TIDAK tahu di mana silapnya apabila ramai menghubungi SS di pejabat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Istana Budaya mengenai penjualan tiket bagi menyaksikan P Ramlee The Musical.Seorang peminat drama muzikal itu, Rizal telefon SS memberitahu dia kesal apabila tiket yang dibeli untuk ditonton pada hari kedua ditukar dengan sewenang-wenangnya.
Menurut cerita Rizal, dia terkejut sebaik tiba di Istana Budaya, dia diberitahu pegawai petugas, tempat duduknya sudah diberikan kepada orang lain. SS sendiri berasa pelik mendengar luahan Rizal itu tetapi menganggap ia satu kes dalam seribu. Apatah lagi sebelum ini Penerbit Eksekutif Enfiniti Production, Datin Seri Tiara Jacquelina memberitahu tiket pementasan sehingga 3 November sudah habis dijual.Apabila tiada lagi tiket diperoleh pastinya masalah seperti ini timbul tetapi kesnya tidaklah banyak.
amun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Rizal memberitahu ia bukan membabitkan dirinya seorang tetapi ramai lagi yang datang menyaksikan pementasan itu pada hari kedua. Rizal sendiri terpaksa menanggung malu apabila tiket dibeli itu untuk tontonan bersama rakannya dari Jepun dan Britain. Hasrat untuk menunjukkan betapa hebatnya karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah bertukar cerita lain.Dalam pada itu perkara sama turut berlaku kepada rakan Rizal yang membeli tiket awal dua minggu sebelum pementasan diadakan. Rakannya itu mahu menyaksikan pementasan hari keempat.
Lebih membuatkan dia marah apabila pegawai terbabit memberitahu tempat duduk mengikut tiket yang dibelinya sudah diberikan kepada pihak penaja pementasan itu.
Untuk mendapatkan penjelasan, rakan SS sebelum ini ada juga mendail nombor pegawai media bertugas bagi mendapatkan penjelasan bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku. Dan pada SS sendiri ada baiknya pihak Istana Budaya memeriksa kembali kesilapan berlaku kerana ia boleh mencemarkan nama baik pengurusan dewan gah itu.
Sumber : Metro