Monday, October 1, 2007

Nasha Aziz akui kehidupan peribadi tidak stabil


BERITA pertunangan Nasha Aziz sekitar tahun lepas disambut dengan gembira oleh para peminatnya. Doa restu mengiringi pertunangan pelakon dan peragawati popular itu bersama pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof.

Beberapa bulan lalu heboh dikatakan, kononnya tarikh cantik 7 Julai (070707) lalu menjadi pilihan si jelita tersebut untuk melangsungkan perkahwinan. Namun tiba pada tarikhnya segala impian yang dinantikan senyap sepi tanpa khabar berita.

Masa terus berlalu dan segala persoalan masih menjadi teka-teki. Malah Nasha juga dilihat seakan-akan tidak mahu menjawab soalan berkaitan perkahwinannya tatkala ditemui wakil media.
Namun baru-baru ini mungkin kerana sudah jelak mengelak atau sudah bersedia berhadapan dengan kenyataan, Nasha akhirnya `membuka mulut’ memperkatakan tentang perkahwinannya yang selama ini dinanti-nantikan peminatnya.

“Ada seperkara yang telah terjadi dalam hidup saya maka banyak perubahan yang telah berlaku. Sejujurnya apa yang boleh saya katakan kehidupan peribadi saya kini tak berapa stabil,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis memperagakan pakaian di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tegas Nasha, antara dia dan tunangnya telah beberapa kali mengadakan perbincangan namun sehingga kini masih belum bertemu titik nokhtahnya.
“Memang kami ada berbincang namun setiap kali perbincangan diadakan, keputusan masih tidak dapat dicapai oleh kedua-dua pihak,” ujarnya.
Kata pelakon ini, biar apa pun yang berlaku kehidupannya masih diteruskan.
Dalam nada tenang kata Nasha: “Kerjaya saya alhamdullilah masih seperti dulu dan okey. Saya tak perlu nak mencampur adukan antara kerjaya dan peribadi.”

Menanti tayangan Otai

Biarpun filem lakonannya Puaka Tebing Biru (PTB) yang ditayangkan Februari lalu tidak mendapat sambutan namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Nasha.
Berdebar menantikan tayangan filem komedi terbarunya, Otai yang akan ditayangkan pada 13 Oktober ini pemilik nama sebenar Noraisha A. Aziz ini yakin filem yang mendapat sentuhan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu akan mendapat sambutan yang memberansangkan.
“Otai ini filem komedi dan saya sendiri sudah lama tak melakonkan watak komedi. Jadi saya yakin peminat juga tertunggu-tunggu kerana sebelum ini banyak juga watak serius atau korporat yang saya bawa,” katanya yang manis menggayakan rekaan Zhang Toi pada petang tersebut.

Filem yang menelan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.5 juta menemukan Nasha bersama Azean Irdawaty, Yassin Yahya, Salih Yaccob dan Faeza.
Ditanya mengenai gandingan kali keduanya bersama Saiful Apek selepas filem Cinta Luar Biasa, kata Nasha: “Berlakon dengan Apek tiada masalah. Cuma saya perlu masuk ke dalam dunianya untuk mendapatkan keseimbangan dalam lakonan kami. Keserasian penting untuk mewujudkan satu suasana yang lebih selesa dan menyeronokkan ketika berlakon.”

Bertukar bicara kepada sambutan raya pula kata Nasha, sambutan rayanya masih seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Tiada beza raya kali ini dan sebelum ini. Saya akan menyambutnya di Taman Keramat, Kampung Pandan dan Kampung Baru bagi bertemu sanak saudara dan nenek saya,” katanya.
Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR