Mahkamah Tinggi Syariah hari ini mengarahkan hak penjagaan dua orang anak, harta sepencarian dan mutaah yang dianggarkan bernilai RM60,000 diberikan kepada pelakon dan model, Rozita Abu Bakar atau lebih dikenali Rozita Che Wan, 33, setelah bercerai dengan suaminya, Azuar Effendy Zulkafly, 36.
Keputusan tersebut itu dibuat atas persetujuan Rozita dan Azuar selepas syarat-syarat itu dibacakan di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.
Rozita yang memakai baju biru dan bertudung hitam diwakili peguam syarie, Fakrul Azman Abu Hassan manakala Azuar yang merupakan seorang juruterbang diwakili peguam syarie Ainon A. Rahman.
Mengikut syarat yang telah dipersetujui itu, hak penjagaan Ammar Effendy, 11, dan Aniq Ezzra, 9, diberikan kepada Rozita.
Kedua-duanya akan diberikan nafkah oleh bapa mereka berjumlah RM2,500 sebulan.
Azuar (defendan) bersetuju untuk memberikan RM10,000 kepada Rozita (plaintif) sebagai harta sepencarian.
Selain itu, plaintif juga memperoleh polisi insurans Syarikat Prudential Assurance yang dilupuskan sebagai tuntutan mutaah dan tuntutan edah sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Rozita yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memberikan hak penjagaan ke atas dua anaknya itu.
‘‘Bagi saya hak penjagaan anak adalah yang paling penting. Perkara lain tidak berapa penting,’’ katanya.
Bagaimanapun, Rozita enggan memberikan komen lebih kerana ia melibatkan kehidupan peribadinya.
Rozita dan Azuar bercerai pada 8 Mei 2003.
Pelakon yang baru menceburi bidang lakonan ini semakin melonjak naik menerusi drama bersiri Diari Ramadan Raffique di TV3 pada pukul 6.30 petang setiap Isnin hingga Khamis.
Rozita juga dikenali melalui drama Jelatang, Susuk, Berakhir Satu Penantian, Akankah Mungkin dan Cinta Terhalang.
Sumber : Utusan