Jangan terkejut jika anda terserempak dengan Anuar Zain di kedai makan mamak. Biarpun menjadi ‘lelaki idaman Malaya’, Anuar Zain tidak segan melepak di kedai mamak. Bagi penyanyi kacak yang sedang popular dengan lagu Lelaki Ini, kedai mamak menjadi tempat pertemuannya dengan rakan-rakan lama.
Kata Anuar, dalam seminggu, tiga atau empat kali dia melepak dengan rakan-rakannya.
“Lepak di mana-mana pun saya tak kisah. Tetapi kedai mamak menjadi pilihan saya kerana terasa lebih relaks walaupun sehingga tiga, empat jam. Memang ini aktiviti yang saya gemar lakukan ketika bersantai bersama teman-teman. Dapat lepak dengan kawan-kawan, hilang rasa penat bekerja. Kami berbual dan berbincang sesuatu yang baru,” jelasnya.
Biarpun kadang kala ada juga peminat yang datang menyapa dan mahu bergambar dengannya, kata Anuar, situasi tersebut tidak mengganggunya.
Kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini, menu pilihan di kedai mamak pastinya teh tarik, capati dan nasi beriani.
“Selalunya saya akan keluar pada waktu petang atau malam untuk berjumpa rakan-rakan. Tetapi kadang-kala pukul 3 pagi pun saya keluar,” katanya yang ditemui di Devi’s Corner, Hartamas, Kuala Lumpur, bersama teman-temannya yang dikenali lebih enam tahun.
Tolak lagu sendiri
Anuar tetap tenang walau ada pihak yang kecoh terhadap album barunya yang diberi judul Anuar Zain kerana terlalu banyak menggunakan khidmat komposer seberang.
Tidak kuasa untuk melenting atau melatah kata Anuar; “Saya tak faham mengapa perlu dijadikan isu perkara tersebut. Sebenarnya saya tak menetapkan album itu untuk karya komposer Indonesia sahaja. Saya hanya mendengar kesemua lagu-lagu yang telah diterima oleh dua pengurus saya iaitu Rohila dan Faizah.
“Ketika lagu-lagu itu saya dengar, saya tak tahu pun penciptanya. Kebetulan kebanyakan lagu-lagu yang saya pilih tu ciptaan komposer seberang. Semuanya secara kebetulan. Saya tidak mengetahui pun penciptanya semasa lagu-lagu itu saya dengar untuk buat pilihan.”
Kata jejaka Aquarius ini, bukan sahaja lagu beberapa komposer tempatan ditolak. Malah lagu ciptaannya sendiri pun ditolaknya. Setelah dibandingkan dengan lagu-lagu lain, lagu-lagunya sendiri pun dirasakan tidak menepati konsep album.
“Saya mencipta empat lagu untuk album itu. Tetapi lagu-lagu itu pun saya tolak kerana tidak menepati tahap piawaian kerana ada lagu-lagu komposer lain yang lebih bagus,” katanya.
Bagaimanapun, kata Anuar, dia bersyukur kerana albumnya itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Menurutnya, tiga minggu pertama di pasaran, album itu telah pun memasuki cetakan kedua dan kini telah terjual sebanyak 16,000 unit.
Bukan ucapan saya
Biarpun kini peminat Anuar Zain boleh mendapatkan album terbarunya di pasaran, namun jangan terkeliru dengan sebuah lagi album terbarunya yang juga berada di pasaran diberi judul Anuar Zain Platinum Edition. Ia merupakan album tahun 2002 yang dikeluarkan semula oleh syarikat rakamannya terdahulu, Synchrosound Music.
Kata Anuar, 37, album itu diterbitkan tanpa pengetahuannya. “Tapi itu tak mengapa kerana mereka memang ada hak untuk mengeluarkannya. Cuma saya kesal kerana pada lipatan dalam cover album itu dicatatkan ucapan yang kononnya daripada saya. Padahal ucapan itu sebenarnya bukan daripada saya. Ada pihak yang mencipta ucapan itu. Mereka menipu peminat saya. Pihak tersebut patut malu kerana menipu peminat saya.”
Bagaimanapun Eksekutif Artis & Repoitre (A&R) Synchrosound Music, Nurhisyam Mohd. Noor ketika dihubungi berkata; “Album itu sebenarnya kami dah buat empat tahun lepas tetapi disimpan. Kata-kata ucapan itu saya ambil daripada fail bekas A&R lama. Saya tak tahulah kalau ucapan itu bukan daripada Anuar.”
Selesa bergambar sendirian
Baru-baru ini timbul desas desus yang mengatakan Anuar sudah tidak mahu mengambil gambar bergandingan dengan artis wanita.
Mengakui perkara tersebut kata Anuar, keputusannya itu tidak perlu dipertikaikan.
“Saya lebih selesa bergambar sendiri. Setiap manusia ada pilihan jadi itu pilihan saya. Tak salahkan kerana itu hak saya. Dah berpuluh-puluh tahun asyik bergambar dengan orang sahaja. Jadi keputusan saya ini tak perlu dipertikaikan. Kadang kala saya tak kenal rapat dengan artis-artis yang nak digandingkan, jadi saya tak selesa. Saya tak suka kerja asal boleh sahaja. Bila kita tak rapat, nak cari keserasian masa bergambar itu susah. Lagipun saya tak ramai kawan dalam industri ini.”
Sumber : Utusan