Wednesday, October 17, 2007

Demi muzikal P Ramlee



MEMBERI tumpuan sepenuhnya kepada P Ramlee...The Muzikal yang mula dipentaskan di Istana Budaya, hari ini menyebabkan Datin Seri Tiara Jacquelina langsung tidak mempunyai masa membuat persiapan hari raya. Bagaimanapun, kemajuan teknologi maklumat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Tiara apabila dia menempah baju raya tahun ini menerusi internet. Manakala untuk dua anaknya Hani Karmila dan Eridani pula, tugas itu diserahkan kepada pembantunya. Pembantunya mengirimkan gambar baju raya menerusi Sistem Pesanan Bergambar (MMS) untuk beliau menentukan pakaian yang bersesuaian untuk Karmila dan Eridani.

Sementara kuih raya pula, kiriman hamper dari teman dijadikan juadah hari raya. Begitulah sibuknya Tiara akibat projek terbaru syarikatnya. Bagaimanapun, pada hari raya pertama, Tiara harus melupakan seketika pada P Ramlee...The Muzikal. Pada waktu ini, beliau juga tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan hari lebaran bersama suami, anak dan anggota keluarganya yang lain. Tahun lalu, hari raya diraikan di Korea kerana mengikut suaminya Datuk Seri Effendi Nawawi yang terikat dengan tugas. Pada tahun ini pula, pada pagi raya Tiara bersama isteri menteri-menteri yang menemani suami masing-masing menghadiri Rumah Terbuka Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, beliau dan suami bergegas ke PWTC menjalankan tanggungjawab kepada negara hingga lewat petang. Biarpun tidak berpeluang berada di rumah pada hari raya pertama, Tiara tidak lupa dengan tradisi memohon kemaafan. "Pada saya bersalam memohon kemaafan pada pagi raya paling penting. Jika tidak, raya seperti tidak bermakna, walaupun saya dan Datuk sibuk pada pagi raya, kami sedaya upaya cuba menyelitkan acara bermaaf-maafan. Bagi saya itu adalah tradisi yang tidak wajar ditinggalkan.

"Kadang kala kami bawa kedua-dua anak sekali, tidak kisah di mana sekalipun janji kami sekeluarga dapat bersalam memohon maaf," katanya yang turut menyediakan menu laksa Sarawak pada pagi raya. Selain bersalaman, satu lagi kewajipan yang tidak ditinggalkan Tiara ialah menziarahi pusara bekas suaminya, Hani Mohsin yang meninggal dunia lebih setahun lalu. Memandangkan pada hari raya pertama dia dan suami sibuk di PWTC, mereka hanya berkesempatan menziarah kubur arwah Mohsin pada hari raya kedua.

Mujurlah Karmila atau Mila tidak seperti kanak-kanak lain bertanya ke mana bapanya pergi. Biarpun pada usia masih mentah, Mila, kata Tiara cukup memahami dan reda dengan pemergian bapanya. Dia menerima kenyataan yang bapanya sudah tidak ada lagi. Jika Mohsin masih hidup, Mila akan beraya mengikut giliran. Sekiranya, giliran pulang ke kampung Mohsin, sehari atau dua sebelum raya mereka dua beranak pulang ke Perlis. Pada hari raya kedua, Mohsin menghantar semula Mila kepadanya. Biarpun, mereka sudah bercerai, umum mengetahui hubungan baik yang masih terjalin antara mereka.

Malah, Mohsin juga tidak akan ketinggalan berkunjung ke rumah Tiara. "Saya cuba buat semuanya seperti sedia kala supaya Mila tidak sedih. Setakat ini Mila tidak pernah bertanya, dia seorang budak yang cukup tabah," kata Tiara yang tidak berkesempatan menziarah sahabat handai dan rakan taulan tahun ini kerana sibuk dengan teater muzikalnya. Istilah cuti tidak ada, hanya pada raya pertama saja dia bercuti kerana terpaksa berada di PWTC. Tiara kembali bertugas memenuhi wawancara televisyen sejak hari raya kedua. "Mudah-mudahan orang faham dengan keadaan saya yang sibuk. Inilah perjalanan seorang anak seni. Selepas ini kalau boleh saya tidak mahu lagi mengadakan apa-apa pada Ramadan dan Syawal kerana kasihan pada semua yang terbabit dalam muzikal ini," katanya.

INFO: Teater P Ramlee...The Musical
Teater ini dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama tiga minggu iaitu dari 18 Oktober hingga 3 November. Tiket dijual berharga RM30, RM50, RM80, RM120, RM150 dan RM200.

Teater P Ramlee...The Musical adalah projek besar yang kedua terbitan Enfiniti Sdn Bhd selepas pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang...The Musical yang dipentaskan tahun lalu dan menarik minat lebih 55,000 penonton.

Pementasan teater muzikal ini berlangsung selama dua jam di bawah pengendalian dua pengarah bersama iaitu Zahim Al-Bakri dan Adlin Aman Ramlie.

Judul asal teater muzikal ini adalah Remy saja, kemudian ditukar menjadi My Name Is Remy sebelum penerbitnya, Datin Seri Tiara membuat keputusan muktamad menggunakan P Ramlee...The Musical.
Teater muzikal ini menggunakan 60 pelakon, 40 lagu yang mengiringi persembahan, 35 pemuzik dan 26 lagu untuk dinyanyikan oleh beberapa penyanyi yang sudah ditetapkan.

Datuk Siti Nurhaliza yang akan muncul dalam teater P Ramlee...The Musical akan menyanyikan lagu Mulanya Cinta ciptaan Adlin Aman Ramlie.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR