SUATU ketika, sewaktu masih hidup solo, dia tidak perlu sangat memikirkan mengenai kebajikan orang lain. Kebanyakan perkara dilakukan untuk diri sendiri. Kini, keadaan sudah berbeza buat pelakon Lis Dawati, setelah dia bergelar isteri kepada aktor Fauzi Nawawi. Sekarang, bukan masanya dia memikirkan makan pakai sendiri saja. Tanggungjawab terhadap suami perlu dijaga. Menyedari hakikat itu, Lis sentiasa memastikan, dalam apa juga keadaan, suaminya perlu didahulukan.
"Sepanjang bulan puasa ini, umpamanya, seboleh-bolehnya saya akan mengikut saja seleranya. Nasib baiklah dia bukannya seorang yang cerewet apabila tiba waktu makan. Fauzi lebih sukakan hidangan yang berasaskan ikan laut. Dia tidak berapa gemar hidangan daging ataupun ayam. "Jadi, apabila tiba waktu berbuka, saya lebih suka membakar ikan atau menggorengnya saja. Hidangan sederhana pun tidak mengapa kerana paling penting, saya perlu menyediakan sambal belacan untuknya. "Pada mulanya agak susah juga hendak menyediakan sambal belacan kerana keluarga Lis memang tidak makan belacan. Jadi, Lis sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyediakan sambal berkenaan. Jika setakat sambal tumis, bolehlah saya sediakan," ujar pelakon yang lebih mesra membahasakan dirinya Lis saja.
Biarpun wanita ini berusaha untuk mengikut selera suaminya, bukan bermakna setiap hari dia perlu bersusah payah memikirkan soal menu. Kata pelakon yang pernah diangkat sebagai Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-16, pada 2003 ini, suaminya seorang tukang masak yang handal dan ada masanya lelaki itulah yang menentukan masakan apa perlu dihidang pada hari berkenaan. "Masakan istimewa Fauzi ialah gulai lemak ketam. Saya pula memang boleh makan apa saja yang disukainya. Jadi, memang tidak ada masalah apabila dia yang memilih hidangan. Sebaliknya, belum tentu apa yang saya sukai turut digemari Fauzi," cerita Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2005 ini.
Mengenai amalan bersahur pula, Lis akan memastikan suaminya bangun untuk makan. "Fauzi menghidap gastrik. Jadi, bagaimana penat pun, dia perlu bangun sahur juga untuk menyentuh sedikit makanan. Makanan yang dihidang waktu sahur pula tidak boleh sebarangan, bimbang akan memudaratkan dirinya. Maknanya, kebanyakan mereka yang menghidap gastrik bukanlah tidak boleh berpuasa langsung, tetapi biar kena caranya," ujar wanita ini. Berikutan kesibukan mereka di lokasi serta mengadakan persiapan untuk majlis persandingan pada 26 Oktober depan, Lis dan suami akan menyambut 1 Syawal di ibu kota. "Ketika ini, saya sibuk menghantar kad undangan kepada sanak saudara serta rakan taulan.
Ramai juga kenalan artis yang saya undang. Pada masa sama, saya juga menyediakan dua helai persalinan untuk majlis persandingan. Pereka Calvin Thoo dan Michael Shu ialah dua jejaka yang bertanggungjawab menyediakan gaun pengantin untuk hari berkenaan. "Sehari sebelum bersanding pula, keluarga saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan berinai. Jadi, selepas Aidilfitri nanti, agak sibuk jugalah kami sekeluarga, dalam memastikan semua perancangan berjalan dengan sebaiknya," kata pelakon ini.
Sumber : Berita Harian