Monday, October 29, 2007

Zarina An-Julie puntianak jelmaan baru


BAGI penonton yang menyaksikan drama bersiri baru berjudul Anak Pontianak yang disiarkan di TV3 setiap Khamis pukul 9.30 malam mulai minggu lepas, pastinya ramai ingin mengetahui pembawa watak Mia.

Gadis tinggi lampai yang diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama sebagai puntianak ini sebenarnya baru pertama kali diberi peluang untuk membawakan watak utama.

Tetapi pemilik nama sebenar Zarina An-Julie ini, optimis untuk membawakan watak tersebut biarpun mengetahui ramai akan membandingkannya dengan Maya Karin.
“Saya tahu ramai yang akan membandingkan antara lakonan saya dan Maya. Tapi saya harap mereka faham yang saya sebenarnya masih baru dan masih memerlukan tunjuk ajar daripada yang berpengalaman. Janganlah ada yang mahu membandingkan antara saya dan Maya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Anak Pontianak baru-baru ini.

Kata gadis yang berusia 21 tahun ini, mungkin bagi sesetengah pendatang baru tidak mahu menerima watak sebegitu. Namun kata Zarina, beliau menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran dan peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Mengakui amat sukar pertama kali membawakan watak tersebut namun berkat nasihat dan tunjuk ajar pelakon yang berpengalaman sedikit sebanyak membantunya di lokasi.

“Jika kita mahu berjaya sebagai pelakon, kita tidak terima watak yang baik-baik sahaja. Kita tak boleh cerewet, apa yang penting kita perlu berusaha menjayakan apa juga watak yang diberikan. Bagi saya biarpun membawakan watak pontianak, yang merupakan waris Meriam, apa yang pasti, berlakon di bawah produksi Pesona Pictures merupakan langkah terbaik untuk saya mempelajari ilmu lakonan dengan tenaga produksi itu,” katanya.

Menceritakan pengalamannya membawakan watak seram tersebut kata Zarina; “Memang menakutkan semasa kami membuat penggambaran di Aswara. Pelbagai perkara pelik berlaku pada waktu malam. Mula-mula saya tak perasan tapi selang dua tiga hari baru saya menyedari perkara menakutkan itu.”

Selain itu, kata Zarina pernah sekali matanya tidak dapat melihat untuk beberapa ketika. Kejadian itu berlaku kerana cecair yang diletakkan di dalam matanya agar kelihatan seperti mata pontianak hampir memudaratkan matanya.
“Saya cukup takut sebab saya ingatkan mata saya dah buta. Bayangkan masa itu saya tak dapat melihat dan mata saya cukup pedih. Tapi alhamdulillah semuanya kembali seperti sedia kala,” katanya.
Drama bersiri Anak Pontianak merupakan kesinambungan kepada filem sekuel Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM).

Penerbitnya Shuhami Baba menjelaskan; “Cerita Anak Pontianak merupakan sambungan kepada PHSM. Penceritaannya lebih kepada proses bagaimana waris Meriam dipilih dan menjadi dewasa. Jika PHSM menyaksikan Meriam mahu membalas dendam atas kematiannya. Tapi dalam Anak Pontianak pula penonton dapat melihat warisnya menggunakan kuasanya untuk kearah kebaikan.”

Tambahnya demi memastikan khalayak yang menonton dapat merasai perjalanan ceritanya buat pertama kalinya Maya Karin tampil berlakon dalam drama bersiri.
“Maya memang ada dalam Anak Pontianak ini sebagai pelakon undangan khas. Dia muncul sebagai Meriam demi untuk mewujudkan jalan ceritanya yang ada kesinambungan. Selain Maya pelakon PHSM yang turut berlakon dalam drama ini ialah Ida Nerina, Nanu Baharudin dan Kavita Sidhu.”
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR