RIUH rendah jadinya apabila orang lelaki pergi membeli-belah. Apakan tidak selalunya ia dianggap sebagai kerja orang perempuan. Selalunya pelbagai alasan mereka berikan seperti penat, ramai orang dan rasa rimas. Pendek kata ada saja alasannya. Bagi mereka yang sudah berkeluarga, kerja membeli-belah lazimnya diserahkan kepada isteri. Tetapi bagi kumpulan Sofaz yang masih membujang, persiapan raya dilakukan sendiri atau pun diserahkan kepada keluarga.
Dalam kesibukan membuat persiapan untuk album ketiga mereka, kumpulan yang dianggotai Are Meer, Shah, Fairouz, One, Zimi dan Rodie masih sempat meluangkan sedikit masa mereka melakukan persiapan terakhir bagi meraikan Syawal. Tempat tumpuan mereka setiap kali menjelangnya raya sudah tentulah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR). Segala-galanya ada di situ, baju Melayu, songkok, capal, butang baju Melayu, kuih raya dan macam-macam lagi. Pendek kata sebut saja semuanya sudah terbentang di depan mata. "Sejak kecil lagi Jalan TAR menjadi pilihan saya," kata vokalis kumpulan itu Are Meer yang masih belum pasti sama ada akan pulang berhari raya di Perak atau pun beraya di Bukit Beruntung saja.
Macam-macam gelagat ketika kumpulan ini berkunjung ke Jalan TAR. Ada juga mata yang sudah mula mengenali kumpulan ini sejak mereka muncul dengan album kedua berjudul Janjiku dan kemudian muncul Duo/Kumpulan Paling Popular Anugerah Planet Muzik di Singapura, Jun lalu. Lagi pun bukan selalu mereka dapat keluar membeli-belah dalam satu kumpulan. Kalau keluar bersama sekalipun hanya dua atau tiga anggota Sofaz saja. Atau mereka pergi bersama teman lain atau mungkin bersama teman wanita. Mengenai persiapan raya, mereka hanya menyediakan persiapan ala kadar.
Zimi yang meraikan Syawal di Kuala Lumpur sudah pun membeli beberapa pasang baju Melayu dan persiapan raya yang lain pula diserahkan kepada keluarga. Sebagai anak, Zimi menyediakan dana untuk keluarga membuat persiapan. Kuih raya katanya dibuat sendiri oleh ibu dan adiknya. Rodie yang berasal dari Sabah, awal-awal lagi sudah membeli-belah untuk dibawa pulang ke kampungnya. Maklumlah sudah hampir setahun tidak pulang bertemu ibu bapa dan adik beradik, sempena Syawal ini Rodie membawa sedikit ole-ole untuk mereka. Memandangkan sudah lama tidak ketemu dengan keluarga juga, Rodie akan pulang lebih lama kira-kira dua minggu. Pada hari raya ketiga pula, Zimi akan datang ke Sabah untuk beraya bersamanya dan kemudian mereka akan menghabiskan masa dengan memancing.
Adik beradik dalam kumpulan ini, One dan Shah juga begitu. Mereka bersederhana dalam menyediakan persiapan. Kata One adik kepada Shah, disebabkan abangnya itu sudah berkahwin maka dia akan beraya dengan ahli keluarga yang lain. Bagaimanapun setakat ini dia belum pasti lagi akan beraya di sini atau di Kajang kerana rumah baru keluarganya itu masih belum lagi siap sepenuhnya. Jika sempat disiapkan sebelum raya mungkin mereka akan beraya di Kajang. Fairouz pemain gitar bass kumpulan ini yang berasal dari Terengganu pula akan bercuti selama seminggu. Sebaik pulang bercuti, Sofaz akan berkurung di dalam studio rakaman untuk merakamkan album ketiga mereka yang masih berkonsepkan pop.
"Kami akan mengekalkan konsep yang sama iaitu pop tetapi kami akan lebihkan susunan muziknya. Kami juga akan melebihkan efek bunyi untuk album ketiga kami nanti. Album ketiga nanti adalah hasil sentuhan Sofaz sendiri," kata Zimi mewakili temannya. Sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang banyak menyokong kerjaya seni mereka, Sofaz merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka bagi meraikan peminat mereka. Bagaimanapun, tarikh dan tempatnya masih belum ditentukan kerana mereka harus melihat jadual kerja mereka.
Sumber : Berita Harian