LAGU Caramu (Nikki), Saling Terpesona (Diddy & Yanie), Malu Tapi Mahu (Dina), Satu Harapan (Jaclyn Victor) dan Hilang (Dayang Nurfaizah) sememangnya cukup popular di kalangan penggemar muzik Melayu masa kini. Mudah menangkap perhatian dengan irama dan liriknya, lagu berkenaan sering saja menjadi pilihan pendengar.
Seperti biasa, apabila sesebuah lagu menjadi popular, si penyanyi akan secara langsung mendapat nama. Ketika itu, tidak ramai yang memberikan perhatian kepada pencipta dan penulis liriknya. Istimewanya barisan lagu yang disebutkan tadi ialah apabila kesemuanya dicipta oleh komposer muda berbakat, Audi Mok dan liriknya pula hasil karya Nur Fatima. Walaupun pada asalnya dia sendiri bergelar penyanyi, namun tidak dapat disangkal, lirik tulisannya ketika ini sering menjadi pilihan terutama oleh Audi.
"Memang jika dilihat kepada perkembangan sejak akhir-akhir ini, banyak lirik yang saya hasilkan adalah untuk lagu ciptaan Audi. Mungkin, kepercayaan yang diberikan itu membuatkan saya senang bekerjasama dengan pencipta ini. Lagipun, tiada salahnya untuk saya aktif berkarya apabila dia memberikan saya peluang untuk berbuat demikian," ujar Nur Fatima.
Langkah panjangnya dalam bidang penulisan bukan bermakna wanita muda yang pernah bergelar penyampai berita di 8TV ini melupakan terus minat asalnya iaitu menyanyi. Bahkan, di samping sibuk mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam album terbaru yang bakal dirakam di bawah label Satu Muzik, dia juga mengasah bakatnya dalam dunia penciptaan lagu. "Insya-Allah, lagu ciptaan sendiri akan dimasukkan sekali dalam album studio yang mungkin dirakam bermula hujung tahun ini," katanya ketika ditemui di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.
Ditanya mengenai album baru itu, Nur Fatima memberitahu, dia masih mengekalkan konsep pop untuk kepuasan diri sendiri dan peminat. Begitupun, dia bagai berjanji, jika dibandingkan dengan penghasilan terdahulu, tentunya album kali ini jauh lebih matang. "Ketika saya merakamkan album pertama, saya masih cukup muda. Waktu itu, usia saya baru 17 tahun. Kini, pada usia 25 tahun, rasanya banyak pengalaman yang sudah saya timba dan lebih banyak ilmu nyanyian yang saya terima. Tentunya faktor itu memberikan keyakinan buat saya menghasilkan sesuatu lebih baik dan bermakna," katanya.
Sudah tentu, jika berupaya, dia ingin menghasilkan sendiri album berkenaan. Namun, khidmat nasihat dan kepakaran mereka yang lebih berpengalaman tidak dinafikan, masih diperlukan oleh wanita ini untuk membikin album terbarunya. Justeru, Audi yang dianggapnya lebih berpengetahuan dalam penghasilan album, dilantik sebagai penasihat dan penerbit untuk projek ketiga. Nur Fatima dan Audi bukanlah baru setahun dua berkenalan. Hubungan seni sudah wujud antara mereka sejak kira-kira empat tahun lalu, ketika komposer itu turut menerbitkan beberapa lagu untuk Gadis, album keduanya.
Sayang sekali, album itu gagal melonjakkan namanya untuk sama-sama berdiri sama tinggi dengan penyanyi wanita lain. Meskipun begitu, siri Gol & Gincu sedikit sebanyak mengingatkan peminat kepadanya apabila lagu merdu ciptaan Azlan Abu Hassan, Tiada Ertinya, kerap kali diputarkan walaupun ia tidak diangkat sebagai single utama cerita berkenaan. Saat senggang yang tersedia selepas kelahiran album kedua, tidak dipersiakan Nur Fatimah begitu saja. Sebaliknya dia menggunakan kesempatan itu untuk mencuba bidang penulisan (lebih 40 lagu ditulisnya sejak tiga tahun lalu) dan penyampaian berita.
"Sewaktu bertugas bersama 8TV sebagai penyampai berita, saya akui ia membantu diri saya berkomunikasi dengan orang ramai secara lebih baik. Peluang keemasan itu nyata tidak sia-sia," kata bakat muda ini yang lebih gemarkan jalur muzik bercorak balada dengan sentuhan jazz apabila menghasilkan sesebuah irama. Kini, Nur Fatima kembali ke sebuah kolej swasta untuk mempertajamkan lagi ilmu muziknya, dengan mengambil kursus kejuruteraan audio. Katanya, sebagai pencinta muzik, dia sedar betapa pentingnya ilmu di dada.
Apatah lagi dengan pengetahuan yang ada, dia akan lebih mudah berkomunikasi bersama pekerja di studio rakaman. Baru saja bermula tahun ini, pengajian pada peringkat diploma itu akan berlanjutan selama enam semester. Tentunya Nur Fatima kini sibuk mentelaah apabila peperiksaan penggal difahamkan akan diadakan sebaik saja pelajar selesai berhari raya.
Info:
NUR FATIMA kini bernaung di bawah label Satu Muzik, untuk tempoh tiga tahun.
WALAUPUN artis baru muncul bagai cendawan tumbuh, artis ini tetap mendapat tempat di hati penganjur apabila tawaran untuknya mengadakan persembahan tetap hadir ke sisi.
SEBELUM ini, Nur Fatimah turut menerima segulung sijil daripada Icom dalam bidang muzik.
BAKAT penyanyi ini mula dikesan ketika muncul juara rancangan Bintang Gala 2 1999. Ketika itu, dia mengalahkan Dia Fadila yang muncul pemenang kedua.
SELAIN Tiada Ertinya, penyanyi ini juga pernah meletup bersama lagu Selembut Sutera dan Hanya Kau (Feeling You).
Sumber : Berita Harian