
Sebagai seorang isteri pula, Ina berkata dia sebenarnya mengikut saja keputusan suaminya itu. Malah, dia sudahpun memberitahu lebih awal kepada keluarganya kemungkinan tidak dapat bersama mereka kerana berhari raya bersama dengan keluarga suaminya di Felda Tementi, Triang, Pahang. "Kalau boleh memanglah Ina berharap dapat berhari raya bersama keluarga. Tapi jika Suhaimi ingin pulang ke kampungnya dulu, Ina ikut saja. Lagipun, bukannya Ina tidak balik langsung, cuma lambat sikit," katanya. Disebabkan Aidilfitri kali ini agak istimewa kerana disambut sebagai pasangan suami isteri, Ina dan Suhaimi juga membuat persiapan tersendiri apabila masing-masing menyediakan empat pasang baju yang setiap satunya dengan warna berbeza. Bagaimanapun, kesibukan menyebabkan mereka tidak ada masa memikirkan kuih raya yang hendak dibawa ke kampung halaman. Mereka menyerahkan perkara ini kepada keluarga masing-masing untuk menguruskannya.
Secara keseluruhannya, Ina dan Suhaimi mengamalkan kesederhanaan. Selain berhari raya mereka juga perlu membuat persiapan untuk hari bahagia mereka yang bakal menjelang November nanti. Majlis perkahwinan mereka akan diadakan sebulan selepas raya, justeru persiapan raya tidak begitu dipentingkan. Namun, mereka beruntung banyak pihak yang sudi menaja majlis perkahwinan. Dek kerana terlalu ramai yang ingin menaja, Ina dan Suhaimi jadi pening untuk memilih yang mana satu. Bagi bersikap adil, mereka hanya menerima daripada pihak yang belum menaja mereka sebelum ini.
Tema majlis perkahwinan di sebelah perempuan berwarna ungu putih, sementara di pihak lelaki pula coklat putih. Pasangan ini memilih konsep 'menjunjung syariat mendukung adat' untuk majlis mereka nanti. Kata Suhaimi, oleh kerana mereka akan mengadakan majlis perkahwinan maka mereka tidak bercadang untuk mengadakan majlis rumah terbuka.
Sumber : Berita Harian