PANGGILAN telefon dari penyanyi Siti Sarah yang diterima ketika Ramadan menghampiri penghujungnya mengejutkan penulis. Iyalah, mendengar nada suara Sarah, rasanya macam ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Dari hujung talian, Sarah memberitahu hajat di hatinya untuk bertemu pihak media bagi menjelaskan keadaan sebenar berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Ezlynn menerusi akhbar sisipan Bintang Popular bertarikh 7 Oktober.
Dalam artikel bertajuk `Saya boleh maafkan dia, tapi tak boleh lupa ...' itu, Ezlynn terluka dengan keputusan dibuat Sarah menerusi syarikat miliknya, Ezlynn Entertainment. Sarah dikatakan gagal hadir dalam satu persembahan diuruskan Ezlynn Entertainment tanpa memberikan alasan kukuh. Ekoran itu, Ezlynn turut mengeluarkan kenyataan bahawa dia dan Sarah kini tidak lagi semesra dulu biarpun sebelum ini hubungan mereka bagai adik dengan kakak. Kenyataan ‘sentap’ dari Ezlynn itu benar-benar mengejutkan Sarah. Selepas berfikir panjang dan dengan niat untuk membersihkan namanya yang tercemar gara-gara perbuatan yang tidak dilakukannya, Sarah terpanggil untuk mengadakan mini sidang media dengan harapan segala kekusutan dapat dileraikan.
Dalam pertemuan selama dua jam itu, Sarah yang ditemani tunang tersayang, Fuad Robinson berkongsi seribu macam rasa atas peristiwa yang terjadi. Dia juga melahirkan pengakuan ikhlas dari hati bahawa dia ingin menjadi Sarah yang baru sekali gus melemparkan jauh-jauh kontroversi yang pernah dipalitkan di wajahnya sebelum ini.
Hip: Atas tujuan apa apa sidang media ini dilakukan?
Sarah: Mungkin ada yang sudah maklum akan tujuan sidang media ini diadakan. Bagi mereka yang masih tertanya-tanya, sidang media ini diadakan untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku di sebalik kenyataan penyanyi Ezlynn menerusi akhbar sisipan Bintang Popular yang mengatakan saya tidak datang mengadakan persembahan tanpa sebarang alasan kukuh. Masa mula dimaklumkan akan tersiarnya cerita itu, Sarah terkejut sangat kerana Sarah tidak tahu menahu langsung akan dakwaan Ezlynn itu. Selepas membacanya dan mendapat nasihat keluarga, tunang dan peguam Sarah, barulah Sarah rasa sesuai untuk memanggil pihak media untuk menjelaskan perkara ini.
Hip: Boleh Sarah ceritakan apakah puncanya sehingga Ezlynn terpanggil untuk membuat kenyataan seperti itu?
Sarah: Baiklah, sebelum Sarah menceritakan dengan lebih lanjut mengenai perkara ini, Sarah ingin memberitahu bahawa apa yang Sarah lakukan ini tiada niat dendam di hati atau untuk mengeruhkan lagi keadaan. Sebaliknya Sarah hanya mahu membersihkan nama Sarah yang tercemar terutama pada peminat dan juga mereka yang ingin bekerjasama dengan Sarah, pada masa kini atau akan datang. Sarah tidak mahu kenyataan seperti itu membuatkan mereka hilang kepercayaan terhadap Sarah. Apa yang Sarah baca, kononnya Ezlynn kecewa kerana Sarah tidak datang membuat pertunjukan pentas yang dikendalikan syarikatnya, Ezlynn Entertainment. Sebenarnya, untuk pengetahuan semua, Sarah hanya dimaklumkan mengenai show itu oleh pengurus Ezlynn, Adam sehari sebelum ia berlangsung. Walhal Adam sebenarnya sudah tahu yang Sarah terbabit dengan komitmen lain di Singapura pada hari itu. Jadi macam mana boleh timbul dakwaan mengatakan Sarah mungkir janji padahal tiada sebarang perjanjian Sarah tanda tangani. Malah deposit pun Sarah tidak terima. Tup tup nama Sarah naik kononnya mungkir janji dan tak pergi show.
Hip: Macam mana Sarah boleh terbabit dengan Ezlynn Entertainment?
Sarah: Sejak Sarah sudah tidak diuruskan bapa dan tiada syarikat rakaman, Sarah banyak bergerak sendiri. Jadi apabila jumpa Adam, dia ada mencadangkan Sarah untuk bernaung di bawah pengurusannya. Bagi Sarah, tak kisah kalau orang hendak tolong. Tapi persetujuan itu hanya pakai mulut saja tanpa ada sebarang hitam putih. Sejak itu, Adam juga ada menawarkan undangan pertunjukan pentas pada saya tapi selalunya tidak pernah mengesahkan apakah show itu jadi atau tidak. Banyak kali juga dia buat macam itu. Jadi kebetulan saya ada komitmen lain di Singapura dan pada masa itulah dia telefon untuk maklumkan bahawa saya ada show pada hari yang sama. Selepas menjelaskan segala-galanya, saya ingat dia terima alasan saya tetapi nampaknya perkara ini menjadi berpanjangan.
Hip: Bagaimana boleh dia mendakwa Sarah mungkir janji sedangkan tiada sebarang dokumen ditandatangani?
Sarah: Itulah yang menghairankan saya kerana setahu saya, saya tidak ada menandatangani apa-apa perjanjian seperti penerimaan tawaran atau sebagainya. Dan paling penting, saya tidak pun menerima wang pendahuluan dari syarikat yang mengundang saya itu. Jadi dalam hal ini, secara automatik, mereka yang berjanji dan menerima wang depositlah yang terpaksa bertanggungjawab dalam hal ini.
Hip: Pernah cuba untuk bersemuka dengan Adam atau Ezlynn dalam hal ini?
Sarah: Kalaulah boleh, saya ingin benar untuk panggil Ezlynn dan menerangkan keadaan sebenar. Saya sebenarnya tidak mahu bergaduh dengan sesiapapun dalam industri hiburan ini. Saya mahu dia tahu walau apapun yang terjadi, saya tak mahu hubungan yang terjalin sekian lama ini terputus macam itu saja lebih-lebih lagi apabila dia menganggap saya seperti adiknya sendiri. Cuma dengan Adam, saya sudah beberapa kali cuba untuk menghubunginya tetapi tidak pernah dapat. Dia cuma ada beri kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberitahu bahawa kalau ada-ada apa perkara yang ingin ditanya, hantar menerus SMS kerana itu adalah arahan peguamnya.
Hip: Apa tindakan Sarah selepas ini?
Sarah: Tak buat apa-apa, hanya tunggu dan lihat. Tapi seperti yang Sarah tegaskan sebelum ini, Sarah tidak mahu perkara ini berlanjutan apatah lagi ketika umat Islam sedang meraikan Ramadan yang mulia ini. Sarah juga ingin memohon ampun dan maaf pada Ezlynn seandainya apa yang berlaku menyusahkan dirinya. Sarah tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Hip: Pernah terduga bahawa Sarah akan berdepan dengan kejadian seperti ini? Sarah: Memang Sarah tak pernah sangka yang akan jadi begini satu hari nanti. Apatah lagi perkara ingin bukanlah satu perkara yang menggembirakan. Apabila berlaku situasi seperti ini, apa yang Sarah fikirkan adalah pandangan peminat Sarah dan peminat Ezlynn mengenai perkara ini. Tentu masing-masing akan bergaduh dan Sarah tak mahu itu berlaku. Lagipun, dia memburukkan reputasi kedua-duanya. Tidak menguntungkan sesiapapun. Entahlah, Sarah harap perkara ini akan cepat berakhir dan Sarah tidak mahu perkara seperti ini menghantui hidup Sarah. Cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini. Sarah tidak mahu berulang kembali.
Hip: Apa maksud Sarah?
Sarah: Sarah tahu sebelum ini ramai yang tidak senang dengan kelakuan Sarah. Mereka anggap Sarah ini artis berangan, kekwat, cepat melenting dan banyak lagi. Sebenarnya mereka tidak tahu Sarah mengalami kejutan budaya. Sarah jadi artis sebaik saja selepas sekolah. Masa itu belum faham erti glamor, populariti dan Sarah akui sedikit tenggelam dihanyutkan populariti. Tapi itulah, masa itu darah tengah muda dan terlalu mengikut perasaan. Tambahan pula, Sarah rasa tertekan kerana tidak dapat menjadi seperti remaja lain. Iyalah hujung minggu bukan ada peluang keluar dengan kawan. Sarah kena berlatih menyanyi jadi itu semua memberi tekanan buat Sarah.
Hip: Jadi apa yang Sarah pelajari dari pengalaman lalu?
Sarah: Sarah ingin jadi Sarah yang baru selepas ini. Bebas kontroversi dan ingin lebih fokus dengan kerjaya nyanyian. Sarah juga ada menyertai One In A Million dan tercalon untuk top 80. Sarah harap apa yang Sarah impikan akan tercapai. Mengenai perkahwinan, mungkin Sarah terpaksa menangguhkannya kerana tahun depan Sarah akan sibuk dengan OIAM seandainya tersenarai sebagai finalis (sambil tertawa) dan kedua Sarah nak rakam album baru yang menuntut komitmen yang bukan sedikit dari Sarah.
Sumber : Berita Harian