KEDATANGAN Ramadan tahun ini rupa-rupanya membawa rahmat tersembunyi buat penyanyi Faradina Mohd Nadzir atau Dina. Dalam kesungguhan mengerjakan ibadat puasa, gadis berusia 21 tahun ini turut berusaha untuk menurunkan berat badannya. Malah, sejak pertandingan Pentas Ikon lagi, dia sudah mengurangkan pengambilan nasi sebagai makanan ruji. Dia menggantikannya dengan hidangan lain yang diharap membantunya mendapat potongan lebih menarik.
"Sejak dua bulan lalu, terutama pada bulan puasa ini, saya sudah kehilangan empat kilogram. Jadi, saya tidaklah terkilan sangat seandainya pada hari raya tahun ini, saya tidak dapat makan rendang sepuas-puasnya. Saya hanya beraya selama tiga hari saja, kerana pada hari kelima raya, saya terbabit dengan rancangan hiburan terbitan RTM," kata Dina. Kerana terbabit dengan program yang disiarkan secara langsung pada malam raya juga, dia tidak dapat pulang ke Johor sehari sebelum 1 Syawal tiba.
Dia hanya akan terbang ke negeri asalnya itu pada hari raya pertama. Dina juga akan menemui peminat menerusi program Cit Cat Raya menerusi saluran Astro Ria pada raya keempat. Kata penyanyi berbakat ini, dia tidak terkilan walaupun hanya sempat menjamu selera buat seketika bersama keluarga. Katanya, keadaan itu tentunya memberikannya lebih motivasi untuk terus mengurangkan berat badan.
Di samping mengurangkan pengambilan nasi, Dina juga mengaku singgah di gimnasium apabila ada waktu terluang. Dia pasti akan berbuat demikian sepanjang Ramadan ini sekiranya dia berbuka di rumah saja.
"Masalahnya, sepanjang bulan puasa ini, ada saja undangan berbuka di mana-mana," katanya. Selain itu, Dina juga kembali turun ke kolam untuk berenang. Katanya, dia pernah mengikuti kelas berenang sewaktu kecil.
Untung sekali apabila pelajaran yang dikutip dulu masih melekat di kepalanya sehingga kini. Lalu, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk menjalankan aktiviti itu apabila perlu. Ditanya, apakah faktor utama yang memberikannya semangat untuk menghilangkan berat badan, penyanyi yang popular dengan lagu Malu Tapi Mahu ini memberitahu, penyanyi Filipina, Vina Morales, yang menjuarai Pentas Ikon Asean baru-baru ini ialah pendorong terbesar mengapa dia memilih untuk mengamalkan diet. "Itulah buat pertama kalinya saya benar-benar kagum dengan penampilan seorang artis wanita yang cantik dan berjaya. Dia benar-benar memberikan semangat untuk saya menguruskan badan," kata Dina.
Dina juga sempat meminta nasihat seorang lagi artis realiti yang sudah kehilangan kira-kira 10 kilogram dalam masa tiga bulan, Bob AF2. "Bezanya saya dengan Bob, dia lebih mudah untuk kehilangan berat badan. Manakala saya pula pernah mengambil pil kurus sewaktu belajar di sekolah menengah dulu. Jadi, apabila saya berhenti mengambilnya, badan saya naik dua kali ganda," cerita Dina. Akui naib juara Malaysian Idol musim pertama ini, pada awalnya memang agak sukar untuk dia berusaha mengurangkan tabiat pemakanan.
Lebih-lebih lagi, dia sememangnya seorang yang sukakan makanan. "Jadi, pada peringkat awal dulu, mood saya jadi tidak menentu. Mudah melenting dan sebagainya. Syukurlah, selepas beberapa minggu, semuanya baik saja. Malah, kini saya tidak berasa apa-apa pun apabila terpaksa mengetepikan pengambilan nasi, coklat mahu pun minuman bercoklat. "Pernah satu ketika sesudah menjayakan sebuah show di Singapura, pengurus saya ingin membelanja coklat kepada saya apabila persembahan itu mendapat pujian ramai. Masalahnya, ketika itu, saya bagai tidak berselera pun untuk menjamah mana-mana manisan," katanya yang berasakan amalan berdiet menjadi mudah sekali apabila kita memulakannya.
Rakam lagu Inggeris
SEMENTARA itu, ketika ditanya mengenai perkembangan dunia seninya, Dina berkata, sesuai dengan hasratnya untuk mengembangkan karier melangkahi sempadan, dia turut merakamkan lagu Inggeris untuk album keduanya. "Lagipun, saya dapati, memang ramai peminat yang ingin mendengar saya menyanyikan lagu Inggeris. Apabila menyanyi pada festival antarabangsa seperti di Singapura, rasa tidak seronok pula jika saya hanya asyik menyanyikan lagu orang lain. Jadi, lebih baik saya rakamkan sama lagu Inggeris sendiri," katanya yang kini saban hari dapat didengar di beberapa radio Inggeris tempatan dengan lagu Y’all Wit Me.
Mengikut perancangan, sebanyak tiga lagu dalam bahasa antarabangsa itu akan dirakam penyanyi ini. Satu daripadanya ditulis sendiri oleh Dina. Berentak balada, Dina menghasilkan lagu berkenaan ketika dia masih menuntut di tingkatan lima. "Saya mempunyai hobi menulis puisi dalam bahasa Inggeris. Umpamanya, kalau saya hendak mengambil hati ibu saya, maka saya hadiahkan dia sebuah puisi. Bagaimanapun, kisah yang saya utarakan dalam lagu ini sebenarnya diilhamkan oleh sebuah kejadian di mana seorang rakan jatuh hati pada seorang jejaka, tetapi si dia tidak membalas cintanya," ujar Dina. Album yang bakal diberi judul 2 itu akan dipasarkan pada Februari tahun depan. Antara komposer yang terbabit dalam pembikinannya ialah Dina sendiri, Audi Mok, James Baum, DJ Uno, Johan Nawawi, Sharon Paul, Francis Cobb dan seorang pencipta muda Singapura, Magic Portion.
Sumber : Berita Harian