Monday, October 8, 2007

Zahnita tak sabar menunggu raya

PERAGAWATI dan pelakon berdarah Inggeris-Melayu, Zahnita Dorothy Husein Wilson, 22, begitu teruja dan tidak sabar menanti kedatangan Syawal yang dijangka jatuh pada Sabtu ini, 13 Oktober.
Walaupun bagi sebilangan orang Hari Raya hanya dinantikan oleh kanak-kanak tetapi Zahnita mempunya sebab tersendiri mengapa raya tahun ini begitu membuatkan dia teruja sehingga tidak lekang membilang hari yang begitu bermakna.
Zahnita yang ditemui bersama anaknya, Zahra Feena, lapan bulan, hasil perkahwinannya dengan Zackery Ghafor, 30, berkata; “Saya memang tidak sabar menanti kedatangan raya kali ini. Walaupun ramai yang berkata raya begitu bermakna untuk kanak-kanak tetapi bagi saya raya tahun ini begitu bermakna bagi saya kerana inilah pertama kali saya beraya sebagai seorang ibu.
“Tahun lepas saya beraya sebagai seorang isteri dan ketika itu saya sedang mengandungkan Zahra. Keseronokan beraya sebagai isteri yang sedang mengandung lain, tapi saya berasa tahun ni lebih bermakna kerana saya sudah ada Zahra dan yang paling penting saya lebih utamakan persiapan raya untuk Zahra.”
Menurut Zahnita, jika tahun lepas beliau menyambut raya ala kadar kerana tidak larat untuk membuat sebarang persiapan tetapi tahun ini sejak mula puasa dia sudah mengira berapa helai baju mahu dibelikannya untuk Zahra.
“Memanglah budak kecil rimas pakai baju kurung tetapi saya sudah menempah baju kurung warna ungu untuk Zahra, saya dan baju Melayu untuk suami saya juga warna ungu. Di samping itu saya juga beli beberapa helai baju gaun untuk Zahra,” kata Zahnita sambil mencium anaknya yang memiliki wajah iras Zahnita dan suaminya, Zackery Gafor.
Menurut Zahnita, seperti tahun lalu pagi raya dia dan suami serta Zahra akan beraya di rumah ibu mertuanya di Shah Alam.
“Selepas sembahyang raya, kami akan menziarah pusara arwah ayah Zackery dan pada tengah hari kami akan beraya di rumah emak di Kota Damansara sampai malam.
“Tahun ni buat pertama kali saya akan memasak masakan kegemaran suami saya di pagi raya iaitu ayam kurma dan ketupat,” cerita Zahnita ceria.
Zahnita anak keempat daripada lima beradik berkata, beliau tidak dapat membayangkan macam mana kecoh Zahra beraya di rumah ibunya yang juga mempunyai empat cucu lain iaitu dua abangnya mempunyai seorang anak dan kakaknya mempunyai dua orang anak.
“Tentu Zahra seronok beraya dengan sepupu, tapi... tak tahulah bila dah ada kawan mesti kecoh sebab Zahra ni aktif dan periang budaknya,” kata Zehnita.
Antara butik dan lakonan
Seperti yang diketahui umum, Zahnita mula mencipta nama sebagai model dalam bidang peragaan fesyen. Disebabkan wajah kacukannya sering menjadi hiasan majalah, akhbar dan iklan-iklan di televisyen akhirnya dia ditawarkan berlakon.
Dua telemovie yang diterbitkan dalam bentuk VCD iaitu Apa Nak Dikata dan Hilang Akal adalah penglibatan awal Zahnita dalam bidang lakonan.
Kemudian dia ditawarkan berlakon dalam filem Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja.
Selepas kedua-dua filem itu, Zahnita menyepikan diri berikutan masalah disiplinnya yang dikatakan banyak mengganggu perjalanan seninya.
Zahnita ketika ditanya mengenai masalah tersebut tanpa mengelak atau menafikan sambil berkata; “Mungkin masa itu usia saya terlalu muda dan saya tidak tahu apa yang saya buat. Kini dalam usia saya 22 tahun dan sudah menjadi ibu saya lebih matang dalam berfikir atau mengambil apa juga keputusan.
“Saya sedar di awal penglibatan dalam bidang lakonan saya banyak melakukan kesilapan tetapi kini pengalaman mengajar saya untuk lebih profesional. Sebenarnya saya teringin berlakon semula tetapi mungkin buat masa ini belum ada rezeki lagi.
“Apalagi dalam waktu sekarang saya menjaga sendiri Zahra tanpa pembantu rumah. Insya-Allah selepas raya apabila ada pembantu rumah saya akan tumpukan perhatian pada bidang yang saya minati iaitu fesyen dan lakonan.
“Bagaimanapun jika berlakon mungkin saya me-
ngambil tawaran yang tidak memerlukan saya berada lama di lokasi, misalnya cerekarama sahaja.
“Di samping itu selepas raya, saya akan menceburi bidang perniagaan yang berkaitan dengan fesyen. Jika tidak ada aral melintang saya akan punyai butik sendiri tidak lama lagi.”

Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR