Thursday, October 18, 2007

Aidilfitri eratkan kami


MACAM mana kecohnya Chef Redzuawan atau lebih mudah dengan panggilan Chef Wan seperti yang selalu dilihat di televisyen, begitu juga mulutnya apabila berada di rumah. Ketika sesi fotografi dan temu bual ini dibuat, mulut Chef Wan 'bising' menyuruh anak bujangnya, Nazri membetulkan samping. "Umur sudah besar panjang pun masih tak tahu kepala songket yang mana satu," bebel Chef Wan pada anak sulungnya itu.

Namun suasana itu sebenarnya jarang berlaku. Hanya sekali-sekala dan pada masa tertentu Chef Wan yang dipanggil anaknya papa akan membebel. Apa tidaknya, mereka jarang berjumpa. Chef Wan sentiasa sibuk bergerak di merata tempat untuk memenuhi undangan memasak di seluruh negara. Sementara anak daranya, Serina pula sibuk dengan aktiviti lakonan, menyebabkan masa pertemuan mereka menjadi lebih terbatas. Anak sulungnya, Nazri juga sibuk mengikut jejak langkah bapanya iaitu menjadi pengacara program masakan. Dalam erti kata lain, keluarga Chef Wan sentiasa sibuk dan cukup berdedikasi dengan kerjaya masing-masing.

Hanya pada Aidilfitri serta pada majlis penting lazimnya tiga beranak ini dapat berjumpa. Seperti biasa, tiga beranak ini akan menyambut Syawal di Sungai Koyan, Pahang iaitu rumah keluarga Chef Wan. Biasanya, mereka sekeluarga berkumpul di sana sehingga hari raya ketiga. Selepas itu, masing-masing sibuk kembali membawa haluan sendiri. Bahkan, mereka juga jarang balik ke Kuala Lumpur bersama-sama. Selepas berhari raya di rumah keluarga bapanya, Nazri pulang ke kampung bersama ibunya Nurhayati Ayub, 47.
Serina pula pulang sendirian dan selalunya dia akan pulang awal pagi raya jika terbabit dengan program raya. Chef Wan juga pulang dengan haluannya sendiri. Bagaimanapun, berhari raya di Sungai Koyan memang meriah di mana kira-kira 60 ahli keluarga Chef Wan berkumpul. Kemeriahan Aidilfitri ini memang sangat dirasai kerana biasanya masing-masing membahagikan tugas dan tanggungjawab mengenai persiapan yang hendak dibuat supaya tidak kelam-kabut pagi raya.

Sehari sebelum raya, mereka bergotong-royong menyiapkan sajian istimewa seperti nasi beriani, ketupat dan rendang untuk dihidangkan kepada tetamu atau dinikmati bersama-sama anggota keluarga lain. Pada hari raya kedua, mereka menghidangkan tetamu dengan soto. Sementara itu, sejak seminggu sebelum raya lagi, Nazri sudah menyiapkan kek dan biskut untuk dibawa pulang ke kampung. "Kami jarang dapat beraya bersama kerana setiap kali hari raya kampung kami pasti akan diserbu. Ada yang tiba dengan satu bas, tetapi perkara ini sudah menjadi kebiasaan. Kami memang sudah siapkan makanan untuk menjamu peminat," kata Serina.
Keluarga ini tidak pernah menghalang peminat untuk datang beraya. Mereka melayan peminat dengan tangan terbuka kerana pada masa ini saja dapat bertemu dengan peminat yang banyak memberikan sokongan. "Memanglah memenatkan, tetapi hanya pada ketika inilah kami sekeluarga dapat beramah mesra dengan peminat. Kami sekeluarga bertungkus-lumus memasak memastikan hidangan mencukupi. Selain itu, kami turut menempah makanan daripada katering. "Hari raya juga hari keluarga kami dapat bertemu. Jika tidak, memang susah untuk bersua muka, lagi pula kami semua tinggal berasingan. Papa sibuk dengan aktiviti masakannya, Serina pula dengan lakonan. Sukar untuk kami berjumpa kecuali pada hari istimewa seperti ini," kata Nazri. B
iarpun Chef Wan dan isterinya sudah lama berpisah, tetapi setiap kali raya, bekas isterinya yang juga sepupu Chef Wan sendiri akan mengikut mereka berhari raya di Pahang kerana orang tuanya sudah lama meninggal dunia. Pada hari raya ketiga, Chef Wan dan keluarganya pulang semula ke Kuala Lumpur. Mengenai sambutan hari raya di ibu kota, Nazri berkata, rumah terbuka hanya akan diadakan di atas persetujuan bapanya. Jika diadakan sekali pun hanya untuk teman terdekat dan biasanya mereka mengadakannya secara berperingkat kerana ruang rumah yang terhad. Tahun ini, Nazri dan Serina ligat membuat perniagaan kuih raya.
Namun sebagai permulaan, mereka hanya menerima tempahan untuk rakan terdekat . Bagaimanapun, dua beradik ini bercadang mengembangkan lagi perniagaan mereka tahun depan dengan menerima tempahan lebih awal.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR