Wednesday, October 10, 2007

Umie Aida kutip derma untuk yang memerlukan


BUKAN niat untuk mencari publisiti bagi mempopularkan diri. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh pelakon Umie Aida adalah lahir daripada hati yang tulus ikhlas.
Jelas Umie, dia seronok melakukan kerja-kerja amal iaitu mengumpul dana untuk dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
Amalan mulia itu telah dilakukan sejak kakaknya, Erma Fatima menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (YSKPM) pada 2002.
Terbaru, Umie menganjurkan kutipan derma untuk membantu pelajar-pelajar di Pusat Pengajian Islam, Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah.
Menerusi kempen selama dua minggu itu, Umie yang turut dibantu oleh rakan-rakan karib seperti Erra Fazira dan Zahida Rafik telah berjaya mengumpul derma sebanyak RM21,324.
“Sebenarnya, Umie jarang fikir panjang kalau nak buat perkara begini. Selepas tengok berita tentang kebakaran di Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah itu di kaca TV, terus Umie telefon kawan-kawan, kata nak buat kutipan untuk membantu dana membina semula bangunan itu.
“Bagusnya, kawan-kawan tidak pernah membantah atau banyak soal bila Umie minta tolong. Semuanya ringan tulang hendak membantu. Dengan cara inilah Umie dan rakan-rakan artis dapat membantu dan sekali gus menjalankan tanggungjawab sosial sebagai artis dan individu,” katanya.
Umie beruntung kerana bijak menggunakan tiket sebagai artis untuk berbakti.
“Memang Umie tidak malu menggunakan status sebagai artis untuk menjalankan projek sebegini. Alhamdulillah, ramai yang tampil untuk membantu.
“Sebenarnya menjadi impian Umie sejak dulu untuk menubuhkan yayasan sendiri bagi membantu orang ramai,” katanya yang lebih suka menyerahkan hasil kutipannya tanpa melalui orang tengah.
Justeru sebaik selesai mengira jumlah kutipan yang dikumpul untuk tabung derma kebakaran itu, Umie dengan disaksikan rakan-rakan artis terus menyerahkannya kepada wakil Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah, Ismail Mahmud.
Antara artis yang hadir memberi sokongan pada projek Umie ialah Hasbsah Hassan, Rubiah Suparman, kumpulan New Boyz, Noniswara, Sharifah Shahora, Irma Hasmie, Awal Ashaari, Que Haidar, Nora Danish, Tam dan Azwan Ali.

Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR