SEPULUH tahun melayari mahligai cinta dirasakan sungguh indah. Namun, lumrah manusia tidak mampu melawan takdir. Ikatan yang terbina terlerai jua akhirnya.Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 34, bukan lagi bergelar isteri kepada lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatinya, Azuar Effendy Zulkafly.Empat tahun berlalu, pelakon siri Diari Ramadan Rafique serta Susuk 2 ini semakin tabah melayari hidup sendirian di samping dua permata hatinya, Ammar Effendy, 11, dan Aniq Ezzra, 9.
Lebih membahagiakan, Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan hak penjagaan anak menjadi miliknya.Keputusan itu sungguh bermakna buat pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar ini. Yang pasti, sambutan lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi pasti lebih meriah dengan adanya insan paling dicintainya ini.“Sejak berpisah dengan bekas suami, anak menetap dengan saya. Sepanjang tempoh itu, berlaku juga perebutan antara saya dan bekas suami kerana masing-masing mahukan hak penjagaan.“Pernah saya merayu kepada bekas suami supaya membenarkan Ammar dan Aniq terus tinggal dengan saya kerana mereka satu-satunya harta yang saya ada. Kemuncaknya, Januari lalu saya memfail permohonan hak penjagaan anak. Alhamdulillah, segala kekusutan selesai apabila keputusan berpihak kepada saya.“Sepanjang proses tuntutan ini, yang saya fokuskan ialah hak penjagaan. Soal duit dan nafkah saya tidak pernah ambil tahu, sebaliknya menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada peguam saya. Bagi saya, yang penting ialah Ammar dan Aniq kerana mereka tidak boleh dicari ganti,” katanya.
Mengimbas sejarah lamanya, wanita tinggi lampai ini mengenali bekas suaminya selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Itulah cinta pertamanya dan juga bekas suami. Pasangan ini kemudian mendirikan rumah tangga ketika Rozita berusia 20 tahun.Boleh dikatakan aktres jelita ini belajar mengenali erti kematangan di sisi lelaki itu. Meskipun sedih dengan perpisahan ini, dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Sudah tiada jodoh. Apapun, saya tumpang gembira melihat dia bahagia dengan isterinya. Walaupun tidak lagi tinggal sebumbung, kami masih berhubung untuk berkongsi khabar perkembangan anak.
“Malah, menjadi rutin jika bercuti, dia menjenguk anak dan sesekali bawa mereka tidur di rumahnya,” katanya.Mengulas rutin sambutan Aidilfitri, aktres yang akan pulang beraya di Taman PKNK, Alor Star ini berkata, menjadi kewajipan selepas sembahyang raya, keluarganya berkumpul di pusara bapa tercinta. Hari itu juga dikhaskan untuk melayan tetamu yang bertandang ke rumah ibunya.“Hari raya kedua, baru kami menziarah rumah saudara mara dan sahabat handai. Memang meriah sebab kami akan konvoi ramai-ramai. Sebelah malamnya pula, kami ke rumah isteri pertama Daddy.“Sebenarnya Daddy saya ada empat isteri. Dengan isteri pertama, Daddy ada tujuh anak, isteri kedua (lima), isteri ketiga (seorang anak) dan Mummy yang keempat (tujuh).“Walaupun berlainan ibu, hubungan saya dengan adik beradik lain memang rapat, malah ketika raya, kami dapat berkumpul serta berkongsi pelbagai cerita menarik.
Memandangkan hidup dalam keluarga besar, banyak juga duit raya perlu disediakan untuk anak saudara,” katanya ceria.Memandangkan dilahirkan dalam keluarga besar, kata Rozita, persiapan raya dapat dilakukan dengan pantas. Sedari kecil, setiap ahli keluarganya dibahagikan tugas masing-masing. Dia misalnya sibuk di dapur bersama ibu menyediakan pelbagai juadah buat santapan ramai.“Ada yang akan mengemas rumah, memasang langsir, menggosok baju, menyediakan pinggan mangkuk, mengisi kuih dalam bekas yang disediakan dan macam-macam lagi. Semua akan sibuk, terutama pada malam raya. Ketika itu saya, Ayu Raudhah dan nenek menyediakan ketupat palas yang akan dimakan bersama kari daging hasil air tangan nenek.“Rumah kami popular dengan laksa dan nasi tomato. Itu menu wajib setiap tahun, malah ia jadi permintaan jiran tetangga dan sahabat handai.
Saya turut menyediakan mi Hong Kong dan sagu gula Melaka.“Aneka kuih raya antaranya samperit, makmur dan tart nanas pula disediakan secara gotong royong. Biasanya saya, kakak dan adik akan bakar kuih raya selepas sembahyang tarawih. “Kami juga akan jahit manik baju raya dan berbual hingga sahur. Demi menikmati saat-saat indah ini, saya sanggup menolak dua tawaran telefilem,” katanya yang akan pulang ke Kedah tiga hari sebelum raya dan kembali semula ke ibu kota pada hari raya kelima.Bintang yang menjayakan komersial Petronas, Telekom, Rorinen dan Mornflake ini menjelaskan, dia tidak suka melakukan persiapan pada saat akhir. Kerana itu, dua minggu sebelum Ramadan, dia membeli dua pasang baju Melayu dan tujuh helai pakaian kasual untuk anaknya.“Tahun ini saya menempah tujuh helai baju untuk hari raya dan menghadiri rumah terbuka. Kebetulan anak saudara saya akan berkahwin bulan depan, jadi bolehlah pilih satu daripadanya untuk digayakan pada majlis itu nanti,” katanya.
Ditanya tidakkah teringin mendirikan rumah tangga sekali lagi, Rozita sambil ketawa berkata, fokusnya kini hanya pada anak dan karier. Soal jodoh, biar masa menentukan.Yang pasti, dia tidak mahu terburu-buru kerana bukan mudah mencari pengganti yang dapat menyayangi dirinya dan anak dengan sepenuh hati.“Anak tidak pernah menghalang jika saya mahu berkahwin lagi. Ammar pernah berkata dia mahukan bapa yang sayangkan saya, tidak akan mengecewakan saya dan dapat menerimanya serta Aniq.“Hati saya tersentuh dengan kata-katanya. Walaupun masih kecil, dia ambil berat keadaan saya yang masih solo,” kata Rozita.
Menyentuh desas-desus dia rapat dengan aktor kacak, Zizan Nin, Rozita seboleh mungkin cuba mengelak dengan mengalih topik perbualan. Puas dipujuk, akhirnya bekas pramugari ini akur menjelaskan kedudukan sebenar.“Memang saya dan Zizan rapat, malah kami pernah keluar dengan anak. Setakat ini, apa yang boleh saya katakan, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.“Jangan berfikir yang bukan-bukan. Persahabatan kami juga masih baru. Ia terjalin selepas kami sama-sama menjayakan telefilem Akankah Mungkin.“Apapun, saya senang berkawan dengannya. Zizan prihatin, matang dan terbuka. Dia melayan anak saya dengan baik, malah Ammar dan Aniq suka dengan keperibadian Zizan yang penyayang,” katanya sambil memohon perkara ini tidak diperbesar-besarkan.
Sumber : Metro