Wednesday, October 17, 2007

Nasib dua filem berbeza

FILEM Otai terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dengan kerjasama LineClear Motion Pictures memperolehi kutipan kasar lebih RM.4 juta selepas empat hari ditayangkan. Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi filem animasi Budak Lapok terbitan Matahari Animation & Productions Sdn Bhd kerana sambutannya yang tidak memberangsangkan.

Kedua-dua filem itu mula ditayangkan sejak hari pertama Aidilfitri lagi. Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah ketika mengulas sambutan filem Otai berkata, kutipan kasar lebih RM1 juta dalam masa tiga hari adalah satu rekod baru bagi filem Melayu yang ditayangkan pada musim raya. Pada hari pertama ditayangkan, filem ini sudah memperolehi kutipan kasar lebih RM250,000, meningkat menjadi RM350,000 pada hari kedua, manakala hari ketiga mencatatkan kutipan lebih RM400,000.

"Pada hari raya, selalunya kutipan untuk filem Melayu berpecah kerana ada dua filem ditayangkan serentak. Sambutan yang baik kerana mungkin disebabkan sudah lama filem Melayu tidak ada di panggung. Kali terakhir filem Impak Maksima hampir dua bulan lalu, manakala filem Budak Lapok pula tidak memberi saingan kuat kepada Otai," katanya. Tambah Ahmad Puad, berdasarkan rekod lalu, belum ada satu filem Melayu yang ditayangkan pada musim raya mencatatkan kutipan kasar lebih RM1 juta selepas tiga hari ditayangkan. "Pada hari raya tahun lepas filem Diva Popular dan Bilut, walaupun ditayangkan sehingga selepas musim raya, kutipannya tidak capai RM1 juta. Dua tahun lalu, gabungan filem terbitan GBSB iaitu I Know What You Did Last Raya dan Tujuh Perhentian mencatatkan kutipan kasar terkumpulan sekitar RM3 juta saja. "Dalam filem Otai, penonton masih memberi sambutan meskipun banyak pihak mengatakan filem arahan Profesor A Razak Mohaideen stereotaip. Begitu juga dengan lakonan Saiful Apek yang sama saja tetapi orang masih hendak tengok," katanya.

Sementara itu, salah faham orang ramai yang menganggap filem animasi Budak Lapok adalah filem kartun untuk budak-budak saja menjadi punca sambutannya kurang memberangsangkan. Dengan andaian seperti itu juga, penonton teragak-agak untuk menontonnya kerana ada yang berasakan Budak Lapok adalah filem lama yang mungkin menjemukan. Bagaimanapun, bagi mereka yang sudah masuk ke panggung menonton filem itu, rata-rata mengatakan Budak Lapok menyeronokkan dan sesuai semua peringkat umur. Kemungkinan atas sebab itulah, selepas empat hari ditayangkan iaitu sejak hari raya pertama, maklum balas daripada penonton terhadap filem Budak Lapok sangat perlahan sehingga menghadirkan kebimbangan kepada penerbitnya, Wafa Abdul Kadir.

Selain faktor salah faham mengenai kandungan Budak Lapok, ada kemungkinan mood cuti raya juga turut menjadi punca sambutannya yang perlahan. "Hari pertama dan kedua memang sangat perlahan. Tapi masuk hari ketiga, sambutan penonton mula menunjukkan peningkatan dan saya harap akan bertambah baik apabila ramai yang balik daripada bercuti raya akan membawa keluarga menonton Budak Lapok. "Saya harap orang faham bahawa filem Budak Lapok bukan kartun budak-budak. Filem ini boleh ditonton satu keluarga, dari kanak-kanak, remaja hingga dewasa," katanya. Bagaimanapun, Wafa berkata, maklum balas daripada beberapa penonton yang ditemuinya ramai yang mengakui Budak Lapok adalah filem animasi yang menghiburkan.

"Penontonnya memang tak ramai, tetapi daripada reaksi yang mereka, masing-masing mengakui Budak Lapok memang menyeronokkan. Saya berharap lebih ramai lagi akan bercakap yang baik mengenai filem ini," katanya. Filem animasi Budak Lapok adalah filem yang diinspirasikan dan diceritakan semula oleh seniman veteran Datuk Aziz Sattar dan S Shamsuddin. Menerusi filem animasi ini, penonton di bawa semula ke alam kehidupan anak-anak yang mengisahkan pertemuan Ramlee, Aziz dan Sudin.

Filem animasi dengan tempoh tayangan selama 90 minit ini akan membawa penonton mengimbau filem-filem popular lakonan mereka yang diolah semula dengan baik sehingga mampu dilihat sebagai komedi segar. Skrip Budak Lapok adalah hasil nukilan dan arahan Anwardi Jamil, manakala sebagai penerbit, Wafa menganggap projek ini adalah sesuatu yang istimewa untuk dihidangkan kepada penonton. Cerita Budak Lapok bermula apabila tiga anak muda, Ramlee, Ajis dan Sudin menjadi kawan akrab yang tinggal di Kampung Sebatang Pinang. Mereka menyertai pertandingan bola sepak mewakili Kampung Sebatang Pinang melawan Kampung Semerah Padi yang diwakili Sarip Dol, Megat Komeng dan Brahim.

Pada masa sama, Ramlee, Ajis dan Sudin cuba memikat hati tiga gadis, iaitu Salmah, Eton dan Nani dengan menyertai pertandingan drama antara sekolah. Dalam usaha untuk menarik perhatian ketiga-tiga gadis idaman itu, Ajis dan Sudin pula menghadapi masalah gugup dan gerun ketika di atas pentas sehingga menimbulkan pelbagai kelucuan. Sementara itu, Pengarah Urusan Metrowealth Movies Production (MMP) yang mengedarkan filem ini, David Teo berkata, filem animasi tempatan seperti Budak Lapok memang memerlukan usaha lebih kuat untuk menarik orang ramai menontonnya. "Memang kena ambil masa lama sikit untuk mengetahui sambutannya, Penonton kena bagi peluang kepada filem ini sebab Budak Lapok memang menghiburkan.

Walaupun berlatarkan filem klasik, tetapi jalan cerita dan dialognya moden. "Jangan anggap ini cerita lama sebab pendekatannya menggunakan suasana zaman sekarang," katanya. Selain itu, beliau juga berharap penonton boleh mengubah persepsi terhadap filem Budak Lapok bahawa ia adalah filem yang sesuai untuk semua golongan dengan ceritanya tidak menjemukan.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR