Tuesday, October 30, 2007

Menanti hasil selidik televisyen digital, siaran RTM

MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa RTM sudah melaksanakan tempoh percubaan siaran televisyen digital selama enam bulan bermula September 2006. Projek yang dikenali sebagai Digital Terrestial Television Broadcasting (DTTP) itu membabitkan lebih 2,000 pengguna di Lembah Klang. Tempoh percubaan itu berakhir pada Mac 2007.

Ia membabitkan pemasangan pentafsir kod Set Top Boxes (STB) di rumah pengguna yang menyertai projek percubaan itu. Dalam tempoh itu, DTTP akan disiarkan setiap hari mulai jam 7 petang hingga tengah malam, memaparkan program yang disiarkan oleh RTM 1, RTM 2, dan saluran digital baru, RTMi. Saluran RTM1 pula menyiarkan empat genre program iaitu drama, muzik, maklumat dan sukan/aksi, selain memperkenalkan program interaktif seperti Music Active, News Active, Games Active dan Radio Active.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Chia Kwan Chye pernah dipetik sebagai berkata, sepanjang tempoh percubaan, satu kaji selidik akan dijalankan di kalangan mereka yang mengambil bahagian, bagi mengumpul maklum balas dan mengakses penerimaan penonton. Semua maklumat yang dikumpul memainkan peranan penting dalam menentukan cara-cara untuk melaksanakan DTTP dengan lebih berkesan pada masa hadapan. Semua maklumat itu dikumpulkan oleh Pasukan Petugas Digital Kementerian Penerangan dalam satu laporan, yang akan dihantar kepada Pasukan Petugas pendigitalan Negara.

Siaran percubaan pendigitalan belanja sehingga RM26 juta daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM73 juta dalam projek pendigitalan negara. Sehingga hari ini, selepas enam bulan, kita belum mendengar sebarang laporan terbaru berkaitan dengan saluran digital RTMi. Kita juga ingin tahu apakah percubaan itu berjaya atau gagal. Kalau gagal, apakah tindakan untuk mengatasinya atau operasi RTMi dibatalkan? Sekiranya berjaya, bila pula operasi RTMi hendak bermula?

Mungkin Kementerian Penerangan belum bersedia untuk menghebahkannya kepada umum berhubung perkembangan terkini RTMi yang sudah operasinya sudah beberapa kali ditangguhkan. Sementara itu, pada 23 Oktober lalu, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Penerangan akan memasang alat pemancar digital di stesen pemancar utamanya iaitu di Menara Kuala Lumpur dan Hulu Kali untuk memperbaiki siaran RTM di Lembah Klang.

Katanya, penggunaan alat pemancaran teknologi baru ini adalah sebahagian daripada usaha RTM untuk merintis projek pendigitalan bagi meningkatkan kualiti penyiaran stesen televisyen nasional. Beliau berkata projek itu membabitkan pusat penerbitan dan sistem penyiaran TV di Angkasapuri dengan tumpuan diberikan terhadap kelengkapan audio TV secara digital di Studio 1, 2, 4 dan 5. Kementeriannya juga turut memberi perhatian terhadap sistem digital satelit membabitkan penghantaran bahan penyiaran daripada Angkasapuri ke Kota Kinabalu dan Kuching, dan sebaliknya.

Kenyataan Zainuddin dan Chia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menaik taraf penyiaran RTM. Memang semua proses ini membabitkan satu kajian teliti. Tetapi rancangan untuk memasang alat pemancar digital perlu menjadi keutamaan. Tidak dinafikan, walaupun tinggal di Lembah Klang atau di sekitarnya seperti Kajang, Gombak, Bangi, Sungai Buloh, Petaling Jaya, Puchong, Hulu Klang atau Shah Alam, penerimaan RTM memang kadang-kadang kurang ‘cantik’ kecuali kalau melanggan Astro.

Ada yang merungut terpaksa mengalih atau menggoyangkan aerial TV semata-mata hendak mendapatkan siaran RTM yang baik. Selain siaran yang baik, cadangan penggunaan alat pemancar digital diharap boleh meningkatkan taraf dan kualiti persembahan serta penyiaran RTM. Persembahan yang bagus penting juga kerana ia membabitkan kualiti gambar dan bunyi atau visual dan audio. Kebelakangan ini RTM sangat komited menyiarkan program bermutu. Baik program daripada pembekal atau terbitan dalaman (in-house production). Bagaimanapun, sering kali yang menimbulkan rasa tidak puas hati penonton ialah mengenai kualiti audio atau bunyi yang kurang jelas.

Ini sangat ketara pada program yang disiarkan secara langsung oleh RTM, terutama dari Auditorium Perdana. Umpamanya, ketika pertandingan Akhir Juara Asyik 2007 pada Sabtu lalu, apabila kualiti audio yang kurang memuaskan di TV menjadikan bunyi yang mendatar. Adalah penting kejuruteraan RTM menilai dan memeriksa apakah punca audio dari auditorium kedengaran ‘biasa’ saja? Adakah ia mempunyai kaitan dengan teknologi pemancar? Program lain seperti drama, dokumentari dan sebagainya, gambar atau visual pula kurang jelas atau jernih walaupun kualiti kandungannya sangat baik.

Kurang jelas ini ialah gambar yang kabur dan kusam seolah-olah ia drama penerbitan tahun 80-an pula. Perkara itu barangkali kelihatan remeh tetapi ia penting bagi pendengar dan penonton. Persembahan audio dan visual yang bagus juga adalah sebahagian daripada kepuasan menonton televisyen.

Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR