SEJAK Noryn Aziz membuat comeback dalam dunia seni, dia mula menjadi perhatian baik dari golongan marhain mahupun golongan atasan. Perhatian yang diberikan kepadanya bukan sekadar bakatnya yang luar biasa itu tetapi juga kepada penampilannya yang bisa mencairkan hati para jejaka.
Bukan itu sahaja, malah kedengaran juga, si jelita ini sering membuat persembahan untuk orang atasan, golongan istana mahupun VIP.
Adakah dengan ini, Noryn sudah boleh digelar penyanyi istana? Ketika ditemui baru-baru ini, anak kelahiran Petaling Jaya ini hanya mampu melemparkan sekuntum senyum sebaik sahaja soalan diajukan kepadanya.
“Saya bukannya penyanyi istana. Saya masih menganggap saya masih baru dan ‘hijau’. Jika saya sering menyanyi di istana dan untuk orang-orang kenamaan, saya menganggap ia adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada saya.
“Mungkin juga saya sering diberi perhatian oleh mereka kerana saya artis baru dan konsep yang saya bawakan pula segar dan kena dengan cita rasa mereka. Bukan itu sahaja, muzik yang saya bawakan juga berbeza dengan yang ada di pasaran masa kini,” katanya.
Ditanya adakah mungkin dia bertemu jodoh dengan orang istana, Noryn menjelaskan andainya itu yang sudah ditakdirkan, dia menerima dengan hati terbuka.
“Tetapi jangan pula fikir saya sudah berpunya atau menjalinkan hubungan dengan sesiapa. Saya masih solo dan buat masa ini, saya mahu tumpukan pada kerjaya dahulu.
“Memang benar dulu saya pernah berkata tidak mahu berfikir tentang lelaki selepas bercerai dulu tetapi bila difikirkan kembali, saya sudah bersedia untuk berkahwin dan memulakan keluarga sendiri. Mengenai pilihan saya pula, saya tidak memilih tetapi haruslah pandai menjaga hati dan menghormati kedua ibu bapa saya,” jelasnya lagi.
Album kedua lebih rumit
Selepas kejayaan album comebacknya yang pertama iaitu Alam Maya yang dipasarkan pada November lalu, kini Noryn bersedia untuk memulakan rakaman album keduanya.
“Tetapi, masalah yang saya hadapi adalah kesukaran untuk mencari lagu. Alam Maya menampilkan keseluruhannya komposisi saya sendiri namun kali ini, saya mahu tampilkan ciptaan komposer lain dan juga saya sendiri.
“Ada juga lagu yang saya terima tetapi belum mendengarnya dengan teliti lagi. Kali ini, saya mahu terlibat dari mula hingga akhir. Malah, kali ini juga saya mengeluarkan duit sendiri untuk album baru ini. Saya juga rasa bertuah kerana berjaya mendapatkan khidmat Mac Chew dan Jenny Chin sebagai penerbit album,” ceritanya lagi.
Menurut Noryn lagi, untuk album keduanya ini, dia mahu lagu-lagunya mendapat tempat di hati pendengar dan juga stesen radio.
“Bukan bermakna Alam Maya tidak bagus dan tidak boleh diterima, tetapi konsepnya mungkin sesetengah golongan sahaja boleh menerimanya walaupun pada saya, album itu boleh diterima oleh sesiapa sahaja,” katanya yang turut terharu apabila pengarah muzik terkenal, Ramli MS memuji kemunculan semulanya dalam industri muzik dengan membawa satu nafas baru.
Sememangnya Noryn seorang yang berfikiran jauh dan sungguh optimis dengan apa yang dirancangkannya.
Meskipun, album keduanya masih lagi di peringkat awal, namun dia sudah memikirkan konsep untuk album ketiganya kelak.
“Untuk album ketiga, saya mahu muzik saya digubah dengan muzik live dan orkestra. Saya mahu tampilkan muzik-muzik klasik Melayu dari era 40-an sehingga ke tahun 70-an. Itu semua perancangan saya dan saya amat berharap idea saya ini menjadi kenyataan,” katanya.
Sumber : Utusan