TANPA disangka kenyataan bela diri yang dikeluarkan penyanyi Siti Sarah Raisuddin berhubung kes kegagalannya menjayakan konsert yang diatur awal oleh Ezlynn Entertainment ibarat memakan dirinya sendiri. Ternyata, sidang media tergempar yang dilakukan Sarah sebagai membalas kenyataan Ezlynn yang tersiar dalam sebuah akhbar sisipan tidak lama dulu menimbulkan perasaan kurang senang pihak Ezlynn Entertainment.
Bertemu penyanyi yang sedang popular dengan lagu Jikalau Aku ini bersama pengurusnya, Adam pada majlis rumah terbuka KRU minggu lalu membongkar satu rahsia yang selama ini disimpan rapi. Seperti mana Sarah yang ingin mempertahankan reputasinya sewaktu mengadakan sidang media itu, begitulah juga hasrat Ezlynn dan pengurusnya apabila mengambil keputusan untuk bersuara serta menceritakan perkara sebenar.
Bukan niat untuk mengeruhkan keadaan tetapi menurut Adam yang mewakili Ezlynn Entertainment, kenyataan Sarah yang mereka sifatkan berunsur fitnah itu perlu segera dijelaskan supaya tidak mengelirukan ramai pihak. Paling mengejutkan apabila Adam mendakwa kebanyakan kenyataan Sarah yang tersiar di media banyak yang tidak benar serta boleh menjejaskan reputasi syarikatnya di mata promoter persembahan. Jika sebelum ini mereka hanya menunggu peluang untuk Sarah tampil bersemuka dengan mereka sambil menjelaskan alasan dia enggan menjayakan persembahan kini semua peluang itu sudah tertutup rapat.
Bagi mereka, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Justeru, atas nasihat peguam, mereka kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kesetiaan ini. Satu keputusan yang berat untuk diambil tetapi demi maruah serta tidak mahu perkara sama berulang, tegas Adam biarlah undang-undang yang menentukan segala-galanya.
Hip: Apa sebenarnya yang anda tidak puas hati terhadap kenyataan Sarah tempoh hari?
Adam: Sebaik saja kami baca kenyataan Sarah yang tersiar di media, kami amat terkejut kerana apa yang dia ceritakan kebanyakannya tidak benar. Kami tak sangka Sarah boleh keluarkan kenyataan sedemikian rupa walhal dia sebenarnya tahu perkara sebenar yang berlaku. Tapi tak apa, pihak kami mempunyai bukti untuk menidakkan segala dakwaan Sarah yang bercanggah itu.
Hip: Apa maksud Adam apabila menyatakan Sarah tidak bercakap benar?
Adam: Berdasarkan apa yang dinyatakan Sarah, dia berkata, pihak kami memaklumkan sehari sebelum persembahan itu diadakan. Itu tidak benar kerana Sarah sebetulnya sudah sedia maklum bila persembahan itu diadakan dan berjanji akan pulang secepat mungkin untuk menghadiri persembahan itu. Malah, pembantunya yang bernama Wan juga tahu Sarah terbabit dengan komitmen itu. (Adam turut menunjukkan kiriman SMS daripada Wan mengenai perkara itu untuk dijadikan bukti). Dia juga mengesahkan bahawa Sarah tidak mempunyai sebarang komitmen pada hari yang dimaksudkan. Jadi apabila Sarah kata dia hanya mendapat tahu mengenai persembahan itu pada saat akhir dan tidak dapat menghadirkan diri kerana terbabit dengan komitmen lain di Singapura, itu yang saya kesalkan.
Hip: Apa yang berlaku selepas itu?
Adam: Sebelum ini ada pihak bertanyakan pada saya, adakah saya pasti Sarah akan pulang pada masa yang dijanjikan sebelum ini kerana menurut orang itu, Sarah terbabit dengan komitmen lain serentak dengan persembahan yang saya anjurkan. Perkara itu sedikit sebanyak membimbangkan saya. Memang benar kerana tiba pada hari yang sepatutnya Sarah pulang, bayangnya pun tak nampak. Lantas saya cuba menghubungi Sarah, malangnya dia gagal dihubungi. Begitu juga dengan pembantunya Wan. Puas saya hubungi tetapi kedua-duanya sukar dikesan. Saya juga cuba hubungi ibu Sarah dan jawapan yang diterima juga menghampakan. Kemudian kami turut menghubungi tunang Sarah dan menyatakan tujuan kami. Tunang Sarah, Fuad juga berjanji untuk mendapatkan Sarah tapi akhirnya sepi tanpa sebarang berita. Paling mengejutkan, kami mendapat tahu Sarah terbabit dengan komitmen lain di Singapura menerusi sepupu Sarah yang menghubungi kami mengenai perkara itu. Kami hairan mengapa Sarah menggunakan sepupunya untuk memaklumkan perkara itu? Kenapa tidak terus menerus kepada kami? Itu yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.
Hip: Mungkin ada salah faham di mana-mana. Silap komunikasi misalnya?
Adam: Saya tidak rasa itu yang berlaku. Sarah tahu sebenarnya dia ada show pada hari itu cuma dia saja yang tidak mahu hadir dengan alasan yang saya sendiri tidak tahu. Kalaulah dia kata dia tidak tahu menahu mengenai persembahan itu masakan dia boleh berikan senarai lagu yang akan dinyanyikan pada hari itu. Dengan tulisan tangan lagi. Jadi apabila dia memaklumkan bahawa dia mendapat tahu mengenai persembahan itu di saat akhir, memang tidak logik.
Hip: Tapi menurut Sarah, dia tidak menandatangani sebarang dokumen atau menerima deposit, jadi dia tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.
Adam: Ini lagi satu hal. Sebelum ini Sarah sendiri pernah meminta Adam untuk menguruskannya memandangkan dia kini tidak mempunyai pengurus. Ini berlaku sejak April lalu. Walaupun tidak secara hitam putih namun dia bercakap secara lisan bahawa saya adalah pengurusnya dan apa-apa hal sila rujuk kepada saya. Malah dalam beberapa penerbitan sebelum ini dia sendiri mengaku bahawa Adam yang menguruskannya. Secara tidak langsung, menurut peguam kami kenyataan secara lisan itu sendiri sudah membuktikan bahawa dia secara automatik melantik Adam sebagai pengurusnya. Begitu juga dengan soal deposit. Sebelum ini, Adam pernah juga memberikan beberapa show untuk Sarah dan menurut Sarah, dia lebih senang menerima duit selepas persembahan berakhir. Bukan sekali dua, malah setiap kali dia mengadakan persembahan yang saya uruskan, itulah juga kehendaknya. Dan untuk persembahan yang dia tidak hadir itu, saya masih bertanyakan sama ada dia mahu wang pendahuluan dan jawapannya tetap serupa. Jadi tidak timbul soal dia tidak mengambil deposit atau menandatangani apa-apa perjanjian menyebabkan dia bebas untuk bertindak sewenang-wenangnya. Kenyataan ini jelas bercanggah.
Hip: Selain itu, pihak pengurusan Ezlynn Entertainment juga didakwa sering tidak mengesahkan show yang ditawarkan pada Sarah?
Adam: Kami ingin membetulkan kenyataan Sarah itu. Dia salah faham sebenarnya. Lazimnya sebelum saya menawarkan sebarang show, saya akan bertanyakan kepada seseorang itu sama ada dia free atau tidak pada hari yang dimaksudkan. Maksud saya itu hanyalah pertanyaan biasa yang memang dibuat mana-mana pengurus kepada artis. Saya juga bertanyakan pada Ezlynn perkara yang sama. Bukan bermakna pertanyaan itu bererti satu tawaran. Itu prosedur biasa antara pengurus/promoter persembahan dan penyanyi. Dalam hal ini, memang silap dia dan saya tidak pernah berjanji apa-apa padanya.
Hip: Selepas berlakunya peristiwa itu ada tak pihak Ezlynn Entertainment cuba bersemuka dengannya?
Adam: Itu sudah pasti dan apa yang membuatkan kami rasa nak tergelak apabila Sarah mengatakan dia sukar untuk menghubungi kami selepas kejadian itu walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sarah, sebaik saja insiden itu terjadi terus menukar telefonnya. Kalau benar dia berada di pihak yang benar mengapa dia perlu menggunakan sepupunya sebagai orang tengah untuk memaklumkan dia tidak dapat hadir kerana terbabit dengan hal lain. Mengapa dia tidak menghubungi kami sendiri. Nampak sangat di sini siapa yang takut berjumpa siapa. Ada satu lagi insiden yang berlaku iaitu kami ada bertemu sewaktu masing-masing menjayakan persembahan di Finas. Pada masa itu saya cuba bersemuka dengan Sarah dan bertanyakan mengapa dia tidak hadir persembahan kami. Apa yang berlaku, reaksi Sarah seolah-olah tidak tahu menahu apa yang terjadi. Perbuatan Sarah itu benar-benar membuatkan kami bengang. Malas melihat ‘lakonan’ Sarah itu kami pun meninggalkannya.
Hip: Mengapa perlu mencari jalan penyelesaian di mahkamah. Sempena hari baik bulan baik ini, mungkin ada ruang kemaafan diberikan pada Sarah?
Adam: Sebenarnya, kami sendiri tidak mahu jalan penyelesaian secara sebegini. Namun selepas Sarah membuka mulut di media dan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap kami, kami perlu bertindak kembali membersihkan nama kami. Adalah lebih baik jika Sarah datang berjumpa dengan kami dan berbincang mengenainya, tentu kami akan menggunakan budi bicara kami untuk mencari jalan penyelesaiannya. Namun, dia sendiri lebih rela memilih media sebagai jalan akhir. Jadi, selepas peguam kami menilai kembali apa yang dikatakannya dan didapati boleh dipertikaikan kesahihannya maka pihak kami sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atasnya. Ini sudah bukan kes peribadi yang hanya boleh selesai dengan lafaz maaf. Sebaliknya, ia membabitkan reputasi syarikat, jadi kami perlu bertegas supaya peristiwa seperti itu tidak akan berulang di kemudian hari. Apapun tunggu saja keputusan rasmi daripada kami.
Hip: Serik tak hendak menguruskan artis lain?
Adam: Dengan artis lain mungkin tidak tetapi ya bagi Sarah. Terus terang, kami memang menyesal sangat-sangat tolong Sarah. Peristiwa ini menjadi pengajaran buat kami supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Sumber : Berita Harian