang lebih penting selain memberikan sepenuh kepercayaan kerana saya tidak nampak apa yang dilakukannya di sana, begitu juga dia.
"Pernah juga hubungan kami diuji apabila hampir tiga bulan tidak bersua kerana masing-masing sibuk. Hanya ketabahan dan kekuatan yang menjadi tunjang untuk kami terus melayari hubungan ini," kata Hetty ketika ditemui pada majlis pelancaran program Aidilfitri TV3 di KL Sentral, baru-baru ini.
Bakal memeriahkan sambutan Syawal dengan drama lakonannya bersama Ziana Zain, Mas Idayu dan Ezlynn, Empat Diva Sekampung siaran TV3, Hetty berkata, sesekali apabila rindu menyapa, dia akan berkongsi perasaan itu dengan ibunya.
Lara hatinya menanggung kerinduan akan dipujuk ibu dan sesekali kata Hetty, apabila kelapangan dia akan bertemu Amir di Singapura apabila jejaka itu pulang bercuti panjang. Disebabkan itu, dia begitu teruja menanti kedatangan 1 Syawal kerana insan yang disayanginya itu akan turut pulang beraya di tanah kelahiran mereka. "Kami sudah merancang untuk saling berkunjung saudara mara kedua-dua belah pihak, selain bertemu keluarga serta berkenalan pada hari mulia itu. Apa yang membuat saya bersyukur hubungan kami berdua direstui keluarga. Ayah Hetty juga berpesan, jika mahu berkahwin biarlah kami berdua benar-benar stabil.
"Justeru, saya memberi tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk bekerja keras sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. Memang saya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru, tetapi untuk mencari jodoh yang tepat bukan sesuatu yang mudah. "Biarlah kami terus mendasari hati masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Lagipun, hubungan kami masih baru," kata pelakon yang sedang mekar namanya menerusi drama bersiri, Pasrah. Memperuntukkan cuti selama 10 hari sepanjang raya nanti, Hetty juga ingin menggunakan kesempatan itu untuk mengeratkan semula hubungan dengan adiknya, Endang yang sudah beberapa bulan tidak ditemui.
Kata Hetty, disebabkan sibuk dengan lakonan dan nyanyian, manakala adiknya sedang menyambung pelajaran di kolej, setiap kali pulang bercuti mereka jarang dapat berkumpul bersama. "Lagipun, Hetty jarang pulang lama. Biasanya sehari dua pada hujung minggu dan selepas itu terpaksa bergegas semula ke Kuala Lumpur kerana terikat dengan penggambaran. Terasa renggang hubungan dengan adik," katanya.
Masih mencintai nyanyian
PERNAH merakamkan tiga album, Hetty Sarlene, Tiada Lain dan The Best Of Hetty Sarlene, kerjaya nyanyian Hetty agak suram sejak dia membabitkan diri dalam lakonan empat tahun lalu. Dalam suasana pasaran industri muzik yang sukar diramalkan menyebabkan Hetty beralih tumpuan, meskipun jauh di sudut hati dia masih merindui bidang yang memperkenalkan namanya sebagai anak seni. Bagaimanapun, kata Hetty kerinduan untuk memiliki album terbaru akan berakhir tidak lama lagi apabila syarikat rakamannya, NSR sedia berbincang untuk pembikinan produksi keempatnya.
"Mereka masih berhutang dua album lagi dan setakat ini, perbincangan sudah pun dibuat. Pastinya untuk album terbaru ini Hetty ingin memilih konsep yang lebih matang bersesuaian dengan usia Hetty. "Sayang juga jika kerjaya nyanyian tenggelam begitu saja sedangkan Hetty masih berminat untuk meneruskannya," katanya.
INFO: Hetty Sarlene

Hetty Sarlene Abdul Hamid, 23, dilahirkan pada 21 April 1984 di Singapura. Anak sulung daripada dua beradik ini memperoleh pendidikan menengahnya di Boonlay Secondary School, Singapura.
Dia pernah menghasilkan tiga album iaitu Hetty Sarlene, Hetty Sarlene - Tiada Lain dan The Best of Hetty Sarlene. Hetty juga berbakat sebagai pelakon. Dia pernah membintangi filem Iskandar dan Sembilu 2005. Kini sedang menjalani penggambaran filem terbarunya, Evolusi KL Drift terbitan Skop Productions Sdn Bhd.
Hetty sebenarnya banyak menimba pengalaman berlakon bersama Skop Productions apabila semua drama lakonannya seperti Sembilu, Sembilu Kasih dan Gerak Khas adalah terbitan produksi berkenaan.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR