SESUDAH tiga tahun jalinan cinta antara dirinya dan pelakon Farid Kamil disulam, akhirnya dua bintang muda ini membawa haluan sendiri. Banyak rentetan kejadian yang membuatkan mereka tidak lagi bersama, namun Irma Hasmie Ibrahim enggan mendedahkan kesemuanya. Yang pasti, perpisahan yang berlaku bukanlah hanya kerana satu sebab yang digembar-gembur di media tidak lama dulu.
Gadis manis dari Kuala Lumpur ini sudah tiga bulan sendirian, setelah dia dan Farid membuat keputusan untuk memberikan ruang kepada diri masing-masing setelah persefahaman sukar lagi dicari. "Setakat ini, syukur alhamdulillah kerana Irma masih boleh menerima dan menghadapinya dengan baik. Cuma, Irma akui, agak sukar juga jika Irma dibiarkan sendiri.
Justeru, ada saja aktiviti yang Irma cuba lakukan setiap kali tiba waktunya Irma sendirian. Apabila bersendiri, kenangan lalu itu senang sekali untuk datang menghantui," katanya.
Antara aktiviti yang dilakukannya apabila ada waktu terluang sepanjang tempoh tiga bulan lalu adalah dengan pulang ke rumah ibunya di Sungai Buloh, Selangor. "Nasib baik juga sepanjang Ramadan ini Irma sibuk dengan pelbagai kegiatan dan kerja. Jadi, tidaklah banyak masa Irma perlu habiskan bersendirian," katanya yang baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri Pendekar Lima terbitan Ace Motion Pictures di sekitar Melaka. Menurut Irma, dia tidak meletakkan kesalahan ke atas diri Farid semata-mata atas perpisahan yang tercipta. Bahkan akui model, pelakon dan pengacara ini, masing-masing mempunyai ego sendiri tatkala masih bersama.
"Jadi, ketika ini, biarlah Irma mencari ketenangan terlebih dulu, di samping belajar daripada pengalaman lalu. Untuk mencari pengganti, bukanlah sesuatu yang mudah kerana cinta sentiasa membabitkan soal hati dan perasaan," kata wanita cantik yang pernah dinobat sebagai juara pencarian Gadis Jelita 2004 ini. Katanya, walaupun membawa haluan sendiri, masing-masing tidak pernah menyimpan dendam, jauh sekali untuk bermusuh dan bergaduh. "Malah, Irma tidak berasakan ada apa-apa masalah untuk berlakon di samping Farid sekiranya ada tawaran yang memerlukan kami berbuat demikian. Antara Irma dan Farid, kami berpisah secara baik.
Tidak ada dendam mendendami, begitu juga kami tidak bergaduh. "Jika hendak bergaduh sekali pun, memang tiada gunanya kerana industri seni kita ini cukup kecil sekali. Alih-alih, Irma dan Farid akan bersua juga akhirnya di mana-mana," katanya yang mula intim dengan aktor itu selepas kedua-duanya terbabit dalam filem Main-Main Cinta.
Irma turut mengaku, hubungan cintanya bersama Farid bukanlah perkara main-main. Mereka serius ketika bersama dan pernah merancang masa depan berdua, biarpun belum sampai ke tahap memilih tarikh untuk mendirikan rumah tangga. "Justeru, apabila dia menghilang daripada hidup Irma, terasa bagai ada sedikit kekosongan. Kekosongan itulah yang harus Irma isi dengan benda lain, supaya tumpuan Irma tidak terarah kepada mengingati kisah lama saja," ujar gadis manis yang kali akhir muncul di layar lebar menerusi filem Diva ini. Jelas Irma lagi, perpisahan yang terjadi sudah semestinya mempunyai kesan ke atas diri dan perasaannya.
"Apa yang Irma rasa dan alami memang agak sukar dijelaskan ketika ini. Rasanya, ia sama juga dengan apa yang dirasai mereka yang pernah mengalami peristiwa putus cinta. Irma yakin kebanyakan kita pernah merasai keperitan serupa," kata pelakon berusia 25 tahun ini. Ditanya apakah dia bersedia untuk kembali ke pangkuan Farid seandainya jejaka popular itu ingin 'rujuk' semula, Irma berkata, dia tidak terfikir mengenai soal itu pada waktu ini. Yang pasti, wanita peramah dan mudah disenangi ramai ini hanya akan beraya bersama keluarganya tahun ini.
Tiada lagi salaman dan memohon maaf bersama insan tercinta tatkala 1 Syawal menjelma sebagai beberapa tahun sebelumnya. Nyatanya juga, Irma terus melangkah maju dalam bidang seni yang diceburinya sejak tiga tahun lalu itu. Tawaran demi tawaran dan projek demi projek datang ke riba wanita yang berkulit cerah ini. Baru saja menamatkan rakaman rancangan Fesyen Lebaran sebanyak enam episod untuk siaran RTM serta siri Pendekar Lima arahan Aziz M Osman yang akan ditayangkan pada tahun depan di TV9, dia kini menimbang sebuah lagi tawaran untuk muncul dalam drama bersiri yang akan memulakan penggambaran selepas Aidilfitri.
Sumber : Berita Harian