PADA Rabu lalu, tercatat satu sejarah besar negara ia adalah hari pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Peristiwa bersejarah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, RTM1 dan Astro menerusi saluran 588. Pada hari itu juga, berlaku kesilapan mengaibkan kepada dua juruhebah ‘popular’ di radio Era, iaitu Nana dan Reza. Nana dengan tidak semena-mena menjadi panik dan kelam-kabut membacakan laporan sepintas lalu mengenai pelancaran roket yang membawa Dr Sheikh Muzaphar.
Nana menggelabah sehingga menyebut nama Dr Jamaludin Jarjis sebagai angkasawan kedua, dan mungkin sedar ia tersilap, disebutnya pula nama Sharizan! Entah dari mana Nana dapat nama angkasawan negara bernama Dr Jamaludin Jarjis dan Sharizan! Kata rakan setugas, itulah akibatnya kalau malas membaca akhbar atau media lain yang banyak menyiarkan hal berkaitan angkasawan negara. Reza, yang jadi gandingan Nana diibaratkan sokong membawa rebah kerana dia juga tidak dapat membetulkan kesilapan Nana.
Agak lucu apabila Reza mengatakan Nana ‘blur’ atau keliru tetapi sebenarnya Reza juga dua kali lima dengan Nana, kerana sama-sama tidak mengenali siapa sebenarnya Dr Jamaludin Jarjis dan nama seorang lagi angkasawan negara. Situasi ini mendedahkan betapa cetek dan jahilnya juruhebah radio mengenai pengetahuan am dan perkembangan semasa. Betapa ‘ketinggalan’ Nana dan Reza mengenai perkembangan angkasawan negara sedangkan semua media memaparkan pelbagai artikel mengenai Dr Shekh Muzaphar dan Kapten Dr Faez Khaleed serta misi mereka menuju ke Pusat Angkasawan Antarabangsa (ISS).
Kesilapan mereka sebenarnya serius. Ia meninggalkan kesan tidak baik kepada kerjaya juruhebah. Ini memberi gambaran seolah-olah juruhebah tidak peka dengan apa yang berlaku di luar konti. Ia memberi takrifan juruhebah hanya berminat bercakap perkara remeh, tetapi tidak peduli dengan perkara lain yang membabitkan fakta, sejarah dan kenegaraan. Dalam hal ini, kita merujuk Nana dan Reza sebagai juruhebah atau penyiar bukan personaliti atau selebriti.
Sebagai juruhebah, memang sangat memalukan apabila mereka tidak mengenali Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Kedua-duanya juga tidak tahu selain Dr Sheikh Muzaphar, kita ada seorang lagi angkasawan, iaitu Kapten Dr Faez. Mungkin mereka menyalahkan kesilapan skrip, tetapi sekiranya mengikuti perkembangan angkasawan negara dengan baik, tidak akan timbul kesilapan boleh menjejaskan reputasi dan integriti radio Era. Harus diingat, apabila berada di konti, jangan berasakan diri sebagai seorang personaliti, selebriti, pelakon atau sebagainya, tetapi perlu meletakkan diri sebagai seorang yang ada tanggungjawab menyampaikan maklumat yang betul dan tepat kepada pendengar walaupun hanya secara spontan saja.
Memang beruntung kerana penerbit menyediakan skrip, tetapi kalau skrip tersilap, juruhebah pula tidak tahu apa-apa, sudah tentu ia menjadi haru-biru. Inilah yang berlaku pada Nana dan Reza apabila terlalu bergantung kepada skrip. Dalam soal pengetahuan am, terutama berkaitan dengan tata negara, kita percaya, ramai lagi juruhebah radio, baik radio berbahasa Melayu atau bahasa Inggeris, Cina dan Tamil, yang tidak kenal nama menteri dan timbalan menteri. Kalau pendengar bertanyakan soalan cepumas siapa Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi atau Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, ada juruhebah yang tergagap-gagap untuk menjawabnya. Juruhebah radio boleh dianggap orang media.
Sepatutnya menjadi satu kemestian pada diri juruhebah untuk memiliki pengetahuan am walaupun secara asas. Tapi ini bukan bermakna memperlekeh tahap pengetahuan juruhebah radio, kerana kita tahu ada juga juruhebah yang cekap dengan pengetahuan am. Suara juruhebah didengar di seluruh negara, tentulah pelik kalau perkara membabitkan isu semasa negara dan isunya pula mudah, tetapi tidak boleh disebut dengan lancar. Kalau nak cakap mengenai dunia hiburan, skop yang diperkatakan terlalu kecil. Hiburan bukan sekadar gosip atau cerita dunia artis saja, tetapi lebih dari itu. Ia membabitkan seni, budaya dan industri.
Juruhebah radio yang bijak, sepatutnya boleh bercakap mengenai dunia hiburan dalam sudut pandangan yang lebih luas. Sebab itulah, menerusi ruangan ini beberapa bulan lalu, kita menegur juruhebah radio supaya mendalami pengetahuan am, terutama mengenai hal ehwal negara sendiri. Dan, ia tidak sepatutnya dibuat selepas mendapat arahan daripada pegawai atasan saja. Ia harus datang daripada inisiatif sendiri.
Apa yang terjadi pada Nana dan Reza mungkin boleh berlaku kepada juruhebah radio di stesen lain sekiranya soal pengetahuan am negara sendiri sering diambil mudah. Tidak salah kalau juruhebah nak jadi pelakon, penyanyi, pengacara program TV atau jurucakap produk, tetapi pada masa sama kenalah sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling diri sendiri. Apalah gunanya menjadi juruhebah popular, tetapi apabila berada dalam konti seperti burung kakak tua, tahu cakap tapi tidak tahu apa sebenarnya yang disebutkan.
Sumber : Berita Harian