CERITA mengenai kumpulan berpecah bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sebelum ini pun memang sudah banyak kali kita dengar perkara yang sama berlaku dalam industri hiburan kita yang sekecil zarah ini. Maklumlah, bukan mudah mengendalikan banyak kepala. Lagi ramai ahli, lagi banyak ragam yang terpaksa dihadapi. Akibatnya, berlakulah krisis dalaman yang membawa kepada perpecahan.
Terbaru, kumpulan bervokal harmoni, VE baru saja menyertai kelab ini apabila dua anggotanya, Zaf dan Lah menarik diri kerana terlalu sibuk dengan komitmen masing-masing selepas berumah tangga. Malah, difahamkan sebelum mereka meninggalkan kumpulan itu, pelbagai masalah dalaman timbul apabila masing-masing sukar meluahkan pendapat sehingga timbulnya masalah komunikasi. Apabila tiada persefahaman maka jalan akhir yang dirasakan terbaik bagi menyelesaikan kekusutan itu adalah dengan menarik diri. Kini tinggalah Damien, Shah dan Cham meneruskan perjuangan VE yang masih belum selesai.
Namun dalam satu pertemuan dengan mereka bertiga ini pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat rakaman EMI di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square, minggu lalu, mereka menafikan VE bergolak. Enggan menerangkan sebab musabab lanjut mengapa mereka berpecah, Damien berkata perkara itu akan diperjelaskan kemudian menerusi kenyataan media yang akan mereka kirimkan tidak lama lagi.
Hip: Betulkah dengar cerita kumpulan VE sekarang sudah berpecah?
VE: Sebenarnya VE tidak pernah berpecah tetapi kami sedang melakukan proses rombakan ahli. Lebih kurang macam itulah. Kalau awak kata kami berpecah bermakna VE hanya tinggal nama tetapi sekarang VE masih lagi wujud. Cuma sekarang ini secara rasmi hanya tinggal kami bertiga saja, Damien, Shah dan Cham yang akan meneruskan perjuangan VE.
Hip: Kenapa perlu rombakan? Apa yang berlaku sebenarnya?
VE: Rombakan ini berlaku apabila dua anggota kami menarik diri iaitu Zaf dan Lah. Tiada apa yang berlaku kerana pemergian mereka adalah untuk kebaikan mereka sendiri. Kami sudah cuba berbincang malah, kami masih memberi peluang kepada mereka untuk memikirkan kembali keputusan mereka untuk meninggalkan VE. Tapi disebabkan mereka mempunyai perancangan tersendiri serta mahu mencari yang terbaik buat diri mereka apatah lagi ketika ini masing-masing mempunyai komitmen lain selepas berumah tangga, jadi kami harus menghormati permintaan mereka serta merelakan mereka membawa haluan sendiri. Lagipun pada kami, siapa anggota VE itu tidak penting, yang penting adalah muzik yang kami bawa dan nama VE terus bertahan sampai bila-bila.
Hip: Tapi apa yang kami dengar, VE mengalami krisis dalaman yang cukup hebat?
VE: Ingin kami tegaskan di sini bahawa tiada pergeseran yang berlaku antara kami berlima. Penarikan diri Zaf dan Lah daripada VE tidak dipengaruhi sesiapa dan mereka lakukannya atas kehendak mereka sendiri. Cuma apa yang boleh saya katakan, untuk bekerja secara berkumpulan, kita mestilah sehaluan dalam apa juga perkara. Beginilah, kami tidak dapat menjelaskan secara terperinci apakah status VE ketika ini kerana perkara ini sudah pun kami serahkan kepada peguam untuk menyelesaikannya. Nanti selepas semuanya selesai, kami akan berikan kenyataan akhbar kepada semua media.
Hip: Kenapa perlu membabitkan peguam dalam hal ini?
VE: Apabila berlaku rombakan, banyak perkara yang perlu diselesaikan sesama kami apatah lagi ia membabitkan soal kontrak kerana kami masih mempunyai kontrak dengan EMI.Lagipun kami tidak mahu memberi sebarang kenyataan kerana mahu menjaga hati banyak pihak termasuk syarikat rakaman kami. Selain itu, kami sekarang di bawah pengurusan baru iaitu Soulstar yang kami tubuhkan sendiri. Justeru perkara seperti inilah membuatkan kami tidak bersedia untuk menjelaskan lebih lanjut status VE kepada umum. Tunggu saja nanti.
Hip: Biasa berlima tapi apabila tinggal bertiga terasa janggal tak hendak buat persembahan?
VE: Saya anggap apa yang berlaku itu sebagai satu cabaran buat kami. Setakat ini kami masih boleh membuat persembahan bertiga dan saya lihat peminat VE masih boleh menerima keadaan ini. Perjuangan tetap diteruskan seperti biasa. Mengenai vokal pula, kami rasa VE masih boleh berharmoni seperti dulu cuma caranya saja yang berbeza. Kami kena manfaatkan range vokal kami. Namun, untuk album yang akan datang, muzik kami mungkin akan mengalami sedikit perubahan tetapi tidak secara mendadak. Soal harmoni atau tidak, ia bergantung kepada jenis lagu.
Hip: Kalau satu hari nanti mereka berdua ingin kembali kepada VE apakah masih ada ruang untuk mereka?
VE: Keputusan untuk mengundurkan diri dari VE adalah kehendak mereka sendiri dan bukan kerana pergeseran atau sebagainya. Kalau benar mereka ingin kembali kepada VE suatu hari nanti, pintu kami sentiasa terbuka buat mereka. Malah, sebelum ini pun kami ada meminta mereka memikirkan kembali keputusan yang mereka buat itu.
Hip: Tidak terniat ke untuk mencari pengganti mereka berdua?
VE: Setakat ini kami selesa bertiga. Biarlah kami selesaikan dulu perkara yang sedia ada. Bukannya apa, bukan senang hendak cari ahli baru. Banyak perkara yang perlu diambil kira contohnya keserasian, persefahaman dan paling penting komitmen yang jitu terhadap VE.
Hip: Apa perancangan VE selepas ini?
VE: Ketika ini kami sedang sibuk menguruskan syarikat kami, Soulstar selain sibuk mencari material untuk album terbaru. Untuk album ini, kami akan muncul dengan sesuatu yang lebih segar sesuai dengan situasi kami yang kini tinggal bertiga. Selain Soulstar, Shah juga turut menguruskan syarikat produksinya sendiri iaitu Greenworks Publishing. Yang penting, azam kami selepas ini kami mahu hasilkan lebih banyak muzik yang bagus dan berkualiti serta boleh dibanggakan rakyat Malaysia.
Sumber : Berita Harian