BERPUAS hati dengan idea dan sentuhan Casa Impian ke atas banglo, 'Teratak Bonda' miliknya, Mawi mahu kerjasama itu diteruskan lagi. Kali ini, sudah tentu pada pejabat barunya.Penyanyi paling popular itu mengakui bangga dengan dekorasi yang dihasilkan Casa Impian Holdings Sdn Bhd (Casa Impian). Katanya, dia amat tertarik dan berasa cukup selesa."Contohnya, bilik saya di kampung. Begitu selesa. Justeru, saya mahu keadaan yang sama di pejabat baru.
"Mengambil kira soal itu, Casa Impian dipilih sebagai perunding rekabentuk dalaman pejabat saya. Malah, perabot sumbangan Casa Impian pada saya tahun lalu diguna pakai."Selain itu, saya juga tidak kisah dengan konsep yang dipilih. Cuma, kami akan lebih kerap berbincang apa yang patut. Setakat ini, saya yakin dan percaya dengan Casa Impian," katanya.Kata Mawi, dia menggemari konsep nusantara dan moden. Tetapi, masih terlalu awal untuk memaklumkan konsep dipilihnya untuk pejabat berkenaan.Pengarah Urusan Casa Impian, Datin Noorlinda Abd Talib berkata beliau bersyukur kerana Mawi gembira dan puas hati dengan cetusan ilham syarikatnya di Teratak Bonda, tahun lalu.
"Memandangkan kepakaran Casa Impian tidak terhad pada aspek perundingan, kami akan menawarkan dan memberi cadangan perabot pasang siap yang bersesuaian dengan pejabat Mawi."Barulah nampak perbezaannya. Bukan itu saja, Casa Impian turut berharap pereka dalaman kami dapat menjadikan pejabat Mawi ini satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.
Noorlinda berkata, sempena sambutan Aidilfitri ini, Casa Impian juga menonjolkan dekorasi dan koleksi Nusantara yang dipercayai menjadi pilihan ramai.
Katanya, ia turut diperkenalkan pada Mawi.Ditanya apakah Mawi kini menjadi jurucakap Casa Impian berikutan hubungan baik yang terjalin, Noorlinda berkata ia tidak berlaku. Menyentuh mengenai impak dibawa Mawi kepada Casa Impian, Noorlinda berkata tidak dinafikan impaknya begitu besar. Kata beliau, secara tidak langsung Casa Impian dikenali ramai."Malah, khidmat disediakan kami turut mendapat perhatian pelbagai pihak. Setiap konsep kami juga menerima sambutan baik," katanya.
Terdahulu, Mawi berkunjung ke Casa Impian Living di Jusco Home Centre, Jusco One Utama. Dalam kunjungan itu, Mawi turut menghiburkan kira-kira 30 kanak-kanak dari Individual Mentally Challenged Programme (IMC), Subang Jaya.Berikutan Aidilfitri tidak lama lagi, Mawi dan Noorlinda menyampaikan duit raya dan cenderahati kepada kanak-kanak istimewa itu. Hadir sama di majlis itu, Raja Azura selaku pengacara.
Sumber : Metro