ORANGNYA memang cantik dan menawan. Dengan ketinggian yang ada serta kulit yang putih melepak, penampilannya di mana-mana mudah sekali mencuri perhatian. Maka tidak hairan ramai yang memandang tatkala gadis manis berusia 24 tahun ini membuat kemunculan.
Apatah lagi dengan tayangan drama bersiri Gerak Khas, Janji Diana dan Susuk, nama Dynaz semakin menjadi sebutan. Daripada kalangan orang dewasa hinggalah kanak-kanak, Dynaz dikenali semua peringkat. Maka, tidak hairanlah apabila beberapa peminat cilik datang menghampiri wanita ini tatkala wartawan sedang menemu bualnya pada majlis berbuka puasa anjuran Media Prima, baru-baru ini.
Bukan setakat untuk memastikan bahawa itulah bintang yang mereka saksikan menerusi drama Susuk siaran TV3, malah pelakon ini tidak menang tangan melayan permintaan mereka untuk mendapatkan tanda tangan. Lebih mencuit hati apabila seorang kanak-kanak mencubit pipi Dynaz kerana terlalu sukakan pelakon berkenaan. "Memang kakak yang berlakon dalam Susuk kan?" kata kanak-kanak perempuan itu yang beberapa kali memuji kecantikan pemilik nama Wan Intan Edrinaz ini.
Namun begitu, Dynaz enggan mendabik dada mengatakan dialah bintang popular. Malah, bukan populariti yang dikejar pelakon ini apabila menceburkan dirinya dalam bidang seni. Menganggap dirinya masih mentah dan begitu banyak aspek lakonan yang perlu dipelajari, Dynaz juga tidak mahu menjadikan kerjaya menukar 100 peratus kehidupannya yang biasa.
"Saya tidak mahu hanya kerana kerja yang saya lakukan ini, kehidupan saya turut berubah. Saya masih ingin melepak bersama rakan seperti biasa. Saya berlakon kerana inilah kerja saya, bukan untuk menjadi glamor. Saya masih lagi Dynaz yang orang kenali dulu - muka tidak malu dan suka bising-bising," katanya sambil ketawa kecil. Jika diizinkan Tuhan, tegas pelakon yang beraya bersama ibunya di Tapah ini, dia mahu kekal seperti dirinya sekarang sampai bila-bila. Andainya secara peribadi dia enggan berubah, tetapi dari segi kerjaya, pelakon ini sebenarnya makin kencang disambar produser. Selepas saja siri Susuk menamatkan penggambaran, dia akan kembali ke lokasi menjayakan musim terbaru Janji Diana pula. Kemudian, pada November, dia akan membintangi sebuah drama bersiri 40 episod, di sisi Zed Zaidi untuk saluran berbayar Astro.
Jika diizinkan Tuhan, tegas pelakon yang beraya bersama ibunya di Tapah ini, dia mahu kekal seperti dirinya sekarang sampai bila-bila. Andainya secara peribadi dia enggan berubah, tetapi dari segi kerjaya, pelakon ini sebenarnya makin kencang disambar produser. Selepas saja siri Susuk menamatkan penggambaran, dia akan kembali ke lokasi menjayakan musim terbaru Janji Diana pula. Kemudian, pada November, dia akan membintangi sebuah drama bersiri 40 episod, di sisi Zed Zaidi untuk saluran berbayar Astro.
Bukan hanya di layar kecil televisyen, sebaliknya nama pelakon ini juga laris di kalangan penerbit filem. Bukan satu atau dua, malah dalam masa yang singkat, sudah berderet judul filem dijayakannya. Antara yang sudah ditayangkan ialah Cinta Kolesterol, Cinta Fotokopi, I Know What You Did Last Raya, Main Main Cinta, Haru-Biru, Kayangan dan Impak Maksima. Terbaru, dia baru saja menamatkan proses memasukkan suara bagi filem Apa Kata Hati, terbitan Tayangan Unggul. Dalam filem bercorak komedi romantik berkenaan, dia beraksi di samping Raja Farah, Farid Kamil, Radhi Khalid, Awal Ashaari, Fauziah Ahmad Daud dan Awie. Tidak cukup dengan lakonan drama dan filem, dia juga tidak ketinggalan mengasah bakat sebagai pengacara.
Baru-baru ini, dia melangsaikan rakaman dua program kecantikan, Permata Suri untuk RTM dan Pakar Kecantikan, siaran TV9. "Memang, jika dilihat, kesemua program yang saya kendalikan baru-baru ini berasaskan topik kecantikan. Agaknya kerana saya sendiri seorang yang gemarkan spa, penjagaan kesihatan dan kecantikan, maka saya tidak menolak apabila pihak penerbit mahu saya mengacarakan program terbitan mereka. "Begitupun, jika berpeluang, selepas ini saya ingin mengacarakan rancangan sukan permotoran pula. Kecantikan sudah, muzik (Ikon) pun sudah. Tibalah masa untuk program berbentuk aktiviti lasak. Pendek kata, saya ingin mencuba semuanya," ujar Dynaz.
Apakah keinginannya untuk mengacarakan program berbentuk sukan permotoran ada kena mengena dengan hakikat dia kini bercinta dengan seorang pelumba kereta, tiada siapa yang mampu menjawabnya. Yang nyata, minatnya dalam sukan lumba kereta bukan datang begitu saja kerana bapa Dynaz sendiri seorang bekas pemandu rally. "Mungkin kerana itu juga saya dan Hafizy agak serasi," katanya mengenai kekasih yang sudah dua tahun menjalin cinta bersamanya.
Ditanya bilakah lagi dia dan jejaka itu akan bersanding di pelamin, Dynaz berkata, jika segala-galanya berjalan mengikut perancangan, dia akan disatukan dengan pasangannya itu pada awal tahun depan. "Rasanya, saya dan Hafizy akan terus berkahwin saja, tanpa ada majlis bertunang. Saya tidak percaya pada majlis tunang-bertunang. Bukannya kita sudah boleh tinggal sebumbung pun apabila bergelar tunang. Paling penting, hubungan ini diakhiri dengan akad nikah," kata Dynaz yang menganggap mungkin serunya sudah tiba untuk dia berumah tangga.
Sumber : Berita Harian