Beberapa bulan lalu, penyanyi dan pelakon Waheeda dikatakan bersedih kerana putus cinta sehinggakan ada yang mengatakan Waheeda sampai masuk hospital akibat terlalu kecewa.
Namun ketika ditemui pada satu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Kuala Lumpur baru-baru ini, kelihatan jelas terpancar keceriaan wajahnya yang kembali seperti sediakala.
Jelas Waheeda, dia sudah pun melupakan perkara itu kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada kariernya agar tidak terjejas di masa akan datang.
“Keadaan itu berlaku di luar kawalan saya dan selepas ini saya berjanji untuk cuba mengelak daripada dikaitkan dengan persoalan cinta lagi,” kata Waheeda menjelaskan keadaannya sekarang.
“Soal jodoh, saya ketepikan dahulu buat sementara. Buat masa ini karier seni saya lagi penting.
“Dulu memang pernah berasa ingin berkahwin. Tapi sekarang terserah pada jodoh,” katanya.
Perancangan tahun depan
Waheeda yang dilantik sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Kuala Lumpur, kini sibuk merancang untuk menghasilkan majalah yang bercirikan kehidupan di Malaysia.
Jelas Waheeda, kontraknya bersama Metrowealth International Group (MIG) akan berakhir pada 22 Oktober ini.
“Selepas itu, saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya pada rancangan untuk ke Dubai bagi mempromosikan majalah itu di sana,” ujarnya.
Sumber : Utusan